Grab the widget  IWeb Gator

Monday, January 10, 2011

Samy kena jawab


Samy Vellu Dan Pemegang Amanah MIED Diarah Bekal Dokumen AIMST


KUALA LUMPUR 10 Jan.: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memberi tempoh 30 hari kepada pengerusi Institut Kemajuan Pendidikan Maju (MIED) Datuk
Seri S. Samy Vellu dan tujuh pemegang amanahnya membekalkan beberapa dokumen dalam saman RM100 juta terhadap mereka oleh MIED.

Hakim Mahkamah Dagang Datuk Abdul Aziz Rahim yang membuat keputusan itu di dalam kamar memerintahkan mereka membekalkan dokumen berkenaan termasuk yang berkaitan dengan pembinaan Institut Sains Perubatan dan Teknologi Asian (AIMST), yang didakwa telah menyebabkan kerugian besar kepada cabang pendidikan MIC itu.

Abdul Aziz membenarkan permohonan bekas Ketua Pemuda MIC A. Vigneswaran supaya para defendan membekalkan salinan surat pelantikan bekas ketua pegawai eksekutifnya P. Chitirakala dan skop tugasnya.

MIED memohon sebanyak 12 dokumen selepas Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Mah Weng Kwai pada 14 Jun membenarkan permohonan untuk menamakan MIED sebagai plaintif dalam cadangan saman terhadap para pemegang amanah MIED.

Selain bekas Presiden MIC Samy Vellu, penggantinya Datuk G, Palanivel, Tan Sri M. Mahalingam, Tan Sri Dr T. Marimuthu, Tan Sri Dr S.K. Ampikaipakam, Datuk G. Palanivel, Tan Sri Dr Karnail Singh Nijhar, Tan Sri K.Kumaran dan Tan Sri G. Vadiveloo dinamakan sebagai defendan.

Abdul Aziz menetapkan esok bagi pengurusan kes untuk menetapkan tarikh perbicaraan bagi saman utama, lapor Bernama.

Antara dokumen yang dipohon yang berada dalam pemilikan dan pengawalan para defendan ialah dokumen yang menyenaraikan wang yang diterima dan dibayar oleh MIED dari 1990 sehingga tarikh Vigneswaran memfailkan saman itu pada 5 Julai tahun lepas.

Dokumen lain ialah:

i) salinan semua dokumen termasuk yuran guaman yang dibayar kepada peguam bela.
ii) salinan semua dokumen mengenai pembayaran yang dibayar kepada pihak ketiga berhubung buku mengenai Samy Vellu bertajuk "Samy Vellu: As We Know Him".
iii) laporan audit forensik yang dijalankan bagi tahun (2005-2008)
iv) salinan semua dokumen yang membuktikan pembayaran oleh Tan Sri Abdul Rashid Abdul Manaf kepada MIED dan sebaliknya
v) pinjaman tanpa faedah kepada Tan Sri Hari Narayanan dan Mumtaz Begum dengan pembayaran balik pinjaman itu.
vi) salinan dokumen yang membuktikan pembelian semua hadiah daripada MIED dari 1990
vii) tanah Semeling - bayaran premium kepda kerajaan negeri Kedah
VIII) salinan resolusi syarikat yang diluluskan sejak 1990.

Peguam A. Vasanthi dan G. Ragumaren yang mewakili MIED dan Vigneswaran berkata hakim membenarkan permohonan itu selepas para pemohon memenuhi semua syarat iaitu semua dokumen yang dipohon itu mesti wujud, mesti berada dalam pemilikan para defendan dan mesti relevan dengan saman.

Vasanthi juga memberitahu pemberita bahawa hakim tidak bersetuju dengan hujahan para defendan bahawa permohonan plaintif itu hanya sekadar "ekspedisi memancing".

Dalam saman yang difailkan pada 5 Julai tahun lepas, MIED mendakwa kesemua defendan telah melakukan kecuaian, kesalahan aturan kewangan, kemungkiran tanggungjawab sebagai pemegang amanah, juruaudit, dan fidusiari, yang telah membawa kerugian besar kapada MIED.

Ia juga memohon perintah injunksi bagi menghalang dan menyekat Samy Vellu daripada terus berkhidmat sebagai pengerusi lembaga pemegang amanah, mahu Samy Vellu dilucutkan keahlian beliau dari MIED dan perintah supaya Samy Vellu mengembalikan kesemua wang dan atau apa keuntungan dan kepentingan dari dana MIED yang telah diterima olehnya (Samy Vellu) sama ada secara langsung atau melalui ahli keluarga beliau atau kawan rapat beliau.

MIED mahu perintah mahkamah bahawa Samy Vellu membayar balik kesemua kerugian yang telah dialami oleh MIED dalam tempoh masa di mana beliau telah
mentadbir sebagai pengerusi lembaga pemegang amanah.

MIED menuntut ganti rugi khas, ganti rugi am, ganti rugi untuk pemecahan kewajipan fidusiari, ganti rugi untuk pecah amanah dan kecuaian dari semua defendan yang kesemuanya berjumlah RM100 juta.

Vigneswaran, yang merupakan seorang anggota MIED, memohon kebenaran mengikut ketetapan Seksyen 181A, Akta Syarikat 1965 yang memperuntukkan pihak-pihak yang mahu dinamakan bagi pihak syarikat sebagai plaintif dalam saman itu, perlu mendapatkan kebenaran daripada mahkamah untuk berbuat demikian.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TOP Ten Minggu INI

Paling Popular