Grab the widget  IWeb Gator

Thursday, January 27, 2011

SERANGAN HENDAP DI JALAN CHENOR


Medan pertempuran telah dipilih iaitu di Batu 11, Jalan Chenor. Rupa bumi di situ agak baik terletak di suatu selekoh. Kereta-kereta terpaksa mengurangkan kelajuan apabila sampai di sini. Saya mengatur barisan hendapan lebih kurang sebagai berikut: Platun 1 dipimpin Mat Jelita menghendap di barisan hadapan, dilengkapkan dengan selaras breengun. 
Platun 2 diketuai Johan menghendap di suatu jurusan sebagai penembak utama, juga dilengkapkan dengan selaras breengun. Platun 4 diketuai Hasan menghendap di tengah yang merupakan sudut lereng. Naib Ketua Platun Rosli memimpin satu regu menghendap di jalan menghala Temerloh untuk menghadang bala bantuan musuh dan satu seksyen lagi menghendap di jalan menghala Paya Pasir juga untuk menghadang bala bantuan musuh. Saya memilih kedudukan bersama dengan Platun 1, berhampiran dengan penembak breengun.

Kami tidak mengetahui secara tepat musuh akan melalui jalan itu. Tapi melalui penyiasatan kami, musuh sentiasa melalui jalan tersebut. Lebih-lebih lagi penjajah British sedang membina sebuah balai polis baru di Kampung Paya Pasir untuk memperhebat penindasan ke atas massa dan menekan perjuangan bersenjata.

Pada 5 Ogos 1949, tak lama setelah kami mengatur barisan serangan hendapan, 3 buah trak askar dan polis berkekuatan kira-kira 1 platun yang dipimpin pegawai British melalui jalan tersebut di Batu 11, Jalan Chenor. Apabila kereta musuh tiba, kawan yang berkawal menyampaikan isyarat yang kereta musuh telah datang. 3 buah kereta musuh betul-betul memasuki hendapan, tembakan serentak segera dimuntahkan. Kedua-dua kereta tersebut terhenti, sebuah di antaranya termasuk ke dalam parit di tebing yang tinggi di hadapan Platun 4. Sejumlah askar dan polis luka atau mati dalam rangkaian tembakan pertama itu. Mana yang masih hidup melompat turun dari kereta melepaskan tembakan balas.

Pertempuran sengit telah berlaku. Saya mengeluarkan seruan supaya musuh itu angkat tangan, kami akan berikan layanan yang baik kepada mereka. Selepas seruan saya itu, saya seolah-olah terdengar satu suara "saya orang Perak". Selepas itu saya nampak 2 orang musuh angkat tangan dan pergi ke posisi Platun 4. Akan tetapi mengambil peluang itu, seorang polis telah mengambil beg pegawainya (mungkin berisikan wang atau dokumen penting) dan cabut lari dengan sekuat-kuatnya. Beberapa laras senapang ditembakkan ke arahnya, tapi tak kena.

Walaupun ramai musuh sudah bergelimpangan atau menyerah diri, tapi pertempuran tak dapat ditamatkan. Seorang polis berpangkat sarjan yang berlindung di sebalik kereta yang tersenget ke dalam parit melakukan perlawanan. Di belakangnya tebing yang tinggi. Kedudukannya amat menyusahkan kami menembaknya. Saya arahkan kawan-kawan buang bom tangan. Beberapa biji bom tangan dilemparkan, tetapi tidak dapat membunuhnya. Sehingga sejam lebih bertempur dan kawan-kawan menyerbu ke jalan raya barulah dia mengangkat tangan menyerah diri. Demikianlah pertempuran ditamatkan. Ketika kami merampas senjata sarjan tersebut didapati pistolnya sudah kehabisan peluru. Beberapa kawan yang tak sabar memakinya dengan mengatakan "kamu mahu mati bersama orang putih". Polis itu meminta maaf kerana dia tak tahu polisi Tentera Pembebasan terhadap tawanan. Ada kawan yang panas hati mahu melepaskan geram ke atas tawanan itu, tapi segera dicegah.

