Grab the widget  IWeb Gator

Tuesday, December 28, 2010

Perlantikan Khusrin tidak sah dari segi perundangan – Weng San


SHAH ALAM, 28 Dis - Perlantikan Setiausaha Negeri baru, Datuk Mohd Khusrin Munawi tidak sah dari segi perundangan selagi beliau tidak menandatangani surat perlantikan dan mengangkat sumpah setia di hadapan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.
Ahli Dewan Undangan Negeri Kampung Tunku, Lau Weng San berkata demikian bagi membidas kenyataan Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohd Manir Bani yang mengumumkan kepada media hari ini bahawa perlantikan Khusrin telah mendapat perkenan Sultan dan merupakan perlantikan yang muktamad.
“Keputusan ini tidak wajar diumumkan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan sebelum mendapat persetujuan daripada kerajaan negeri Selangor, bahkan kalau ikut Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959 bawah Perkara 52, ia mengatakan bahawa calon yang akan menyandang jawatan setiausaha negeri ini perlu mengangkat sumpah setia rahsia di hadapan Menteri Besar,” katanya.

Beliau yang juga merupakan ahli Jawatankuasa Negeri Parti Tindakan Demokrat (DAP) Selangor berkata, Perkara 52 juga bermaksud, jawatan Setiausaha Negeri mempunyai tanggungjawab terus kepada Menteri Besar maka pendirian kerajaan Selangor di dalam hal ini perlulah dipertimbangkan dan bukan hanya mengambil daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).
“Kalau mengikut undang-undang pun, tidak memestikan jawatan dipenuhi oleh calon daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam kerana mengikut Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959, jawatan ini perlulah dilantik daripada suruhanjaya perkhidmatan yang berkenaan sahaja, maka tak semestinya perlu dilantik daripada SPA,” jelasnya.
Beliau seterusnya berkata, walaupun SPA mempunyai bilangan penjawat awam yang paling tinggi di negara tetapi itu tidak bermaksud perlantikan hanya boleh dibuat menerusi SPA sahaja dan perkara ini telahpun dinyatakan dengan jelas di dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959 bahawa mana-mana calon termasuk daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri boleh dilantik.
‘Memang kerajaan negeri Selangor mempunyai peranan yang perlu dimainkan dalam perlantikan ini, dan saya rasa dalam seluruh episod ini, (campur tangan) Kerajaan Persekutuan menerusi kenyataan Sidek adalah tidak wajar dan betul,” kata beliau.
Menurut Weng San, perkara ini sepatutnya dibincang dengan teliti bersama Kerajaan Negeri Selangor, bukannnya terus mengumumkan kepada media tanpa memaklumkan kepada kerajaan negeri.
Weng San menjelaskan, beliau tidak bermaksud membangkang tindakan Sultan memperkenankan perlantikan Khusrin tetapi menegaskan perlantikan untuk jawatan Setiausaha Negeri, Penasihat Undang-undang dan Pegawai Kewangan Kerajaan adalah termaktub di bawah Perkara 52, Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959.
“Mereka perlu menandatangani dan mengangkat sumpah di hadapan Menteri Besar, dan perlantikan ini juga sebaik-baiknya mendapat perkenan daripada Sultan. Tetapi menurut undang-undang negeri, sekadar mendapat perkenaan Sultan adalah tidak mencukupi, ia perlu mendapat persetujuan daripada Kerajaan Negeri Selangor yang dipimpin oleh Menteri Besar,” katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TOP Ten Minggu INI

Paling Popular