2011/01/23
LABIS: Wanita UMNO Labis membuat laporan polis berkenaan penyebaran risalah yang mengatakan sayap itu tidak menyokong calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, Mohd Azahar Ibrahim.
Laporan polis itu dibuat oleh ketuanya, Haslinda Salleh kira-kira 1 tengah hari tadi di Balai Polis Labis.
"Ia adalah suatu pembohongan dan fitnah untuk memecahbelahkan Wanita UMNO dan calon Barisan Nasional. Kami meminta satu siasatan dijalankan," katanya kepada pemberita selepas selesai membuat laporan polis itu di sini hari ini.
Selain itu, katanya pergerakan itu turut menafikan Wanita UMNO atau BN telah mencetak risalah terbabit dan mengedarkannya ke rumah-rumah dan premis lain di DUN Tenang.
Haslinda yang sebelum ini disebut-sebut sebagai pemimpin yang dipertimbangkan untuk menjadi calon BN bagi pilihan raya kecil itu, berkata Wanita UMNO Labis menyokong penuh pencalonan Mohd Azahar.
Beliau berkata pihaknya mengesan risalah itu yang kononnya telah dicetak oleh ''Kelab Wanita Veteran BN Labis'' di sekitar Kampung Mambai.
"Saya ingin menjelaskan bahawa Kelab Veteran Wanita BN Labis itu tidak wujud," katanya dan menambah pihaknya bimbang penyebaran risalah berbentuk fitnah oleh pihak tertentu itu akan berleluasa jika tidak ditangani.
Haslinda turut mendakwa kewujudan kumpulan-kumpulan wanita yang menyamar sebagai anggota Wanita Umno dan bergerak ke kampung-kampung serta kawasan penempatan Felda.
"Kumpulan-kumpulan seramai lima orang Muslimah itu memakai tudung merah sebagaimana yang selalu dipakai oleh Wanita UMNO dan berkunjung ke rumah-rumah penduduk," kataNYA.
Pihaknya mengenal pasti bahawa kumpulan Muslimah terbabit tidak dianggotai Wanita UMNO, katanya. - BERNAMA