Para pemimpin UMNO diminta melakukan provokasi berterusan ke atas Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Nik Mat supaya Menteri Besar Kelantan itu terus mengeluarkan kenyataan mengelirukan justeru memaparkan 'wajah sebenar' beliau.
Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, ini kerana, kenyataan kontroversi dan mengelirukan Nik Abdul Aziz itu akan menyedarkan segelintir masyarakat Melayu, seterusnya membantu golongan berkenaan kembali bersatu.
"Walau apa pun, UMNO dapat untung kerana mengikut pandangan saya kenyataannya yang luar biasa membantu memberi kesedaran kepada orang Melayu yang tidak sokong UMNO pada pilihan raya umum lalu untuk kembali menyokong UMNO.
"Orang Melayu sudah mula sedar kenyataan-kenyataan Nik Aziz membantu kaum-kaum lain 'naik tocang' untuk memperlekehkan Islam, menghina Melayu dan sebagainya.
"Pada saya orang UMNO patut galakkan lagi agar Nik Aziz terus mengeluarkan kenyataan-kenyataan kontroversi kerana ia membantu majoriti orang Melayu bersatu," katanya sinis melalui satu khidmat pesanan ringkas (SMS) hari ini.
Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas mengulas pertikaian terbaru di antara bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dengan Nik Abdul Aziz berhubung kenyataan kontroversi Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew dalam bukunya mengenai penganut Islam republik itu baru-baru ini.