Grab the widget  IWeb Gator

Thursday, January 13, 2011

PRU 13 Serentak dgn Sarawak??


Merdeka Centre ramal PM adakan pilihan raya serentak dengan Sarawak

 
Tidak mustahil, Perdana Menteri akan mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 serentak dengan Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri Sarawak tahun ini. Demikian ditegaskan oleh Pengarah pusat Penyelidikan Merdeka Center, Ibrahim Sufian berdasarkan beberapa faktor. Beliau juga tidak menafikan tarikh pilihan raya akan diadakan lebih lewat bukan sepertimana yang disebut-sebut oleh sesetengah penganalisis politik.

"Jika  PRU ke 13 tetap mahu diadakan lebih awal maka ia mungkin akan memberikan impak yang besar kepada jentera petugas pilihan raya BN di Sarawak," ujarnya. Sungguh pun begitu, berdasarkan sumber maklumat dalaman, Ibrahim berkata, terdapat rasa kurang yakin pada beberapa pemimpin politik BN disebabkan oleh banyak pelan yang dibentangkan sebelum ini masih belum menampakkan hasil.

"Mereka rasa belum cukup 100 peratus yakin dengan untuk mengadakan pilihan raya tersebut dalam tempoh terdekat memandangkan rakyat masih tidak dapat melihat kemampuan mereka mengotakan janji yang dilafazkan dalam manifesto dan bajet sebelum ini," katanya.

Ditanya mengenai relevansi tindakan untuk melewatkan tarikh pilihan raya tersebut disebabkan oleh sasaran yang lebih besar, beliau tidak menafikannya. "Saya bersetuju dengan sesetengah pandangan yang menyatakan bahawa pada kebiasaannya pilihan raya pertama bagi Perdana Menteri yang baru menempuhnya pada sesi awal pentadbiran mencapai kegemilangan yakni menang besar.

"Justeru, ia bertepatan dengan tindakan untuk mengadakan dua pilihan raya yakni umum dan negeri Sarawak serentak dan dilewatkan. Alasannya ialah jika kemenangan yang diperolehi BN di Sarawak tidak cukup besar dan solid, maka ia akan menyebabkan semangat jentera BN di negeri lain turut merudum atau terjejas. Itu adalah suatu strategi yang baik untuk mengadakannya serentak, tetapi ia tetap diadakan lewat bagi memberikan masa dan ruang bagi BN melaksanakan segala janji yang dibuat selepas Pilihan Raya Umum ke-12 lalu," tegas Ibrahim.

Selain itu, faktor yang membolehkan BN menang pada PRU pertama bagi Perdana Menteri yang baru ialah pujuk rayu mereka kepada pengundi agar memberikan peluang kepada pemimpin yang baru sahaja menerajui tampuk kepimpinan negara, ujarnya.

Katanya, ia adalah strategi yang diamalkan secara tradisi oleh pemimpin-pemimpin BN yang baru bagi mengekalkan kekuasaan mereka dalam arena politik di negara ini. Oleh itu ujar Ibrahim, Dato' Seri Najib Tun Razak akan memaksimumkan segala potensi dan strategi yang ada untuk menang besar.

"Tambahan pula, bagi menyokong alasan untuk rakyat masih mengekalkan sokongan padanya perdana menteri BN akan mengemukakan pelbagai bentuk idea baru bagi mengatasi kelemahan dan masalah sebelumnya. Semuanya ini akan dijalankan dalam tempoh masa terdekat sebagai bukti akan kemampuan dan kekuatan mereka," katanya lagi.

Tegasnya, segala inisiatif tersebut adalah bertujuan membolehkan Najib memperolehi pertambahan undi pada PRU 13 itu. Ibrahim berasa tidak hairan dengan tindakan kerajaan yang ingin melaksanakan segala pelan yang dilancarkan dalam kadar yang segera walaupun ianya tetap akan mengambil masa.

"Sekaligus ia menjadi cabaran kepada pembangkang untuk menghadapi apa yang berlaku pada masa tersebut kelak," tegasnya lagi. Menjawab soalan mengenai tarikh jangkaan PRU 13, beliau berkata berdasarkan perkembangan terkini ia mungkin akan dilaksanakan pada akhir tahun 2011 atau awal 2012.

"Ini kerana BN masih dalam proses peralihan dan pelan-pelan yang dilancarkan seperti ETP dan EPP masih belum memperlihatkan hasil bagi membuktikan sesuatu pencapaian kepada rakyat untuk terus mengukuhkan kuasa," katanya lagi.

Dalam pada itu, Ibrahim turut menjangkakan BN akan menghadapi kesukaran untuk mempertahankan majoriti dua pertiga di parlimen pada PRU 13 akan datang. "Kita menjangkakan kerusi-kerusi parlimen di kawasan bandar akan jatuh kepada pembangkang, manakala bagi Pilihan Raya Dun Sarawak pula akan menyaksikan pertambahan kerusi pembangkang. "Ini sekaligus menguatkan lagi hujah untuk kedua-dua pilihan raya itu diadakan secara serentak bagi menutup kelemahan tersebut daripada dirasai rakyat khususnya jentera BN sendiri," ujarnya lagi.

Dicatat oleh Tarmizi Mohd Jam     Sumber
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TOP Ten Minggu INI

Paling Popular