Grab the widget  IWeb Gator

Tuesday, February 1, 2011

Keputusan mahkamah bukti peneroka ada hak ke atas tanah Felda


KUALA LUMPUR: Keputusan Mahkamah Tinggi Seremban pada 28 Januari lalu menolak permohonan injunksi kontraktor yang dilantik Felda dalam kes penebangan pokok getah Felda Raja Alias 2, Serting, Jempol menjelaskan peneroka mempunyai hak terhadap pemilikan tanah mereka.
Demikian dinyatakan Pengerusi Biro Felda Kebangsaan Dan Orang Asal Keadilan, Suhaimi Said yang mengupas keputusan mahkamah itu di dalam blognya hari ini.
Menurut Suhaimi, meskipun dari segi luarannya, kes itu hanyalah kes sivil tuntutan biasa, tetapi ia memberi implikasi amat meluas dan boleh menjelaskan kedudukan peneroka Felda berhubung hak pemilikan ladang mereka.
“Keputusan Mahkamah mendapati bahawa Peneroka-Peneroka tersebut adalah mempunyai hak keatas tanah-tanah ladang mereka walaupun belum dikeluarkan geran tanah kepada mereka, mereka mempunyai “legitimate expectation of being made a registered owner of their respective plots of land and FELDA has a duty to apply or request the State Government to do so. “
“Dengan keputusan ini, FELDA tidak lagi boleh berdolak-dalih untuk melewat-lewatkan permohonan geran kepada Kerajaan Negeri supaya geran-geran tanah dikeluarkan kepada peneroka-peneroka yang telah menjelaskan bayaran hutang kepada Felda,” katanya.
Mahkamah Tinggi Seremban pada 28 Januari lalu menolak permohonan injunksi kontraktor yang dilantik Felda dalam kes penebangan pokok getah Felda Raja Alias 2, Serting, Jempol.
Hakim Datuk Rosnaini Saub dalam keputusan di kamar hakim yang dijalankan secara tertutup berkata, permohonan injunksi itu tidak sah berikutan kesemua peneroka terlibat adalah pemilik berkepentingan tanah Felda.
Pada 16 Disember lalu, kontraktor Huat Hing Rubberwood Sdn Bhd yang dilantik Felda memfailkan permohonan injunksi menghalang peneroka dan kontraktor dilantik mengurus tanah Felda berkenaan.
Permohonan injunksi itu bertujuan menghalang peneroka menguruskan tanah Felda mereka atau melantik mana-mana kontraktor mewakili mereka dalam urusan penebangan pokok getah, sekali gus menghalang peneroka menguruskan kebun dan juga tidak membenarkan peneroka menghampiri kawasan masuk kebun sejauh 200 meter.
“Amalan Felda pada hari ini adalah sengaja melewat-lewatkan tindakan permohonan geran kepada Kerajaan Negeri dan dengan kelewatan Peneroka-Peneroka mendapatkan geran tanah diambil peluang oleh Felda untuk mengujudkan Perjanjian Tambahan di antara Felda dan Peneroka dengan syarat-syarat dan terma yang sangat berat sebelah memaksa kepada Peneroka-Peneroka menyerahkan tanah ladang mereka kepada Felda untuk ditanam semula,” kata Suhaimi.
Menurut beliau lagi, kini terdapat peneroka yang terpaksa menanggung hutang hingga RM100,000.00 sedangkan mereka hanya diberikan elaun sara hidup sebanyak RM1500.00 yang dikirakan juga sebagai hutang.
“Mereka membuat perbandingan dengan peneroka-peneroka yang menanam sendiri yang bukan sahaja bebas hutang tetapi mendapat pendapatan jauh lebih tinggi daripada Peneroka-Peneroka yang menanam melalui Felda, dan diwaktu harga getah dan sawit yang begitu tinggi sekarang ini, Penderoka-Peneroka bersendirian boleh mencapai pendapatan hingga RM10,000.00 sebulan berbanding dengan Peneroka-Peneroka melalui Felda yang hanya mendapat RM1500.00 sebulan,”
katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TOP Ten Minggu INI

Paling Popular