Tenang, sebuah kawasan dalam Parlimen Labis, kawasan tradisi MCA kembali bergolak. Kedua-dua calon yang merupakan anak tempatan, calon BN, Mohd Azahar Ibrahim dan calon PAS, Normala Sudirman memulakan kempen mereka.
Bayangkanlah bagaimana media akan memainkan peranan bagi memastikan kemenangan calonnya di Tenang. Di kawasan kubu kuat MCA yang tradisi calonnya dipegang oleh presidennya, isu-isunya tentu berikisar di sekitar sikap PAS terhadap pengundi bukan Melayu.
Pergolakan di Tenang akan bermula dengan peranan yang dimainkan media dalam memanipulasikan fakta dengan menyebarkan berita separuh realiti.
Dalam hal ini media akan mengkonsepsikan atau mengsimulasikan realiti atau realiti buatan supaya rakyat menerimanya.
Dua pilihan raya kecil yang berlaku serentak di Galas, Kelantan, Batu Sapi, Sabah baru-baru ini sudah cukup menunjukkan betapa pengaruh media boleh menjadikan penentu terutamanya kepada golongan atas pagar dan golongan muda untuk membuat keputusan.
Media besar seperti televesyen telah membuat liputan hebat dalam dua pilihan raya kecil yang diadakan serentak itu.
Dengan kata lain, media merupakan arena penyampaian berita pilihan raya, di mana agenda dan rempah ratus beritanya disusun dan diatur oleh kuasa media di mana rakyat bertindak sekadar penonton sahaja.
Sebenarnya apa yang dipaparkan media semasa pilihan raya adalah pencitraan realiti dan hegemoni.
Realiti manakah yang nampaknya lebih realistik dan pengaruh mana yang berkuasa dan menguasai di hati rakyat?
Pencitraan realiti dan hegemoni menurut Jean Baudrillard (1981), ahli falsafah dan pakar komunikasi Perancis bahawa media merupakan agen simulasi (peniruan) yang mampu menghasilkan kenyataan (realiti) buatan, bahkan tidak memiliki rujukan sama sekali dalam kehidupan kita.
Realiti-realiti yang dicetuskan, dimanipulasi, dieksploitasi dan diselewengkan malah diciptakan semata-mata untuk memenangi pilihan raya seolah-olah seperti perlawanan bola sepak yang memerlukan kemenangan. Namun di dalam pilihan raya tidak ada mata seri. Kemenangan adalah hak mutlak.
Teori Baudrillard dapat dikatakan masuk akal jika kita menghubungkannya kepada liputan berita dan propaganda di television, radio, dan media cetak yang menampilkan tokoh-tokoh dengan bendera parti politik di belakangnya.
Oleh itu strategi politik yang dibangun oleh elit politik sekarang ini kian mengukuhkan politik citra. Sebuah mekanisme simulasi yang melahirkan fenomena “seolah-olah”. Misalnya seolah-olah pemimin berjiwa rakyat, seolah-olah bekerja demi bangsa, seolah-olah pemimpin yang menghadirkan keamanan dan kesejahteraan, soleh-olah menunaikan segala janji rakyat yang tanpa sangsi dan kekuawatiran seolah-olah peranan itu dapat melahirkan kesadaran palsu (false consciousness) dan tidak memberdayakan pengundi.
Perang citra yang dominan dapat kita amati di media massa. Bagi media elektronik semua stesen televisyen, radio dan media cetak mengatur piihan raya dalam dimensi politik citra para elit.
Akomodasi media massa terhadap politik dapat difahami dalam konteks hukum penawaran dan permintaan yang menjadi ciri logika dan pemantauan pasar (market regulation). Saat politik menjadi komoditi dan realiti pilihan raya dapat dikapitalisasi, maka media pun menganggap politik citra sebagai sesuatu yang sah dan apa adanya.
Kecenderungan politik citra mengarah pada apa yang disebut Jean Baudrillard dalam tulisannya Simulacra and Simulation (2006), sebagai simulasi realiti.
Pada dasarnya simulasi realiti ini merupakan sebuah tindakan yang memiliki tujuan membentuk persepsi yang cenderung palsu (seolah-olah mewakili kenyataan ).
Ruang pemaknaan di mana tanda-tanda saling terkait dianggap tidak harus memiliki tautan logis. Kebimbangan amat dirasakan sekiranya para calon pilihan raya negeri dan parlimen telah membentuk hiper realiti. Istilah hiper realiti sekurang-kurang memiliki dua sifat dominan.
