Grab the widget  IWeb Gator

Sunday, January 23, 2011

Bolehkah Badrul Hisham hadir Sidang Khas DUN Selangor?

2011/01/23

KUALA LUMPUR: Persidangan khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor esok bukan sahaja menarik perhatian ramai untuk melihat sama ada pindaan Undang-Undang Tubuh Negeri itu diluluskan, tetapi juga kedudukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah. 

Bagi pengamal undang-undang, Datuk Mohd Hafarizam Harun walaupun Speaker DUN Selangor, Datuk Teng Chang Khim mempunyai kuasa mengosongkan kerusi itu, ia hanya boleh disahkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
"Sama ada kerusi itu kosong atau tidak, ia akan hanya ditentukan oleh SPR. Jadi tindakan menghalang Badrul Hisham menghadiri sidang DUN adalah tidak wajar.
"Ini dilihat seperti mahu mengurangkan jumlah yang hadir pada sidang itu (esok) yang akan melakukan pindaan pada perlembagan negeri. Notis itu (melarang hadir) jelas Speaker ada agenda tersembunyi," katanya di sini hari ini. 

Mohd Hafarizam berkata demikian bagi mengulas kenyataan Teng Jumaat lalu bahawa Badrul Hisham tidak lagi layak menghadiri persidangan DUN esok kerana beliau bukan lagi seorang ADUN. 

Rabu lalu, Teng mengisytiharkan kerusi DUN Pelabuhan Klang sebagai kosong berkuatkuasa 16 Januari lalu berikutan kegagalan penyandangnya Badrul Hisham, ADUN Bebas menghadiri persidangan DUN selama enam bulan tanpa alasan munasabah. 

Teng menghantar notis pemberitahuan tentang kekosongan kerusi DUN Pelabuhan Klang kepada SPR pada Jumaat lalu. 
Mohd Hafarizam berkata isu kekosongan kerusi DUN Pelabuhan Klang itu sepatutnya dibahaskan dalam dewan, dengan Badrul Hisham dibenarkan hadir untuk memberi penjelasan. 

“Apa yang diputuskan Speaker itu sebenarnya tidak muktamad. Memang Speaker mempunyai kuasa penuh dalam dewan, tetapi mengenai pilihan raya atau kekosongan kerusi, ia menjadi kuasa SPR,” katanya. - BERNAMA 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TOP Ten Minggu INI

Paling Popular