Bukan berpaling tadah, tapi itulah hakikatnya. Nak kata apapun, katalah. Nak tuduh apapun, tuduhlah. Realitinya, tanpa berlawan dengan Lim Guan Eng, kontraktor Melayu pasti hidup bahagia kerana ada juga tender dan projek diperolehi. Dapatlah untung, adalah duit.
Memang tak ada faedah mengadu-domba kepada Lim Guan Eng, kononnya kontroktor Melayu dianaktirikan. Disisihkan. Dipetisejukkan. Dakyah itu hanya untuk membantu Umno-BN yang sesak nafas. Koma. Bagi memulihkan parti yang kalah teruk di Pulau Pinang itu, kontraktor Melayu yang selama ini bergantung pada janggut Koh Tsu Koon tentulah dapat menilai, mana yang baik dan mana yang buruk.
Bak kata pepatah-petitih, dari susah berlawan dengan Ketua Menteri Pulau Pinang lebih baik berkawan sahaja. Itulah agaknya formula Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Pulau Pinang yang ada. Apa niat mereka sekalipun, itu soal kedua. Isunya, mereka sudah insaf.
Dalam satu tindakan yang mengejutkan 7 Januari lalu, Pengerusi Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Pulau Pinang, Dato' Mohamed Fadzill Hassan memohon maaf kepada Ketua Menteri, Lim Guan Eng ekoran pelbagai serangan yang dibuat terhadapnya.
Fadzill berkata, beliau telah meminta maaf di atas kenyataan kerana kontraktor Melayu mahu bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri, lapor Malaysiakini. "Kami ingin memulakan era baru dan menyelesaikan masalah (antara kita)," tambahnya yang turut diiringi oleh sekumpulan wakil, ketika mengadakan pertemuan dengan Lim.
Lim yang mengadakan sidang akhbar tergempar di Komtar berkata, Fadzill memohon maaf di atas kenyataan-kenyataan yang sebahagian besar dibuat dalam akhbar berbahasa Melayu.
"Kenyataannya yang sebahagian besarnya dalam akhbar Melayu menyerang saya dan kerajaan negeri...," katanya sambil menegaskan mereka mahu menyelesaikan perkara itu dan memulakan hubungan baru. Jadi Fadzill telah menarik kenyataannya dan memohon maaf, kita menerimanya ... ini satu perkembangan yang baik," tambahnya.
Lim merujuk kepada serangan terbaru Fadzill yang mendakwa bulan lalu bahawa masyarakat Melayu hanya diberikan projek yang tidak signifikan nilainya. Beliau telah dipetik oleh Utusan Malaysia sebagai mencabar Lim memberikan butir-butir terperinci mengenai projek-projek terbabit.
Kerajaan negeri kemudiannya mengumumkan perangkaan yang menunjukkan kontraktor Melayu mendapat hampir ke semua projek di bawah pentadbiran kerajaan negeri Pakatan Rakyat. Rekod kerajaan negeri menunjukkan 94 peratus kontrak Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri diberikan kepada kontraktor Melayu dan kesemua kontrak Jabatan Pengairan dan Saliran diberikan kepada kontraktor Melayu.
Lim mengulangi bahawa kerajaan negeri tidak menyenarai-hitamkan sebarang kontraktor, tetapi memastikan mereka yang mendapat kontrak harus bertanggungjawab dan tidak menjadi kroni dari mana-mana pihak. Dengan perkembangan terbaru itu, katanya, walaupun tiga tahun terlambat - merupakan satu kemenangan bagi kontraktor Melayu dan kerajaan negeri.
Kerajaan negeri, kata Lim, mahu menjalinkan hubungan yang sihat dan terancang yang berdasarkan kepada fakta dan bukan emosi. Tambahnya, ada antara kontraktor Melayu yang terbaik di negara ini kerana beliau telah menyaksikan kualiti kerja mereka. "Hanya kontraktor Umno yang buat bising sekarang (kerana mereka tidak dapat kontrak), bukan kontraktor Melayu," tambah Lim.
Dicatat oleh Tarmizi Mohd Jam from SANGGAHTOKSAGO.COM