Pertama, sebagai realiti oleh proksi yang lahir dari ketidakmampuan kesedaran dalam membezakan antara realiti dan fantasi.
Banyak mimpi indah dibangun dan membentuk pengaruh di masyarakat seolah-olah para calon itu pembela golongan kecil dan minoriti, pemimpin bersama rakyat, ambil berat dan bermoral atau pemimpin yang lugas dan mampu bekerja keras demi rakyat.
Politik yang mengaku bermoral, kian mekanistik itu sangat percaya diri kerana merasa diri berada dalam kekuasaannya.
Begitu pun ahli politik yang mengaku bekerja keras itu sangat sarat dengan kepentingan politik dan perniagaaan orang-orang di sekelilingnya.
Kita mengalami kesulitan dalam memahami relevansi dunia simulasi dengan realiti apa adanya. Wajar jika hiper realiti dalam pandangan Baudrillard dimaknai sebagai “The simulation of something which never really existed.” Sementara Umberto Eco (1976) menyebutnya sebgai “ The authentic fake “ atau kepalsuan yang otentik.
Kedua, segala janji dan manifesto yang perlu ditunaikan iaitu proses menjadikan sesuatu yang non-empiris, serta mengobjekkan sesuatu melalui kecanggihan teknologi simulasi sehingga menjadi fakta yang dapat dilihat dan dirasakan pengundi.
Berbagai teknik komunikasi politik seperti iklan, publisiti di media massa, lobi, perundingan, perbincangan, ceramah, teknologi 3-D dan rakaman video serta lain-lain telah menyebabkan rakyat sukar membezakan antara yang nyata dan yang rekaan atau imaginasi atau antara yang benar dan yang palsu. Hubungan antara citra diri calon dengan kenyataan hidup pengundi menjadi tidak saling terhubung.
Namun kerana keduanya kerap dihadirkan dalam satu realiti simbolik media, lambat laun tercipta kaitan antara keduanya. Sehingga realiti kepalsuan menjadi gambaran pilihan dari para pengundi.
Inilah yang ditulis Yasraf Amir Piliang (2006), manusia terjebak dalam pujuk rayu dan ketersesatan tanpa tujuan. Pencitraan menjadi segala-galanya bagi pengundi. Sehingga tanda menciptakan mitosnya sendiri serta mengambil alih makna secara utuh tanpa penelitian.
Sehubungan itu khayalan-khayalan semu sekali pun menjadi sesuatu yang nyata. Proses ini yang kerap dikenal sebagai imagologi atau penggunaan citra-citra tertentu untuk menciptakan imej tentang realiti yang pada titik tertentu akan dianggap sebagai realiti itu sendiri.
Ada empat peringkat dalam pencitraan menurut Baudrillard. Pertama pencitraan adalah refleksi dari realiti dasar. Kedua, ia menutupi dan menyesatkan realiti dasar. Ketiga, menutupi ketidakhadiran realiti dasar dan Keempat, tidak mengacu atau memiliki perkaitan dengan realiti manapun. Pada tahap inilah muncul simulasi yang sempurna.
Realiti dasar pilihan raya sesungguhnya adalah proses memberikan mandat wewenang dari rakyat kepada pemimpin yang dipilihnya. Dengan demikian rakyatlah esensi pemilik kekuasaan.
Namun demikian, realiti dasar itu biasanya ditutup atau dikaburkan atau hanya dijadikan instrumen oleh para calon dengan menempatkan citra diri mereka melampaui kekuasaan rakyat.
Dalam konteks pilihan raya akan datang, sebaiknya pengundi memiliki kritisisme atas politik citra yang melahirkan simulakra atau keadaan realiti kita yang telah dicampur-aduk oleh berbagai penandaan yang dapat menyebabkan kita mengalami kesedaran semu.
Citra para elit yang mempermainkan realiti kita sehingga kita menerima kenyataan bahawa hiper realiti itu adalah realiti kita sendiri. Penyelesaiannya: pertama, sebagai pengundi adalah diingatkan kita tidak terjebak pada makna tunggal (seperti multi-media super koridor atau wawasan 2020) dari para elit yang bertarung.
Pengundi mesti sadar bahwa realiti persaingan akan menyuguhkan makna yang penuh manipulasi. Para pengundi tidak seharusnya mempercapai setiap narasi dari elit politik dan mengaminkannya sebagai sesuatu yang sahih dan sejahtera.
