KUALA LUMPUR: Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia, Shamsul Iskandar menyifatkan kenaikan harga petrol RON 97 sebanyak 10 sen kepada RM2.50 seliter sebagai ‘hadiah’ kemenangan Umno Barisan Nasional terhadap rakyat.
Ia berikutan kenaikan itu berlaku sehari selepas Umno BN mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang dengan peningkatan majoriti.
Beliau menyifatkan kenaikan sebaik sahaja mencapai kemenangan pilihan raya menunjukkan betapa Umno BN langsung tidak prihatin mahupun berperikemanusiaan terhadap rakyat.
“Ini ‘hadiah’ kepada rakyat selepas BN menang pilihan raya kecil Tenang,” kata Shamsul kepada Suara Keadilan.
Kenaikan ini adalah ketiga dalam masa dua bulan. Pada 5 Januari lalu, kenaikan 10 sen. Harga RON97 naik 15 sen pada 1 Disember lalu, menjadi RM2.30 seliter.
Shamsul percaya kenaikan itu akan membangkitkan semangat rakyat untuk melawan pemerintah zalim yang terpisah dari realiti kepayahan hidup.
“Ia menjadi pendorong kepada rakyat untuk bangkit seperti di Mesir dan Tunisia,” katanya.