BERITA 1
Pemimpin MCA, Gerakan dedah sikap pelampau- Teresa Kok
Kuala Lumpur: Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok berkata beliau hormat dan kagum dengan Normala Sudirman, calon PAS di Tenang yang teguh kepada kepercayaan dan pendiriannya dalam menghadapi serangan dan kritikan yang dilempar pihak tertentu kepadanya.
Malahan, kata Teresa, kritikan tidak kena tempat yang dilempar terhadap kepercayaan agama Normala oleh pemimpin MCA dan Gerakan mendedahkan sifat melampau mereka serta kepura-puraan konsep 1Malaysia yang dibawa Barisan Nasional (BN).
“Hakikatnya pemimpin-pemimpin MCA dan Gerakan adalah golongan pelampau dan semua sokongan untuk 1Malaysia yang dinyatakan kepada Najib hanya merupakan kepura-puraan,” kata Teresa.
Beliau merujuk kepada kenyataan Presiden MCA, Dr Chua Soi Lek; Naib Presiden MCA, Dr Ng Yen Yen; Ahli Parlimen Labis, Chua Tee Yong; Ketua Wanita Gerakan, Tan Lian Hoe; serta Ahli Parlimen Alor Gajah, Fong Chan Onn yang mengkritik calon PAS di Tenang, Normala Sudirman yang memilih untuk tidak bersalam dengan lelaki.
“Dengan kenyataan-kenyataan mereka, pemimpin MCA dan Gerakan ini mendedahkan ketiadaan toleransi dan terhadap amalan agama yang berlainan daripada agama mereka. Mereka bersikap begitu tidak menghormati orang lain apabila berterusan mahu Normala mengabaikan kepercayaannya, membuka sarung tangan dan bersalam dengan semua orang,” kata Teresa.
Menurut Teresa, jika pemimpin MCA dan Gerakan benar-benar percaya kepada konsep 1Malaysia, mereka pastinya menghargai amalan agama setiap orang yang merupakan perkara yang sangat peribadi dan tidak tergamak membuat kenyataan berikut:
1. Chua Soi Lek- ‘(Normala) memakai sarung tangan untuk bersalam. Jika anda boleh terima ini sebagai satu nilai Islam, silalah undi PAS’2. Ng Yen Yen- ‘..kenapa (Normala) tidak mahu bersalam dengan pengundi lelaki?’3. Chua Tee Yong (cicipan Twitter)- ‘Normala memakai sarung tangan dan pembantunya bersalam bagi pihaknya. Pastinya dia akan mendakwa ia atasalasan kesihatan dan kebersihan.’4. Fong Chan Onn (cicipan Twitter)- ‘Apa akan berlaku jika Normala melihat seorang lelaki dilanggar kereta. Adakah dia akan membantu mengangkat lelaki tersebut?’5. Tan Lian Hoe (yang menuduh Normala bersikap angkuh)- ‘Bukan sahaja lelaki, apabila dia bersalam dengan perempuan, dia juga memakai sarungtangan. Ini tidak mesra. Adakah dia fikir tangan kita kotor?’
Jesteru, kata Teresa, cubaan pemimpin MCA dan Gerakan menakutkan orang ramai terutama bukan Islam merupakan satu penghinaan kepada kebijaksanaan pengundi di Tenang serta semua rakyat Malaysia.
Bagaimanapun, beliau percaya rakyat Malaysia tidak mengendahkan perkara luaran seperti isu bersalam sebagai kayu ukur memilih pemimpin sebaliknya pengundi mahukan pemimpin yang ikhlas, jujur, bersih dan tidak rasuah.
“Saya ingin menyatakan penghormatan dan kekaguman saya kepada Normala Sudirman kerana mempertahankan kepercayaannya dan memelihara maruahnya dalam berhadapan dengan serangan berfikiran sempit sedemikian,” katanya lagi. - www.keadilandaily.com
BERITA 2
Bersalaman: PKPIM pertahan tindakan Cikgu Mala
KUALA LUMPUR, 25 Jan: Isu salam antara lelaki dan perempuan yang bukan muhrim timbul mungkin disebabkan kegagalan Umno sendiri menjelaskan norma-norma Islam kepada orang bukan Islam.
Menurut Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Faizal Abdul Aziz, mungkin Umno tidak pernah mengamalkan norma-norma tersebut menyebabkan bukan Islam menjadi keliru.
Beliau berpendapat isu tersebut sepatutnya tidak perlu dipolitikkan dalam kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Tenang.
Ini kerana, tindakan calon PAS, Normala Sudirman enggan bersalam dengan lelaki, satu masej yang baik kerana Islam melarang bersentuhan antara lelaki dan perempuan kecuali muhrimnya.
"Bagi saya secara peribadi isu itu tidak elok dipolitikkan sebab isu salam itu tertulis dalam al- Quran yang kita tidak boleh bersentuhan antara kelaki dan perempuan kecuali muhrimnya," katanya kepada Harakah .
Baru-baru ini, Presiden MCA Dato' Seri Chua Sua Lek dipetik, secara sindiran mempersoal cara Normala dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) Dato' Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bersalaman di Tenang.
"Dia tidak akan datang ke sini (tokong Cina), (dan) dia langsung tidak bersalam dengan orang. Saya sudah terima aduan mengenai hal ini.
"Dia seperti isteri Anwar Ibrahim. Dia memakai sarung tangan ketika bersalam. Jika anda boleh menerima cara Islam sebegini, pergilah undi PAS," Dr Chua dipetik.
Menyokong pendirian Normala itu, Faizal berkata tindakan calon PAS tidak bersalam dengan lelaki adalah satu sikap yang wajar dipuji kerana telah pertahan syariat Islam.
Tambahnya lagi, jika beliau tidak bersalam pun, perpaduan kaum tidak akan terjejas.
Beliau berkata, di zaman nabi SAW perpaduan tetap utuh walaupun nabi seorang yang islamik.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP, Dr Tan Seng Giaw berkata, meskipun dalam masyarakat bukan Melayu, berjabat tangan antara lelaki dan perempuan amalan biasa, tetapi dalam agama Islam ada batasannya.
Kerana itu katanya, tindakan Normala memakai sarung tangan untuk berjabat tangan dengan orang lelaki semasa berkempen di Tenang tidak wajar dipertikai khususnya oleh MCA.
Katanya, sekalipun Dun Tenang kubu kuat Umno Normala tetap ikhlas turun ke sana walaupun bersalam dengan bersarung tangan.
"Kalau pakai sarung tangan tak apa, dan MCA memang suka jadikan isu-isu itu sebagai bahan mereka untuk menang.
"BN hendak dapat lebih 5000 undi dan kalau dia tak main isu seperti mungkin mereka tidak ada peluang," ujarnya. - HD ~ pria malaya ~