Grab the widget  IWeb Gator

Wednesday, January 12, 2011

Ada banyak rahsia tak terburai: Ahli Parlimen BN kecewa bertemu PM hanya 5 hingga 10 minit


Berita besar minggu kedua, bulan Januari 2011, Perdana Menteri (PM), Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak mengadakan pertemuan dengan semua ahli parlimen (MP) BN di PWTC bertujuan mengetahui keadaan di kawasan diterajui wakil-wakil rakyat terbabit.

Kesannya, rata-rata MP yang bertemu dengan Najib ini melahirkan rasa kecewa yang amat sangat kerana mereka bukan berbincang 'empat mata' sahaja, sebaliknya bersama-sama Najib adalah Setiausaha Agung BN, Dato' Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan seorang pegawai dari Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Sudahlah selama ini mereka susah mahu meminta bertemu PM, kini, apabila PM menjemput mereka mengadakan pertemuan dalam masa lima hingga 10 minit, ada pula orang lain yang menyebabkan pertemuan antara MP BN dengan PM dianggap sebagai tidak berjaya.

Seorang MP Umno dari Sabah memberitahu, dia dijemput masuk bertemu dengan Najib bersama-sama MP dari Sabah yang mewakili PBS. Jika ada masalah dia dengan PBS di Sabah, bagaimana kah harus dia bercakap dengan PM ketika ada wakil PBS di bilik berkenaan yang boleh mendengar semua perbincangan?

Seorang lagi MP Umno dari Pahang pula memberitahu, sepatutnya Najib lebih bersedia untuk berjumpa dengan mereka, bersama-sama maklumat kawasan masing-masing. Tidak perlu bertanya kepada MP yang datang menemuinya dengan soalan-soalan kurang perlu seperti, "berapa majoriti awak dulu?" sedangkan semua maklumat ini tentunya patut ada di tangan PM yang serba tahu itu.

Ini antara cerita yang dibawa keluar. Sama-sama mereka, di kalangan MP nampak mereka tidak puashati. Mereka tidak dapat meluahkan sepenuhnya apa yang terbuku di hati kerana Najib mempunyai teman di bilik pertemuan itu, sedangkan dalam politik, ketua mereka ialah Najib seorang sahaja di peringkat Pusat.

Tafsiran di luar, Najib sebenarnya mahukan kemenangan dalam PRU-3 akan datang. Kemenangan yang beliau harapkan tentulah kemenangan kerusi-kerusi Parlimen yang boleh memberikannya tempat di Putrajaya semula.

Ketika beliau mengakui "kita mahu dipilih semula", harapannya banyak bergantung kepada prestasi MP-MP BN ini, selain berhasrat merampas sebanyak mungkin kerusi Parlimen yang dimenangi pembangkang. Malangnya, MP BN yang hanya tinggal 135 orang ini pun, Najib masih tidak bersedia melayani mereka sepenuh hati, dengan menjemput mereka mengadakan pertemuan hanya lima hingga 10 minit seorang, sedangkan Najib tahu bahawa tanpa MP BN ini, beliau pun tidak akan berada di kedudukannya sekarang.

Barangkali ini yang dikatakan slogan "1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan". Najib terlalu sibuk hingga MP yang meletakkannya di Putrajaya hanya mampu disantuninya setakat lima minit sedangkan semua MP inilah yang mempertahankannya di Parlimen dari serangan blok pembangkang.

Agaknya, sebagai tanda terima kasih, selepas Najib pulang dari bercuti, maka semua MP ini dijemput bertemu dengannya, setiap orang hanya lima minit kerana bimbang kalau lebih waktu yang diberikan, MP BN ini akan menghulurkan sampul surat permohonan projek runding terus. Najib sebenarnya boleh memperuntukan lebih masa untuk mengadakan pertemuan dengan MP BN ini jika beliau benar-benar ikhlas mahu berjumpa dengan mereka.

