Grab the widget  IWeb Gator

Thursday, January 13, 2011

Polis selesai siasat kes jurugambar Bernama dipukul


KUALA LUMPUR, 13 Jan – Polis selesai menyiasat kes seorang jurugambar Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) yang mendakwa dipukul beberapa anggota polis bantuan berhampiran Terminal Bersepadu Selatan-Bandar Tasik Selatan (TBS-BTS) Ahad lalu.


Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Zulkifli Abdullah berkata pihaknya telah menghantar kertas siasatan ke pejabat Pendakwa Raya petang semalam untuk tindakan lanjut.

“Keputusan sama ada yang akan didakwa atau sebagainya bergantung kepada pertimbangan mereka,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini hari ini.


Dalam kejadian itu, Hairul Nizam Baharin, 37, mendakwa ditumbuk lelaki yang memakai ves polis bantuan semasa beliau menjalankan tugas mengambil gambar dipersekitaran terminal itu pada 11.30 pagi.

Zulkifli berkata setakat ini hanya seorang sahaja anggota polis bantuan yang disiasat memandangkan anggota yang lain adalah saksi kejadian.

Kes itu disiasat mengikut seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.
Dalam perkembangan kes lain, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah berkata seorang budak lelaki, lapan tahun yang sebelum ini dilaporkan diabaikan penjagaan oleh ibunya telah meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur, semalam.

“Kami dimaklumkan semalam bahawa mangsa telah mati atas satu terma perubatan yang digelar Severe Scepticimia (kehadiran bakteria dalam darah),” katanya.

Pada 13 Dis lepas, seorang doktor Hospital Kuala Lumpur membuat laporan polis berhubung kes mangsa yang dipercayai didera ibunya.

Ibu mangsa, 30an,telah membawa mangsa ke hospital itu bagi menerima rawatan dan selepas diperiksa doktor terbabit mendapati mangsa telah mengalami kereputan tisu tubuh di tangan kirinya.
Mangsa memberitahu polis bahawa kecederaan tangan kirinya itu disebabkan terkena air panas dan berikutan itu, ibu mangsa yang bekerja sebagai jurujual ditahan.

Siasatan lanjut polis mendapati, mangsa terkena air panas ketika sedang cuba memasak kerana ditinggalkan ibunya, bersendirian.

Siasatan juga mendapati selepas kejadian terkena air panas itu, mangsa dikurung dan dibiarkan tanpa menerima rawatan sehinggalah tangannya mengalami kereputan tisu tubuh.

Ibu mangsa kemudian dibebaskan dengan jaminan polis sebelum dirujuk ke hospital untuk kaunseling dan rawatan psikologi.  Ku berkata pihaknya sedang meneliti kes itu sama ada ibu mangsa akan didakwa dibawah Akta Kanak-Kanak.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TOP Ten Minggu INI

Paling Popular