Nazli Ibrahim
Bagi meraih sokongan anak-anak muda, kehadiran NGO Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) dan Soladariti Anak Muda Malaysia (SAMM) dalam kempen pilihan raya kecil (PRK) DUN Tenang telah berjaya memberikan satu lagi platform sokongan daripada anak-anak muda tempatan. ANAK diketuai oleh Presidennya, Mazlan Aliman yang merupakan sebuah pertubuhan mewakili generasi kedua dan ketiga peneroka Felda, PRK DUN Tenang ini bukanlah kempen pilihan raya yang pertama buat mereka.
Malahan nama pertubuhan tersebut mula meniti di bibir masyarakat felda seluruh negara apabila giat membongkar apa yang didakwa penipuan oleh Felda terhadap peneroka termasuk kejayaan tuntutan ganti rugi peneroka terhadap Felda di mahkamah.
Jesteru itu, kelibat ANAK di Tenang sedikit sebanyak dianggap mampu memberi impak dalam mempengaruhi pengundi-pegundi muda di kalangan masyarakat muda warga Felda.
Golongan pengundi muda di DUN Tenang dianggarkan sekitar 40 peratus daripada 14,753 pengundi keseluruhan DUN ini yang bakal membuang undi pada Ahad ini.
Selain itu, dianggarkan hampir separuh golongan itu kebanyakkan kini berhijrah ke bandar-bandar utama dalam negara yang secara persepsinya dianggap memberi kelebihan kepada parti pembangkang.
Sementara bagi SAMM yang merupakan kali pertama menyatakan secara rasmi pendirian mereka yang menyokong calon PAS dalam PRK itu, juga dianggap sebagai satu lagi daya penarik sokongan dan minat anak muda agar lebih mendekati perkembangan politik tanah air.
SAMM merupakan pertubuhan yang dianggotai anak-anak muda dari pelbagai latar belakang parti politik itu dianggap sebagai pertubuhan yang membawa aspirasi anak muda yang mahukan perubahan dalam negara ini.
Golongan muda kurang minat hadiri ceramah politik
Menjadi pengetahuan umum, terdapat ramai dari kalangan golongan anak-anak muda ini yang dingin terhadap program-program yang dianjurkan parti-parti politik lebih-lebih lagi dalam program yang melibatkan ceramah politik.
Keadaan ini menyebabkan golongan pinggiran dari kelompok anak muda ini hanya menerima maklumat melalui media-media arus perdana yang tentunya tidak melaporkan sesuatu isu secara adil.
Mengadakan program menarik minat anak muda
Bagaimanapun melalui program yang lebih santai dan mesra anak muda yang dianjurkan oleh SAMM dan ANAK ini dilihat sesuatu pendekatan yang bijak dalam memainkan peranan bagi mengisi kekosongan ini.
Antara program yang dianjurkan termasuklah mengadakan program Sembang Santai ‘bbq’, Dialog Anak Muda, Sembang Minum Petang Anak Muda, Malam Keseniaan dan Pentas Anak Muda, Futsal Anak Muda, Sepetang bersama Juara Cub Prix Asia, Yaser Said dan pelbagai program lain.
Walaupun program tersebut tidak mencatatkan jumlah kehadiran yang tinggi berbanding ceramah-ceramah politik, program ini tetap mempunyai tarikan tersendiri serta mudah didekati oleh anak-anak muda khususnya golongan di antara 21 hingga 35 tahun.
Pedekatan program yang mengutamakan pengisisan yang dekat di hati anak muda ini juga lebih mampu memberikan kesan yang mendalam dan berpanjangan terhadap generasi muda ini berbanding ceramah politk yang lazim diadakan.
Maka tidaklah menghairankan apabila kejayaan pendekatan ANAK dan SAMM ini telah menimbulkan rasa kurang senang di pihak Umno apabila anak-anak muda yang menjauhkan diri daripada parti elit itu tidak pula kekok berada dalam program yang dianjurkan dua pertubuhan ini.
Malahan, bukan sahaja Umno, ia turut dicemburui oleh beberapa pihak dalam Angkatan Muda Keadilan (AMK) apabila kelincahan SAMM dilihat mampu menenggelamkan AMK sendiri.Nazri juga mempunyai blog di bedukcanang.blogspot.com
* Tulisan di atas adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian KL-Today.com. Maka pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kesan selepas yang berlaku akibat tulisan berkenaan http://www.kl-today.com/?p=11596