Guan Eng malas layan Fadzill
GEORGETOWN , 23 Jan. : “Anda sebagai media yang buat liputan, saya rasa anda boleh buat kesimpulan dia orang yang bagaimana. Oleh itu saya tidak mahu buang masa untuk mengulas perkara ini lagi”.
Itulah kata Ketua Menteri, Lim Guan Eng ketika diminta mengulas kenyataan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Negeri Pulau Pinang (PKMMPP) yang mendakwa kecewa dengan tindakan pihak tertentu menggunakan nama persatuan itu bagi kepentingan politik.
Guan Eng berkata, Yang Dipertua PKMMPP, Datuk Mohamed Fadzill Hassan seorang yang cakap tidak serupa bikin apabila kerap kali membuat kenyataan bercanggah sejak mengunjunginya untuk meminta maaf pada 8 Januari lalu.
“Kita sudah pun menyiarkan rakaman video dan ia jelas menunjukkan dia meminta maaf secara terbuka dan surat itu ditandatangani olehnya. Kita ada salinan surat itu, mengapa dia nak memutar belit fakta sedangkan terang-terang menunjukkan tandatangannya di situ.
“Saya tidak mahu buang masa untuk melayan karenahnya, kita ada bukti. Kita ‘berpegang’ kepada bukti yang ada iaitu rakaman video pertemuan tempoh hari. Oleh itu saya tidak berminat dengan perkara itu kerana hari ini cakap lain, esok cakap lain pula. Saya serahkan kepada umum untuk menilai sejauh mana kebenaran perkara ini,” katanya kepada media.
Guan Eng berkata, selepas ini beliau tidak akan berurusan lagi dengan Fadzill namun masih boleh menerima untuk berurusan dengan ahli PKMMPP yang lain termasuk Timbalan PKMMPP berikutan tiada masalah antara mereka.
“Yang bermasalah hanya Fadzill, oleh itu selepas ini kita akan berurusan dengan ahli-ahli lain termasuk timbalannya sahaja. Mereka ini tidak ada masalah dengan kita,” katanya.
Sebelum ini, Fadzill mendakwa mengesan edaran risalah yang menggunakan nama PKMMPP dan melampirkan bersama surat mohon maaf PKMMPP kepada Guan Eng.
Beliau mengakui pernah memohon maaf kepada Guan Eng namun secara lisan sahaja tetapi bukan secara bertulis seperti yang disiarkan dalam risalah itu.SH