Grab the widget  IWeb Gator

Tuesday, December 28, 2010

selongkar kes ini menggunakan teknik fikiran logik


Keadilan Teoh Tanggungjawab Semua

Saya menulis demi menarik perhatian semua pihak terutamanya kaum bukan Cina dan khususnya kerajaan BN serta media rasmi. Hampir satu setengah tahun tragedi hitam kematian mendiang Teoh Beng Hock, setiausaha politik kepada Ean Yong Hian Wah, exco kerajaan negeri Selangor masih menemui jalan buntu supaya ditubuhkan suruhanjaya siasatan bebas untuk menyiasat kes tragedi ini yang hadir dengan mengundang seribu persoalan.

Marilah kita selongkar kes ini menggunakan teknik fikiran logik dengan menanya soalan 5W’s, iaitu Who (Siapa), Where (Tempat), Why (Kenapa), When (Bila) dan What (Apa) :

Siapa harus bertanggungjawab? Menurut pegawai SPRM mendiang Teoh dipanggil bukan kerana disyaki rasuah tetapi untuk membantu siasatan rasuah maka mereka sepatutnya memastikan keselamatan si saksi.

Di mana kah tempat kejadian? Sudah tentulah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu bertanggungjawab kerana mendiang Teoh kali terakhir berada di pejabat berkenaan dan mayat beliau dijumpai berhampiran. Maka semua pegawai yang terlibat dalam siasatan mesti disyaki mempunyai hubungan yang langsung dengan kematian mendiang.

Timbul tanda-tanya kenapa SPRM tidak menjalankan sesi soal-siasat mereka dalam waktu bekerja? Kalaupun sesi tersebut memakan masa yang panjang, tidak bolehkah ia disambung keesokan harinya?

Kenapa peguam Teoh, Manoharan tidak dibenar untuk hadir bersama ketika sesi soal-siasat tersebut? Apa perlunya siasatan dibuat sehingga jam 3.45 pagi kalau sekadar membantu siasatan?

Teoh tidak datang ke pejabat SPRM sendiri tetapi beliau dibawa ke sana dengan kereta pegawai SPRM, sewajarnya selepas sesi soal-siasat, menjadi tanggungjawab SPRM untuk menghantar beliau pulang.

Jelas kematian Teoh adalah kematian semasa dalam tahanan, death under custody, SPRM seharusnya dituntut untuk bertanggungjawab penuh.

Selain ini kita hairan kenapa berita-berita rasmi yang dipetik dan proses penyiasatan sedia ada menggarap kemungkinan bahawa Teoh mungkin terjatuh atau terjun sendiri. Mengapa kemungkinan ketiga iaitu perbuatan khianat tidak diperkirakan, apatah lagi sebelum ini sudah heboh wujudnya pengakuan mangsa didera oleh pegawai SPRM ketika dipanggil memberi keterangan. Apakah tujuan mereka berbuat demikian?

Sekiranya alasan untuk mendiang Teoh boleh terjatuh dari bangunan SPRM? Mendiang disiasat di tepi tingkap? Kalau dia terjun sendiri, kenapa seorang pemuda yang mempunyai kerjaya dan masa depan yang cerah serta akan mengadakan majlis perkahwinan pada keesokan hari akan membunuh diri?

Ibunya juga mengesahkan bahawa dia mempunyai simpanan tetap RM30,000.00 apabila ditujukan kemungkinan mendiang membunuh diri kerana masalah kewangan. Kalau bukan masalah kewangan, bukan masalah cinta dan bukan masalah kerjaya jadi apakah yang boleh siasatan polis mengaitkan kematiannya dengan membunuh diri sampai mengatakannya mencekik dirinya dileher kemudian terjun dari bangunan.

Apakah yang menjadi alasan untuk menyokong logik mendiang begitu ghairah untuk menyelesaikan nyawanya? Merasa salah terhadap majikannya kerana pegawai SPRM sengaja memutar belitkan penerangannya?

Kenapa dia tidak balik terus? Kalau nak bunuh diri kenapa memilih untuk berehat sebentar? Terlalu letih tak berdaya memanjat tingkap? Kalau nota itu sebagai wasiatnya kenapa hanya ditulis kepada majikannya dan bukan kepada ibu bapa dan bakal isterinya?

