Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Tasek Gelugor pada hari ini terpanggil membuat sidang media untuk menjawab fitnah jahat yang tersiar di dalam Akhbar Sinar Harian (Bertarikh Isnin, 24 Januari 2011 / Bahagian Seberang Perai Utara, m/s: U26).
Artikel berita yang bertajuk “120 Ahli PKR Keluar Parti” itu jelas merupakan satu pembohongan besar yang direka-reka untuk memburuk-burukkan KEADILAN secara am, dan KEADILAN Tasek Gelugor secara khususnya.
KEADILAN Tasek Gelugor dengan ini menafikan sekeras-kerasnya laporan tersebut, yang dinyatakan sendiri oleh Sdr. S. Thevadas yang mewakili “kumpulan 120 ahli PKR yang keluar parti” tersebut. Sebagai bukti & rekod bertulis, KEADILAN Tasek Gelugor hanya memiliki 22 orang ahli sah yang berdaftar di Ladang Mayfield.
Dan yang bermasalah dan mengepalai ‘Majlis Keluar Parti’ itu hanyalah S. Thevadas seorang dan 10 orang yang bersamanya pada hari tersebut, bukanlah dari ahli KEADILAN Ladang Mayfield, tetapi mereka semuanya adalah penyokong-penyokong MIC! Persoalan terbesar adalah, dari mana datangnya sampai 120 orang ahli yang keluar dari parti ini sepertimana yang didakwa oleh S.Thevadas?
KEADILAN Tasek Gelugor juga menyelar tindakan UMNO & Barisan Nasional Tasek Gelugor yang diwakili oleh AJK UMNO Tasek Gelugor, Dr. Mohd. Radzi Yusof yang bertindak menerima ‘pembohongan’ tersebut semalam. Adalah dipercayai, tindakan UMNO mengiktiraf penipuan ini, adalah berkait rapat dengan agenda jahat mereka untuk menjadikan isu ini sebagai bahan kempen BN di PRK DUN Tenang.
Tindakan terdesak UMNO ini adalah bukti jelas, bahawa mereka akan buat apa saja, walaupun sampai ke tahap mengiktiraf pembohongan & fitnah demi meraih kembali sokongan, terutama dari komuniti India yang telah lama lari dari mereka.
Sdr Lim, wakil dari DUN Telok Ayer Tawar menyerahkan 60 borang keahlian baru KEADILAN kepada Ketua Cabang KEADILAN Tasek Gelugor, Sdr. Mohd. Nasir.
Akhir sekali, KEADILAN Tasek Gelugor akan tetap menjalin hubungan baik & akan meneruskan program-program pembangunan, khususnya pembangunan ekonomi mikro di kawasan-kawasan India di Parlimen Tasek Gelugor, demi manfaat komuniti tersebut.
KEADILAN Tasek Gelugor dalam masa yang sama juga akan terus komited membantu usaha murni Kerajaan Negeri dalam membangunkan sosio-ekonomi Kaum Melayu & Cina di parlimen ini. Walaupun dilanda pelbagai dugaan, kami tetap yakin Parti KEADILAN akan terus berkembang dengan keahlian yang makin rancak dan akan terus bersama dengan Pakatan Rakyat memimpin Malaysia selepas PRU akan datang.
“UBAH SEKARANG, SELAMATKAN MALAYSIA”
Sekian, terima kasih.
SYED MIKAEL RIZAL AIDID
Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK),
KEADILAN Cabang Tasek Gelugor