KUALA LUMPUR, 21 Feb: Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) mendesak Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin meletakkan jawatan ekoran kegagalannya menangani masalah demokrasi kampus yang semakin kritikal berkaitan perjalanan pilihan raya kampus (PRK). Desakan itu juga kerana kegagalan Khaled menyahut cabaran mahasiswa untuk berdialog secara terbuka mengenai isu-isu mahasiswa. Pengerusi Majlis Politik Nasional (MPN) Gamis, Ahmad Syukri Ab Razab berkata, tindakan Khaled dalam berhadapan dengan tuntutan mahasiswa adalah amat tidak rasional. “Bagi saya, beliau tidak mengambil pengajaran daripada situasi negara luar yang sedang bergelora dengan revolusi rakyat,” kata beliau dalam satu kenyataan. Gamis sebaliknya mahu Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Saifuddin Abdullah menggantikan Khaled mengetuai kementerian berkenaan kerana dilihat lebih bersifat terbuka terhadap suara mahasiswa. “Keprihatinan Timbalan Menteri KPT ini jelas kelihatan apabila beliau sangat rapat dengan mahasiswa bukan sahaja melalui saluran formal bahkan melalui jaringan tidak formal. “Ini dapat dilihat apabila beliau sangat sensitif dalam isu kemahasiswaan biarpun respon beliau kadangkala bercanggah dengan pendirian di peringkat Kementerian,” katanya. Tambahnya, Saifuddin antara individu penting yang memperjuangkan pindaan terbaru Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) sehingga sudut pidato dirasmikan semula di kampus-kampus. “Biarpun perlantikan Datuk Saifuddin belum menjanjikan perubahan terhadap suasana demokrasi kampus yang lebih baik, namun sekurang-kurangnya ada jaminan bahawa beliau akan memberi ruang yang lebih luas untuk mahasiswa bersuara berdasarkan prestasi semasa beliau sebagai Timbalan Menteri KPT,” katanya lagi. Kegagalan Khaled berhadapan tuntutan mahasiswa Gamis mengambil serius kegagalan Khaled berhadapan dengan tuntutan mahasiswa sebelum ini. Memorandum Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) berhubung salah guna kuasa pihak universiti dalam pilihan raya kampus pada Januari tahun lalu tidak dilayan. “Bukan sekadar tidak memberi respons positif, bahkan Menteri tidak langsung memberi respons terhadap semua tuntutan yang dibuat. Katanya lagi, Pada tahun 2011 keadaan yang sama berulang apabila memorandum yang hampir sama tidak juga dilayan. Selain itu, Khaled juga tidak menjawab surat jemputan Pro-M untuk berdialog pada 9 Februari lalu. “Namun malangnya surat tersebut hanya dibalas dengan sms pada keesokan harinya yang menyatakan bahawa Menteri KPT tidak mempunyai kelapangan untuk memenuhi undangan tersebut. “Kami di pihak mahasiswa boleh menerima alasan yang diberi, namun dengan sekadar alasan seperti itu, kami merasakan sememangnya tidak ada kesungguhan di peringkat Menteri untuk menanggapi tuntutan mahasiswa secara serius,” katanya. Harakah |