Grab the widget  IWeb Gator

Tuesday, February 1, 2011

TAKLIMAT ISU DAN PERMASALAHAN PROGRAM PENGHARGAAN WARGA EMAS SERTA PENGENALAN PROGRAM BANTUAN IBU TUNGGAL DAN OKU

by CM Lim Guan Eng on Tuesday, February 1, 2011 at 11:30am

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG, YAB LIM GUAN ENG SEMPENA TAKLIMAT ISU DAN PERMASALAHAN PROGRAM PENGHARGAAN WARGA EMAS SERTA PENGENALAN PROGRAM BANTUAN IBU TUNGGAL DAN OKU PADA 31 JANUARI 2011(9.00AM)
DI AUDITORIUM C, KOMTAR.


YB. Tuan Phee Boon Poh,
Pengerusi Jawatankuasa MMK Kebajikan, Kesihatan, Alam Sekitar dan Masyarakat Penyayang

Semua YB Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang

Semua YB Ahli-ahli Parlimen,

Pegawai-pegawai Daerah,

Semua Pegawai-pegawai Khas ADUN,

Rakan- rakan media,

Tuan-tuan dan puan-puan.

Salam sejahtera dan Selamat Pagi.

Tajuk: Pulau Pinang Lagi Bersih dan Hijau 

Sungguhpun Ahli Pentadbiran Sama Kerana Sistem dan Budaya/ Etika Kerja Berubah dan Hasilnya Pun Bertambah Baik.

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua hadirin yang hadir dan YB Phee Boon Poh serta pasukannya yang telah menjayakan program pagi ini.

Saya difahamkan bahawa perjumpaan pada pagi ini adalah untuk memantapkan pelaksanaan Program Penghargaan Warga Emas sepanjang tempoh dua tahun ini khususnya dalam melancarkan kerja-kerja pendaftaran.

Kita telah mulakan proses pengumpulan data pada tahun 2009 dan telah memulakan pembayaran pada tahun lepas di mana semua warga emas yang telah berdaftar menerima RM100 setiap tahun dan RM1000 kepada semua waris yang telah meninggal dunia. Ini adalah menunaikan janji kerajaan berjiwa rakyat di mana kita memberikan keyakinan bahawa kerajaan Pakatan Rakyat akan melaksanakan janji yang telah dinyatakan.

Selain daripada Program Penghargaan Warga Emas, majlis ini juga diadakan dengan tujuan untuk memperkenalkan tambahan program-program kemasyarakatan yang baru oleh Kerajaan Negeri iaitu “Program Bantuan Kepada Golongan Ibu Tunggal” dan “Program Bantuan OKU”. 



Sumbangan wang tunai RM100.00 secara tahunan akan turut diperluaskan kepada golongan ibu tunggal dan OKU yang memenuhi hasrat jitu Pakatan Rakyat menubuhkan kerajaan berjiwa rakyat di Pulau Pinang. Untuk golongan OKU, tidak perlu membuat sebarang pendaftaran kerana ia adalah berpandukan senarai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Manakala untuk ibu tunggal, ekoran keengganan pihak kementerian persekutuan untuk berkongsikan data, borang pendaftaran baru dikeluarkan dan diedarkan sekarang. Semua jentera kerajaan negeri diminta menjalankan pendaftaran ibu tunggal agar bantuan ini dapat disalurkan kepada mereka.

Dalam mesyuarat- mesyuarat sebelum ini, saya selalu menekankan bahawa aspek  pentadbiran adalah penting ketika menjalankan tugas yang diberi. Dari sinilah masyarakat akan menilai sejauh mana penyampaian yang mampu kita lakukan. Sekiranya penyampaian yang dilakukan tidak berkesan ini akan memberikan gambaran dan imej yang kurang baik bukan sahaja kepada kerajaan negeri tetapi juga kepada pemimpin- pemimpin serta parti- parti yang menjadi kerajaan khususnya.

Dan saya bersyukur sepanjang tempoh kita melaksanakan proses pendaftaran dan pembayaran dalam Program Penghargaan Warga Emas, segalanya berjalan dengan lancar dan  tiada masalah besar yang timbul.

Kalau dibandingkan dengan keadaan huru- hara yang timbul di Kedah pada 2 hari lepas ketika kerajaan Persekutuan mengumumkan pemberian wang bantuan kepada 3900 mangsa banjir di mana rakyat telah diperlakukan seperti bola, ditendang sana sini semata- mata ingin menerima bantuan yang diberikan.



Sekiranya penambahbaikan yang berlaku di Pulau Pinang selama 3 tahun adalah atas usaha ahli pentadbiran yang sama, Pulau Pinang kini bersih, hijau dan selamat. Tetapi mengapa sebelum ini tidak ada sungguhpun orang sama yang melaksanakan tugas. Jawapannya ialah sistem dan budaya kerja lain dan seterusnya pulangan juga turut berbeza.

Perkara ini terjadi berikutan dengan pendekatan yang digunakan berbeza antara satu sama lain. Kerajaan Persekutuan bergantung sepenuhnya kepada anggota awam sebaliknya kerajaan negeri menggunakan sektor swasta bagi membantu melicinkan proses ini bersama- sama dengan anggota awam.

Di sini, saya ingin menyeru kepada semua kakitangan kerajaan negeri agar terus berusaha dengan lebih gigih bagi mewujudkan suatu budaya perkhidmatan cemerlang dengan mengamalkan amalan- amalan yang terbaik seperti mana yang diamalkan dalam sektor swasta.

Oleh itu, 3 prinsip yang perlu diamalkan dan diserapkan dalam budaya sektor awam iaitu sistem yang betul, efisen, berkesan; budaya atau etika kerja yang berteraskan cekap dan berprestasi serta semangat berpasukan dan mengikis mentaliti silo yang timbul di kalangan penjawat awam.



Kesemua program memanfaatkan rakyat ini dapat dijalankan hanya kerana kerajaan negeri menjimatkan wang hasil daripada perbelanjaan berhemah dan anti- rasuah. Ini pun telah disahkan oleh Laporan Ketua Audit Negara tentang lebihan paling besar di Pulau Pinang pada tahun 2008 sebanyak RM88 juta dan RM77 juta pada tahun 2009. Tidak ada sesen pun disumbang atau diderma oleh pihak swasta.

Sebelum saya mengakhiri ucapan ini, sekali lagi tahniah dan syabas saya ucapkan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program penghargaan warga emas pada tahun lepas.

Sekian terima kasih.

 Lim Guan Eng 
[admin] Tiga prinsip yg perlu diamalkan dan diserapkan dlm budaya sektor awam iaitu sistem yg betul, efisen, berkesan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TOP Ten Minggu INI

Paling Popular