Apa salahnya, jika Najib mengambil masa sebulan, dengan menemui sehari 10 MP BN sahaja di pejabatnya dan diteruskan secara bergilir-gilir sehingga selesai berjumpa 135 MP BN ini? Kenapa perlu diadakan di PWTC di mana letaknya Ibu Pejabat Umno dengan turut dihadiri ramai orang luar yang tentunya "menyesakkan fikiran MP BN" ini ketika sebelum dan selepas bertemu dengan PM?

Betullah langkah bertemu itu. Tetapi jikalau pertemuan sekadar melepaskan batuk ditangga, hanya memenuhi kalendar seorang PM, tetapi dalam masa yang sama, soal hati rakyat dan soal hati wakil rakyat tidak dapat diluahkan sepenuhnya – apalah maknanya pertemuan singkat itu?

Terlalu hebatlah PM Najib jika hanya dengan pertemuan lima minit, beliau dapat memberitahu dan mengetahui pandangan mereka serta situasi di setiap kawasan Parlimen seperti apa yang dianggap ini merupakan transformasi politik Umno dan BN.

Bukan setakat PM Najib hebat, malahan, MP BN juga merupakan orang yang hebat-hebat kerana mereka mampu mencurahkan segala-gala masalah dan aduan kepada PM dalam masa lima minit dalam keadaan masalah diri masing-masing pun ada yang masih tidak mampu diselesaikan.

Bagi MP BN dari kalangan Umno, mereka mungkin mempunyai peluang kedua mengadakan pertemuan dengan PM Najib kerana Najib dalam sidang akhbar selepas pertemuan itu mengakui jika ada masa, beliau akan bertemu dengan ketua-ketua Umno bahagian pula selain Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), tetapi bagi MP BN yang bukan dari kalangan ketua Umno bahagian, apakah mereka masih berpeluang bertemu dengan PM Najib?

Usahlah orang biasa, rakyat marhain dan kakitangan kerajaan berangan-angan mahu bertemu dengan PM Najib jika apa yang Najib lakukan terhadap MP BN ini diambil kira. Bayangkan, MP BN yang menyebabkan Najib berada di kerusi PM dan kekal di Putrajaya pun hanya dilayan seperti ini, bertemu entah berapa tahun sekali, sekadar lima minit, apakah PM Najib mempunyai masa untuk bertemu dengan rakyat terbanyak?

Maka, jika Najib turun ke kampung-kampung, Najib mungkin akan diterima setakat lima minit sahaja oleh rakyat di kampung kerana mereka juga mempunyai kesibukan untuk meneruskan kehidupan seharian, bagi menanggung anak-anak dan keluarga yang memerlukan perbelanjaan.

Adalah lebih baik jika Najib tidak perlu mengadakan pertemuan lima minit ini dengan MP BN, melainkan meminta mereka menulis apa sahaja yang mereka mahu sampaikan dan dihantar kepadanya melalui pos. Jika tidak, email sahaja apa yang terbuku di hati supaya soal hati rakyat dapat disampaikan dengan cukup sempurna.

Usah sesiapa terkejut jika selepas ini, ada menteri-menteri juga akan memberi masa lima hingga 10 minit kepada MP BN ini untuk bertemu kerana tauladan sudah ditunjukkan PM Najib dalam pertemuan minggu kedua, tahun baru 2011 yang lalu.

http://sanggahtoksago.blogspot.com/2011/01/ada-banyak-rahsia-tak-terburai-ahli.html

Maka, MP BN bolehlah beranggapan bahawa, Najib dan kepimpinan BN sebenarnya tidak pernah sedar bahawa mereka bukannya mesra rakyat. Dalam keadaan mereka bukannya kuat sangat sekarang ini, pun mereka menyantuni MP BN dengan lima minit, bagaimana agaknya jikalau BN menang besar semula selepas ini?

Apakah MP BN selepas ini hanya disantuni seminit setiap orang kerana waktu kemenangan besar kelak, bukan 135 MP BN, tetapi lebih lagi. Jadi, untuk menyedarkan PM Najib dan mereka yang sewaktu dengannya, kalahkanlah mereka dalam PRU 13 akan datang!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TOP Ten Minggu INI

Paling Popular