Kedua , sebagai para pengundi sewajarnya tidak terjebak dalam logosentrisme. Menurut pemikir beraliran postmodernisme, Jaques Derrida, faham logosentrisme sering terdampar pada aspek yang mendewa-dewakankan kata-kata atau slogan seperti Islam Hadrari.
Kendati penafsiran tidak akan terlepas dari kata namun makna demokrasi dalam pilihan raya lebih dari sebuah kata. Tidak cukup hanya membangun demokrasi melalui kata-kata dan citra seperti penyatuan dan perpaduan melainkan juga harus hadir dalam realiti yang sesungguhnya.
Dalam isu komuniti Orang Asal (Orang Asli) di Galas misalnya kenapakah kepentingannya yang begitu fenomenal sangat tidak didedahkan secara keseluruhannya oleh berbagai media dalam jangka masa panjang. Mengapa sekarang isunya sudah menyepi? Mengapa media tidak terus melaporkannya seperti yang telah dilaporkan semasa pilihan raya kecil dahulu?
Padahal, isu Orang Asal adalah isu yang fenomenal merupakan bentuk nyata kesadaran politik rakyat. Isu Orang Asal jarang mendapat tempat di hati media tetapi dalam isu pilihan raya di Galas ia diberikan laporan permaidani merah.
Menurut Antonio Gramsci, (1991) pakar hegemoni Itali, apa yang berlaku ialah perlakaran pencitraan pandangan oleh rakyat di mata media kerana media memiliki kuasa hegemoni.
“Kuasa media” dari kelas yang berkuasa itu secara tiba-tiba menonjolkan dengan jutaan keprihatinan dan belas kasihan menanangi isu-isu lokal menjadi isu-isu nasional dengan segala bantuan dan taburan janji.
Program-program seperti kader-kader politik membuat kunjungan rumah ke rumah dan mesra rakyat adalah bertujuan meraih undi bagi kemenangan parti.
Seluruh jentera parti turun memberi sokongan. Adakah perkara ini berlaku pada hari-hari biasanya misalnya adun atau ahli parlimen turun mendengar rintihan rakyat?
Lebih lanjut Karl Marx dan Federich Engels menyatakan, “the ideas of the ruling class are in every epoch the ruling ideas, i.e. the class which is the ruling material force of society, is at the same time its ruling intellectual force. The class which has the means of material production at its disposal, has control at the same time over the means of mental production, so that thereby, generally speaking, the ideas who lack the means of mental production are subject of it.” (Marx and Engels, Storey [ed], 1995: 196).
Jika memang demikian, dunia politik hanya menjadi “realiti politik yang sudah dikemas dan disusun rapi (manufactured political realities)”.
Inilah yang dinamakan kekuasaan media (mediacracy) yang mencapai titik puncaknya. Media secara sempurna mampu melakukan rekayasa terhadap realiti politik.
Dengan kata lain, media memainkan peranan besar sebagai pendefinisi realiti politik.
Inilah tanggungjawab besar yang harus dimainkan misalnya media atau blog rakyat yang berada di tengah-tengah gelombang media berarus deras. media harus mentakrifkan realiti politik kebenaran.
Tambahan lagi kepentingan politi inilah yang menjadi landasan pertanyaan kritis tentang “keberimbangan maklumat” terhadap rakyat.
Keberimbangan yang dimaksud membicarakan mengenai keadilan peranan media terhadap rakyat yang diringi dengan kebenaran kandungan maklumat yang berdasar pada kenyataan yang sesungguhnya (realistik), bukan kenyataan buatan dan keberpihakan media kepada rakyat dan tidak kepada yang berkuasa semata-mata.
“Keberimbangan maklumat” tidak dapat wujud ketika kepemilikan media didominasi oleh penguasa (pemodal dan elit politik).
Rakyat di antara media massa dan penguasa?hubungan media dengan rakyat dipengaruhi oleh gejolak keadaan sosial yang berkarakter pada kesejahteraan ekonomi dan kekuasaan politik yang berbeza antara kelas sosial yang satu dengan kelas sosial yang lain.
Keadaan ini dapat dilihat dalam hubungan media dengan institusi sosial lain. Pada tingkat tertentu media bersaing dengan kekuasaan dan pengaruh yang dominan atau media memperkuat kekuasaan dan pengaruh dominan itu.
Sejalan dengan itu, pendekatan yang melihat media sebagai alat dari kelas dominan, yakni alat dominasi penguasa untuk mempertahankan kekuasaan yang sedang berlangsung (status quo) dan sebagai sarana kelas pemilik modal untuk menggandakan modalnya.
Media dalam konteks itu selalu menyebarkan ideologi dari kelas yang berkuasa kepada rakyat.
