Grab the widget  IWeb Gator

Tuesday, February 1, 2011

PRK Merlimau: KEADILAN negeri mesyuarat malam ini bincang gerak kerja parti



Norasikin Samsi | 1 Feb 2011, 02:39 pm 

JASIN: Seluruh jawatankuasa KEADILAN Cabang Jasin akan bermesyuarat malam ini bagi membincangkan gerak kerja parti berhubung persediaan untuk  menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau, 6 Mac depan.

Mesyuarat yang akan diadakan di pejabat KEADILAN Jasin di Air Merbau Melaka itu bakal dipengerusikan oleh Shamsul Iskandar Md Akin selaku Pengerusi Majlis Pimpinan Melaka.

Beliau yang juga Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Pusat berkata, selain perbincangan mengenai penyusunan dan pengarahan berkaitan gerak kerja PRK tersebut, mesyuarat jam 9.00 malam ini juga bakal membincangkan berhubung kekalahan Pakatan Rakyat pada PRK Tenang Ahad lalu.

“Mesyuarat malam ini mengandungi penjelasan terperinci mengenai gerak kerja KEADILAN termasuk proses penambahbaikan serta perjalanan parti untuk mendepani Barisan Nasional bagi menghadapi lebih kurang sebulan lagi sebelum PRK Merlimau berlangsung,” katanya kepada Keadilan Daily.com.

Ketika ditanya mengenai minat KEADILAN untuk meletakkan calonnya bertanding di kawasan itu yang sebelum ini diwakili calon PAS, Shamsul bagaimanapun menyambut baik berhubung kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Keputusan untuk meletakkan calon dari parti mana yang akan diketengahkan dalam pilihan raya kecil ini terletak kepada Majlis Presiden (Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat) sebagaimana yang telah diumumkan Datuk Seri Abdul Hadi sebelum ini bahawa penentuan itu akan dibuat menerusi perbincangan yang bakal diadakan dalam waktu terdekat ini.

“Apa juga keputusan yang ditetapkan, KEADILAN menyambut baik pemilihan berkenaan tidak mengira parti mana yang dipilih sebagai calon kerana apa yang penting calon yang bertanding mewakili Pakatan Rakyat,” katanya.

Menurut Shamsul, meskipun secara tradisi Pakatan Rakyat itu mengekalkanstatus quo, namun terdapat beberapa faktor yang menyokong KEADILAN meletakkan calonnya untuk bertanding.

Keadaan hampir sama juga pernah berlaku sebelum ini pada 2009 apabila KEADILAN meminta meletakkan calonnya di kerusi yang dikuasai PAS selama tiga penggal di DUN Permatang Pasir, Pulau Pinang.

Program Jingga Walk
Mengulas lanjut mengenai gerak kerja KEADILAN di Merlimau, Shamsul berkata, program pertama yang dilancarkan adalah Program Jingga Walk.

Katanya, gerak kerja pertama itu telahpun dimulakan pada 29 Januari lalu di bandar Jasin oleh AMK, Wanita serta jentera KEADILAN Melaka.

“Pertemuan bersama masyarakat Cina di bandar Jasin bersempena sambutan Tahun Baru Cina Sabtu lalu akan dilanjutkan dengan pelbagai lagi program selepas ini.

“Alhamdulillah, kita dapati sokongan kaum Cina terhadap KEADILAN di Merlimau di luar jangkaan.

“Saya dimaklumkan sendiri oleh peniaga-peniaga di sana, mereka telah diberi RM400 daripada Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri (Ali Rustam) semasa lawatannya di lokasi yang sama sehari sebelum itu.

“Bagaimanapun mereka (penduduk) memberitahu ‘gula-gula’ (RM400) berkenaan sesekali tidak menjejaskan sokongan mereka terhadap Pakatan Rakyat,” jelas Shamsul.

Pada kunjungan itu, Shamsul bersama AMK KEADILAN Melaka mengedarkan 1000 naskhah akhbar rasmi KEADILAN – Suara Keadilan bersama buah limau.

Mereka juga turut memperkenal dan menerangkan kepada penduduk kawasan berkenaan berhubung peranan Buku Jingga yang menggariskan program 100 Hari Pakatan Rakyat.

“Sebab itu kami menggunakan tema bewarna jingga malah pemilihan nama program adalah bertepatan dengan pelaksanaannya,” jelas Shamsul.

Kerusi DUN Merlimau kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan, 54, pada 20 Januari lalu akibat serangan jantung.

Pada pilihan raya umum 2008, Mohamad Hidhir menewaskan calon PAS, Jasme Tompang dengan majoriti 2,154 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 26 Februari sebagai tarikh penamaan calon dan sekiranya ada pertandingan, pengundian pada 6 Mac.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TOP Ten Minggu INI

Paling Popular