Dalam pertempuran itu 11 orang musuh ditembak mati termasuk pegawai British dan menawan 17 orang. Di antara 17 orang yang ditawan itu 14 orang di antaranya tercedera. Kami berjaya merampas 22 laras senapang, antaranya sepucuk breengun, 4 pucuk steengun, 2 pucuk pistol dan 5,000 biji berbagai jenis peluru serta sejumlah dokumen. Kereta musuh itu telah kami bakar. Breengun yang dirampas dalam pertempuran itu kini masih tersimpan di muzium kami sebagai kenangan sejarah. Ketika dirampas breengun itu diisi dalam kotak, menandakan ia baru dan belum dipakai lagi.
Abdullah C.D. bergambar dengan Breengun  British yang dirampas di Jalan Chenor


Kami memberikan layanan murah hati terhadap para tawanan mengikut disiplin Tentera Pembebasan Nasional. Dalam 10 Fasal Perhatian terdapat 2 fasal berikut: (7) Jangan memukul atau memaki orang dan (10) Jangan menganiayai tawanan perang. Kami memberikan penerangan kepada mereka bahawa kami hanya melawan orang putih untuk kemerdekaan tanah air. Sepatutnya askar Melayu dan Tentera Pembebasan tidak berperang sesama sendiri, tetapi kerana askar dan polis mempertahan dan membela kekuasaan penjajah British, maka berlakulah pertempuran.

Para askar tawanan itu menyatakan yang mereka tidak memahami keadaan sebenarnya. Kepada tawanan-tawanan itu saya berikan 20.00 ringgit setiap orang untuk mereka pulang ke rumah. Para tawanan itu menceritakan layanan baik dari Tentera Pembebasan itu kepada orang ramai sehingga menimbulkan pengaruh yang besar.

Dari dokumen yang kami rampas, kami mengetahui bahawa pasukan tentera dan polis ini membawa senjata dan alat-alat kelengkapan militer untuk balai polis baru di Kampung Paya Pasir. Pasukan itu, Junggle Squard namanya, didatangkan khas dari Pulau Pinang, pernah mendapat kepujian dan latihan khas oleh penjajah British. Akan tetapi untuk menutup malunya, penjajah British telah memberikan penghargaan yang besar kepada askar-askarnya yang mati, luka atau menyerah diri dalam pertempuran itu.

Selesai pertempuran, Kompeni A pulang ke perkhemahannya di Kampung Paya Kerinau. Kami mengadakan perayaan 3 hari 3 malam. Segenap perajurit amat gembira dan terberangsang, sejumlah kawan yang belum ada senjata telah memiliki senjata. Selain itu, kami mengkaji dan membuat kesimpulan dari pertempuran tersebut dan merangka gerakan selanjutnya.

Markas Agung Tentera Pembebasan Nasional Malaya telah mengeluarkan PERINTAH PUJIAN kepada pasukan Rejimen Ke-10 atas kemenangan cemerlang itu. Ini adalah Perintah Pujian pertama yang dikeluarkan oleh Markas Agung. Oleh itu Pasukan Rejimen Ke-10 merupakan pasukan pertama yang mendapat perintah kepujian itu sejak meletusnya Perang Pembebasan Nasional Anti-British.

Berita pertempuran jaya itu segera tersebar dari kampung ke kampung. Massa yang bencikan penjajah British amat gembira dan terberangsang.

Akan tetapi penjajah British dan konco-konconya amat gementar. Diberitakan bahawa selepas pertempuran itu polis dan askar di kawasan Temerloh diperintahkan oleh penjajah British berada dalam keadaan siap sedia. Bandar Temerloh menjadi lengang seketika. Kawasan medan pertempuran itu meninggalkan kesan yang amat menggerunkan bagi askar musuh. Bila mereka melalui kawasan itu, mereka melepaskan tembakan terlebih dahulu.

Sumber: Memoir Abdullah C.D. Bahagian Kedua

posting terkait:

MAT INDERA: PERTEMPURAN MENENTANG PENJAJAH BRITISH

PUISI PERAJURIT: PERTEMPURAN DI SUNGAI SEKAM

BERTEMPUR DENGAN ASKAR AUSTRALIA DI BUKIT CHEMPEDAK 

KINI DAN SILAM url: http://matamin02.blogspot.com emai: matamin48@live.com
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TOP Ten Minggu INI

Paling Popular