Keadaan itu memperlihatkan tekanan kepada kelas yang di bawah iaitu rakyat. Fungsi media menjadi begitu sempit ketika sistem ekonomi-politik media menjadi sebahagian dari kekuasaan yang ada.
Mungkin sekarang media Internet sudah membolehkan rakyat menyuarakan pendapat mereka tetapi dengan sekatan undang-undang seperti menghasut dan seumpamanya kesannya akan lebih terbatas.
Menurut teori politik ekonomi media, kepemilikan media pada segelintir elit pengusaha dan penguasa telah menyebarkan patologi atau penyakit sosial.
Teori ini didasarkan pada satu pengertian ekonomi politik sebagai kajian mengenai hubungan sosial, khususnya menyangkut hubungan kekuasaan, baik dalam produksi, pengedaran dan penggunaan sumber daya (resourches) seperti suratkhabar, majalah, buku, kaset, film, internet dan seumpamanya (baca Vincent Moscow, The Political Economy of Communication, 1998: 25).
Dari beberapa perkara ini dapatlah kita memerhatikan bagaimana dinamik hubungan yang terjadi antara media, rakyat, dan politik kerana ia menunjukkan siklus pergumulan kelompok-kelompok dominan atau berkuasa.
Kelompok dominan yang dimaksud adalah politik pemegang kekuasaan dan calon pemegang kekuasaan, dan pemilik modal berupa pengusaha, pemilik perusahaan, pelabur dan berkaitan.
Dalam konteks negara kita, sebahagian besar pemodal adalah proksi kepada parti-parti kerajaan.
Sementara itu, rakyat seperti pekerja kilang, peniaga gerai dan warung, pekerja am, buruh, petani, nelayan, wanita, ibu-ibu, remaja, kelompok minoriti merupakan kelompok yang dikuasai dalam kehidupan sosial. Malah peranan mereka dalam ruang maya masih terbatas kepada sembang di facebook, twitter dan seumpamanya.
Alternatif bagi media cetak sekarang ialah blog dan on-line yang dikuasai dan dikendalikan rakyat harus dibangun bagi berhadapan dengan wacana, hegemoni dan dominasi media pro-penguasa.
Media ini disebut media ketuanan rakyat merupakan instrumen ideal yang harus dimiliki oleh kelompok tertindas. Media seperti ini dapat dijadikan benteng pertahanan budaya rakyat sekaligus mesin perang melawan penindasan dalam konteks melawan pembodohan melalui media komersil besar saat ini.
Perancangan pandangan baru progresif yang lebih mendidik dan mencerdaskan di media rakyat akan menjadi gagasan yang berlawan terhadap segala bentuk hegemoni dan dominasi.
Setelah itu, media-media milik masyarakat progresif (radio, televisyen, risalah, surat khabar, laman web, blog, buku dan seumpamnya) yang terdapat harus membangun dengan jaringan-jaringan bermakna berisi berbagai muatan untuk melawan media milik pemodal dan penguasa.
Media-media pro komuniti harus dibangunkan dalam ruang siber dalam memaparkan isu-isu kepentingan mereka. Jalinan antara media komuniti harus dikembangkan bagi memaparkan wacana komuniti dan rakyat berbanding hegemoni pro-penguasa.
Pandangan yang progresif berpihak kepada masyarakat harus dibangunkan untuk menyaingi besarnya tiap-tiap wacana dan program yang terlahir dari media-media komersial ketika ini.
Perjuangan merakyatkan masyarakat harus didasarkan dengan membangun secara kemandirian.
Asas kerjanya harus menghilangkan ketergantungan terhadap media besar dan tidak terjebak ke dalam pusaran kapitalisme.
Perkara yang diyakini di dalam media kedaulatan rakyat adalah rakyat berdaulat atas media. Dengan demikian rakyat berdaulat atas ide-ide, intelektualiti dan budayanya.
Pengerakan mesin media massa harus dibudaya dan diberdayakan dalam usaha ke arah membina kekuatan kedaulatan rakyat dalam berhadapan dengan pilihan raya umpamanya.
Media ketuanan rakyat harus keluar dari binari dan konfigurasi media kerajaan dan media pembangkang atau media pilihan raya. Ia harus keluar dari media kepartian dan melebarkan jaringan kepada media ilmu dan memajukan pengetahuan.
* Ismail Hashim Yahaya adalah pensyarah di Fakulti Komunikasi dan Media, Universiti Industri Selangor (Unisel), kampus Shah Alam.