UMNO berjuang untuk kemerdekaan, kemerdekaan dicapai melalui perjuangan UMNO tanpa tumpah darah dan lain-lain menjadi catatan resmi sejarah negara. Setiap kali hari kemerdekaan, kita akan dapat dengar rangkai kata tersebut dilaungkan oleh pemimpin-pemimpin UMNO.
Di sebalik rangkapan tersebut tersimpan seribu rahsia yang mahu diselindung oleh UMNO. Sejarah perjuangan kemerdekaan sebelum tahun 1946 cuba ditutupi, terutamanya Kesatuan Melayu Muda (KMM) yang kemudiannya disambung pula oleh Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) dan organisasi-organisasi politik di bawahnya seperti API, PETA, AWAS, Barisan Tani Malaya, Kesatuan Buruh Melayu, Hizbul Muslimin dan lain-lain.
Bila kita membaca kenangan yang dicoretkan oleh pejuang-pejuang terdahulu, terumatanya perjuangan kemerdekaan pada tahun-tahun 1930-40-an, kita akan dapat melihat bahawa sejarah tanah air kita telah diputarbelitkan oleh kaum penjajah dan diteruskan oleh UMNO sehingga hari ini.
Ahmad Boestamam seorang pejuang veteran KMM dan PKMM dan juga pemimpinsekaligus pengasas API jelas menyebut bahawa UMNO di bawah pimpinan Datok Onn bukan sahaja tidak berjuang untuk kemerdekaan, tetapi bersekongkol dengan penjajah British menekan gerakan kemerdekaan. Bahkan strategi UMNO itu sendiri diatur oleh kaum penjajah British. Perisytiharan Darurat 1948 selain bertujuan untuk menekan gerakan kiri juga bertujuan memberi peluang kepada UMNO naik ke pentas politik tanpa saingan.
Ahamd Boestamam dalam bukunya Datok Onn Yang Saya Kenal menulis:
“Bukan sekadar itu saja bahkan PKMM juga menyarankan dikembalikan semula kegemilangan silam bangsa Melayu di zaman-saman Majapahit, Sriwijaya dan Melaka dulu – yang merupakan matlamat perjuangannya yang telah diputuskan dan dipersetujui.”
“Saranan PKMM ini sering benar dipertikai oleh tokoh-tokoh UMNO terutama Datok Onn, walaupun PKMM masih lagi merupakan anggota gabungan UMNO. Sindiran yang paling lumrah dipergunakan dalam ciahan ini ialah: MEMBUAT SEBATANG JARUM PUN TAK TAHU, HENDAK MERDEKA PULA KONON.”
“Sekarang Inggeris dan UMNO, secara tidak diisytiharkan, bersekongkolan batin ‘memerangi PKMM, PUTERA-AMCJA, API dan lain-lain gerakan kiri demi kehancuran gerakan-gerakan tersebut. Korban pertama dari persekongkolan ini ialah API (Angkatan Pemuda Insaf) yang saya pimpin diharamkan dalam bulan Julai 1947, hampir setahun sebelum Undang-Undang Darurat diisytiharkan dan Parti Komunis Malaya diharamkan.”
“Persekongkolan ini tambah menyata apabila penjajah Inggeris mengadakan rundingan-rundingan mencari kata sepakat atas corak pemerintahan Malaya yang baik dan daapt diterima bersama dengan gembong-gembong atau tokoh-tokoh UMNO di bawah pimpinan Datok Onn.”
“2. Kerasnya ucapan-ucapan Datok Onn terhadap gerakan-gerakan kiri di masa-masa akhir. Misalnya dalam salah satu ucapannya itu beliau terang-terang dan tegas memberi amaran kepada rakyat Malaya dengan berkata-kata HUBAYA, HUBAYA, HUBAYA, MUSUH TURUN DARI GUNUNG.”
“3. Kehancuran gerakan-gerakan kiri perlu demi membuka dan memberikan peluang kepada UMNO memperkuatkan diri tanpa sebarang halangan dari ‘lawan politiknya’. Dengan lain perkataan tindakan Inggeris itu bertujuan melahirkan suatu vacuum, suatu kekosongan, dan kekosongan inilah yang dikehendaki oleh Inggeris supaya diisi oleh UMNO.”
Mengikut Ahmad Boestamam, MUSUH DARI GUNUNG ditujukan kepada PKMM yang mempunyai pengaruh tinggi di Perak termasuk Gunung Semanggol. Manakala di Gunung Semanggol pula merupakan tempat tumpah darah Hizbul Muslimin di bawah pimpinan Ustaz Abu Bakar Al-Baqir.
Suatu kesimpulan yang dapat ditarik ialah UMNO di bawah pimpinan Datok Onn hanya berjuang untuk mempersatukan orang Melayu sahaja, tidak berjuang untuk kemerdekaan tanah air.
Walau bagaimanapun, dalam memoirnya Abdullah C.D. mengakui UMNO di bawah pimpinan Tunku Abdul Rahman terutamanya pada tahun 1950 -1957 juga berjuang untuk kemerdekaan. Mengikut Abdullah C.D., walaupun pucuk pimpinan UMNO bersekongkol dengan penjajah British, akan tetapi anggota-anggota UMNO berdarah merdeka. Ini diperhebatkan lagi apabila ramai anggota pertubuhan kiri terutamanya dari PKMM yang menyertai UMNO setelah pertubuhan itu diharamkan oleh kaum penjajah British seperti Mustapha Hussein, Ghafar Baba, Hasnul Hadi dan lain-lain.
Dalam Memoir Abdullah C.D. Bahagian Kedua, beliau menulis: “Gerakan kemerdekaan mulai berkembang dalam tubuh UMNO sehingga menimbulkan krisis yang tajam di dalam pucuk pimpinan UMNO”
“Pemilihan Presiden UMNO tahun 1951 memberi gambaran bahawa golongan patriotik-demokratik sedang berkembang dalam tubuh UMNO”. “Inilah tahap baru perjuangan kemerdekaan. Pendek kata di hutan, di desa dan dibandar semuanya bergerak untuk kemerdekaan. Perjuangan kemerdekaan telah berpadu menjadi satu arus yang raksasa.”
Akan tetapi, dalam Perundingan London, Tunku telah mengkhianati harapan rakyat semua kaum untuk kemerdekaan penuh tanah air dengan menerima syarat-syarat yang dikenakan oleh kaum penjajah British dan meneruskan perang ke atas PKM dan pasukan TPNM.
http://wasiatpejuang.blogspot.com/2011/01/umno-barua-british.html