Isu ‘Tanah Melayu’ Mahathir tak produktif, tegas MCA dan Gerakan
KUALA LUMPUR, 5 Feb — Pemimpin-pemimpin parti bukan Melayu dalam Barisan Nasional menyifatkan kenyataan terbaru Tun Dr Mahathir Mohamad yang menggesa kaum-kaum lain menerima kedaulatan orang Melayu sebagai tindakan tidak produktif yang hanya akan memecahbelahkan rakyat negara ini.
Naib presiden MCA Senator Gan Ping Seiu berkata, bekas perdana menteri itu seharusnya menggunakan status negarawan yang beliau miliki untuk menyatukan negara ini, bukannya bertindak sebaliknya.
“Sebagai seorang negarawan, rakyat mengharapkan Tun bertindak sebagai seorang bapa dan kenyataan-kenyataan beliau seharusnya bersifat membawa penyatuan dan konstruktif.
“Sebarang kenyataan bersifat selektif dan tidak berproduktif hanya akan memecahbelahkan rakyat,” kata timbalan menteri belia dan sukan ini.
Semalam, pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat menggesa Datuk Seri Najib Razak agar turut respons kepada kenyataan terbaru Dr Mahathir yang mendakwa Malaysia hanya milik orang Melayu dan kaum-kaum lain perlu menghormati kedaulatan orang Melayu negara ini.
Pada satu wacana anjuran Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) Wilayah Persekutuan Selasa lalu, Dr Mahathir berkata, rakyat Malaysia mesti mengakui negara ini adalah milik orang Melayu dan oleh itu, mereka mesti menerima budaya dan bahasa masyarakat itu.
Bekas perdana menteri berkata, nenek moyang negara ini memberikan orang Cina dan India taraf kewarganegaraan sebab mereka mengharapkan kedua-dua komuniti itu akan menghormati kedaulatan orang Melayu.
Selain itu, Dr Mahathir juga menekankan, bukan Melayu mesti menerima konsep Bangsa Malaysia untuk membantu memperkukuhkan perpaduan nasional.
Beliau yang menyandang jawatan perdana menteri selama 22 tahun berkata, masyarakat Cina dan India mesti mengutamakan kepentingan negara berbanding soal kaum dan identiti mereka sebagai rakyat Malaysia.
Sehubungan itu Dr Mahathir menambah, jika orang Cina dan India terus melihat diri mereka berdasarkan negara asal mereka, maka ia bermakna mereka adalah imigiran ke negara ini.
Bagaimanapun Gan berkata istilah itu hanya satu rujukan geografi dan tidak harus dilihat di luar konteks.
“Tanah Melayu adalah nama geografi bagi Semenanjung dalam konteks sejarah.
“Tiada sebab untuk berhujah sebaliknya, sama seperti soal kemerdekaan negara ini yang diperjuangkan oleh pemimpin semua etnik,” katanya kepada The Malaysian Insider.
Malah pada wacana itu, Dr Mahathir berkata gagasan 1 Malaysia dan Wawasan 2020 berbeza kerana beliau mahu mewujudkan satu identiti nasional yang bersifat inklusif.
“Apabila kita cakap mengenai 1 Malaysia, orang ramai bercakap mengenai kesaksamaan bagi semua kaum. Bagi Melayu ia bermakna menghapuskan sekolah-sekolah vernakular.
“Bagi orang Cina dan India pula, 1 Malaysia bermakna menghapuskan hak orang Melayu,” kata beliau.
“Sejarah tidak boleh ditulis semula,” kata Gan sambil menambah, tindakan mentafsir sejarah demi kesesuaian mengikut sikap dan prejudis seseorang adalah sama dengan perbuatan menghina nilai intelek.
“Begitu juga konsep 1 Malaysia mesti dibaca mengikut intrumen Perlembagaan Persekutuan.
“Aspek inklusif dan sikap hormati-menghormati satu sama lain dalam konsep 1 Malaysia adalah semangat utama dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya lagi.
“Tiada satu pun negara di dunia ini yang sama (sifatnya), terdapat juga negara yang menggunakan lebih satu bahasa sebagai bahasa rasmi. Hujah-hujah sedemikian tidak akan membawa kita ke mana-mana pun,” kata Gan lagi.
Oleh itu katanya, rakyat pelbagai kaum harus mempertahan dan menghargai order sosial yang digariskan oleh nenek moyang untuk membina negara ini.
“Kerakyatan kita ialah Malaysia dan rakyat Malaysia yang saya bertemu mencintai Malaysia, tetapi apabila seorang rakyat asing bertanya saya sama ada saya seorang Cina, saya akan kata ya, sebagai seorang etnik Cina, sama seperti juga seorang Melayu bertanya sama ada dia itu seorang Jawa, keturunan Sumatera atau Bugis, ia tidak sama sekali akan mengurangkan status sebagai rakyat Malaysia,” kata beliau.
Dalam pada itu, timbalan presiden Gerakan Datuk Chang Ko Youn (gambar) juga menggambarkan sentimen yang sama dengan menegaskan hujah Dr Mahathir sebagai tindakan membuang masa.
“Tidak perlu berhujah mengenai perkara ini. Ini buang masa, kita harus melihat pada masa depan dan memfokus pada proses membina negara.
“Tidak seorang pun wajar menjustifikasikan apa yang berlaku sekarang dengan merujuk kepada sejarah,” kata Chang.
“Sudah tentu kita perlu belajar sejarah, tetapi tenaga kita harus memfokus pada masa depan,” katanya.
Oleh itu kata beliau, kenyataan bekas presiden Umno itu hanya akan memecahbelahkan lagi rakyat negara ini.
Chang juga berkata, tindakan Dr Mahathir membandingkan masyarakat Cina negara ini dengan Filipina dan Thailand juga tidak adil.
“Setiap negara adalah unik, ia bukan perbandingan yang adil. Saya tidak bersetuju dengan cara beliau membuat perbandingan dengan negara-negara lain,” kata Chang.
Oleh Adib Zalkapli