"Kita melihat mereka hanya memilih beberapa item tertentu untuk ditonjolkan sedangkan menutup item yang lain,"
Setiap laporan audit yang dibentangkan mestilah lebih terperinci agar tidak menimbulkan keraguan kepada rakyar, kata Ahli Parlimen Rantau Panjang, Ustazah Siti Zailah Mohd Yusof. Beliau merujuk kepada laporan audit bagi Kementerian Pertahanan yang di keluarkan oleh Jabatan Audit Negara yang dilihat seolah-olah menyembunyikan sesuatu dari diketahui oleh rakyat.
"Untuk menjamin ketelusan dan kewibawaan kepimpinan, kerajaan seharusnya bersifat lebih bertanggungjawab. Jangan hanya memilih satu-satu jabatan sahaja sebaliknya melindungi mana-mana agensi yang bermasalah.
"Kita melihat mereka hanya memilih beberapa item tertentu untuk ditonjolkan sedangkan menutup item yang lain," tegas beliau yang juga Timbalan Ketua Muslimat PAS Pusat kepada Harakah. Siti Zailah menambah, bukan sekadar Kementerian Pertahanan sahaja yang tidak diperincikan dengan jelas, malah banyak laporan dari jabatan yang lain juga begitu.
Jelasnya, satu dasar yang telus dan diyakini perlu dilakukan oleh kerajaan supaya rakyat melihat kerajaan benar-benar ikhlas dalam membuat sesuatu laporan. Kata beliau lagi, kerajaan perlu memperhebatkan lagi pemantauan kewangan negara sebagaimana slogan "rakyat didahulukan, prestasi diutamakan".
"Kita mahu melihat kerajaan yang ada sekarang benar-benar mahu meletakkan kepentingan negara dan rakyat. Ini adalah wang rakyat, jadi perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku didalam pentadbiran yang kononnya telus," tegasnya.
Menurut Siti Zailah, laporan yang dikeluarkan juga menimbulkan keraguan kerana masih ada fakta-fakta yang cuba disembunyikan oleh pihak atasan. "Maknanya kita turut tidak puas hati dengan laporan yang dibentangkan. Jadi kita harap Jabatan Audit lebih telus dalam membentangkan laporan.
"Kita juga mahu setiap laporan yang dibentangkan benar-benar mencerminkan kerajaan yang memelihara dan meletakkan kepentingan rakyat dalam keadaan negara berhadapan dengan krisis ekonomi serta mahu menghapuskan rasuah," ujarnya lagi.