Kenapa hanya minta maaf dan menyampaikan jumpa lagi kepada majikannya diberi penjelasan sebagai bukti untuk bunuh diri? Takkanlah kerana kes disiasat cuma dua ribu empat ratus ringgit (RM2,400) pun sampai nak bunuh diri? Ini yang menjadi persoalan besar sekarang.

Tanggungjawab SPRM ialah untuk menyiasat sepenuhnya kejadian itu, dan jika ada kesilapan atau kelemahan, atau kecuaian dan salah laku di pihaknya, tindakan perlu diambil.

Ia mesti telus dan tegas. Segala keraguan dan persoalan mesti dijawab, dan janganlah senang-senang memberi jawapan kes bunuh diri yang tidak berasas sama sekali untuk mengelakkan institusi kerajaan disabitkan kesalahan demi menjaga kreditibiliti kerajaan!

Apa yang sebenarnya terjadi? Rakyat tidak tahu. Tapi mahu tahu. Kenyataan dan penjelasan pihak atasan SPRM dan polis sehingga ini tidak banyak membantu. Malah kenyataan dan penjelasan yang dibuat menimbulkan lebih banyak persoalan daripada jawapan.

Rakyat diberi tahu Teo bukan suspek kes salah guna wang peruntukkan wakil rakyat. Mendiang kata SPRM hanya seorang saksi. Namun SPRM menyoal siasatnya daripada jam 6 petang Rabu 15 Julai hingga 3.45 pagi Khamis 16 Julai. Yang rakyat ingin tahu adakah ini prosedur biasa?

Rakyat diberitahu mendiang Teo dibenarkan pulang pukul 4 pagi Khamis 16 Julai tetapi Teo mahu rehat diatas sofa pejabat SPRM. Mendiang dilihat berada di pejabat berkenaan pukul 6 pagi. Selepas itu tidak ada siapa nampak mendiang. Tujuh jam kemudian mayat Teo ditemui di tingkat lima bangunan bersebelahan pejabat SPRM Shah Alam.

Yang rakyat tanya mengapa seorang yang baru dibebaskan setelah disoal siasat berjam-jam lamanya memilih untuk berehat di tempat dia disoal siasat? Mengapa tidak terus pulang? Tidak menghubungi keluarga, kawan mahupun bosnya?

Rakyat juga ingin tahu mengapa “orang luar’ atau seorang yang bukan pegawai atau kakitangan SPRM dibiarkan berada atau “berkeliaran’ di pejabat agensi penting pada awal pagi atau pada “pagi pagi buta”?

Adakah rakyat percaya dengan siasatan polis? Rakyat masih tidak lupa bagaimana polis menyiasat kes mata lebam Anwar Ibrahim. Di mana hasil siasatan polis ternyata tidak telus apatah lagi bila melibatkan Rahim Noor ketika itu sebagai Ketua Polis Negara.

Sebab itu pelbagai pihak termasuk NGO dan Gerakan sendiri yang mendesak supaya ditubuhkan suruhanjaya bebas untuk menyasat kes mendiang Teoh Beng Hock.

Ada suara yang mengatakan bukan Melayu yang mempersoalkan tindakan dan cara siasatan SPRM adalah sama seperti mencabar kewibawaan Melayu kerana SPRM adalah sebuah organisasi yang dimiliki orang Melayu.

Utusan Malaysia mempersoalkan kenapa Suruhanjaya Diraja harus ditubuhkan untuk menyiasat kes ini? Apakah tujuan semua ini? Adakah dengan jawapan isu perkauman dan dipolitikkan sudah boleh member satu nota kepada desakan orang ramai supaya Suruhanjaya Diraja harus ditubuhkan untuk menyiasat kes ini?

Justeru saya memohon penglibatan semua pihak menyokong usaha menuntut keadilan untuk mendiang Teoh, keadilan untuk ibu bapa, tunang dan keluarga mendiang Teoh dan keadilan untuk Malaysia tercinta.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TOP Ten Minggu INI

Paling Popular