SHAH ALAM, 29 Dis - Tidak sampai seminggu Menteri Wilayah Persekutuan dan Pembangunan Luar Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin mengumumkan miskin tegar di bandar sudah berakhir, hari ini sekumpulan penduduk Projek Perumahan Rakyat atau (PPR) Wahyu, Selayang mengadakan tunjuk perasaan membantah tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang mahu memotong bekalan air dan menyita rumah kediaman mereka.
Tunjuk perasaan anjuran bersama Hindraf dan Parti Hak Asasi Manusia (HRP) itu bertujuan untuk menyerahkan memorandum mendesak DBKL menghentikan pemotongan bekalan air dan menyita 25 rumah keluarga India miskin PPR Wahyu.
“DBKL bertindak kejam hinggakan para penduduk terpaksa membawa baldi untuk menunjukkan sekiranya DBKL tidak mengekalkan bekalan air, maka para penduduk tiada pilihan lain selain mendapatkan air daripada DBKL sendiri,” kata AJK Eksekutif Pusat HRP, S. Thiagarajan.
Thiagarajan berkata, kebanyakan ahli keluarga tersebut tidak bekerja kerana menghidap pelbagai penyakit dan ada juga yang lumpuh.
Selain meminta penarikan notis, antara perkara yang dituntut dalam memorandum tersebut adalah;
1. Meminta bantuan Jabatan Kebajikan DBKL bagi menjelaskan bil-bil tertunggak sepertimana yang dilakukan oleh Baitulmal dan Lembaga Urus Zakat terhadap kaum Melayu miskin agar mereka dapat terus mendiami rumah serta memberi bantuan sokongan untuk menjelaskan bayaran bil bulanan.
2. Menawarkan kerja kepada anggota keluarga yang boleh bekerja dengan DBKL kerana ini akan memastikan para penduduk dapat membayar bil.
3. Mengambil alih pengurusan Alam Flora Sdn Bhd di mana 99 peratus pekerjanya adalah kaum India miskin yang membuat kerja kotor memungut sampah di Lembah Klang.
4. Menubuhkan skim perumahan untuk pekerja-pekerja India miskin yang bekerja dengan Alam Flora.
5. Memperuntukkan sejumlah wang sebagai biasiswa khas bagi anak-anak pekerja India miskin DBKL dan Alam Flora membantu mereka melanjutkan pelajaran dan mendapatkan latihan kemahiran.
6. Memberikan kaum India miskin dengan gerai, rumah kedai DBKL dan lesen perniagaan bagi membantu para pekerja DBKL dan Alam Flora yang telah pencen dan menghindari daripada aktiviti kurang sihat seperti gangsterism dan sebagainya.
Wakil DBKL, Mohd Aznan Zain, Pegawai Khas Dua kepada Datuk Bandar menerima memorandum bagi pihak Datuk Bandar dan memberi jaminan peribadi bahawa memorandum ini akan diserahkan kepada Datuk Bandar sebaik sahaja Datuk Bandar kembali dari cutinya pada 3 Januari, 2011.
Thiagarajan bagaimanapun tidak begitu berpuas hati dengan kenyataan yang diberi oleh Aznan kerana tiada jaminan diberikan berkenaan penangguhan atau penarikan arahan pemotongan bekalan air dan menyita rumah.
“Notis ini tidak diberhentikan seperti yang diminta (dalam memorandum) maka tiada jaminan bagi penduduk miskin ini untuk meneruskan kehidupan seperti sediakala, tetapi saya ingin menegaskan bahawa DBKL kekal dengan tindakan kejam terutamanya terhadap penduduk kaum India yang miskin dan sekiranya notis ini dikuatkuasakan, mereka ini akan kembali dan berkhemah di hadapan pejabat DBKL kerana mereka sudah tidak ada tempat lain untuk dituju,” jelasnya.