Malam kelmarin, Umno dan komponen Barisan Nasional (BN) ‘meraikan’ kemenangan yang tidak bermaruah dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) di N05. Dewan Undangan Negeri (Dun) Tenang, Labis, Johor.
Sekali pun BN mendabit dada kononnya menang dan berjaya mempertahankan kerusi tersebut tetapi Awang melihat itu suatu kejayaan yang tidak bermaruah seperti ‘pelacur politik’ atau ‘gigolo politik’.
Apa tidaknya, hanya untuk kemenangan yang memperolehi majoriti kurang lebih 3,707 undi itu Umno-BN terpaksa membelanjakan hampir atau lebih RM3 bilion wang rakyat sebagai ‘rasuah politiknya’ di Tenang.
Awang tidak persoalkan jika dengan jumlah RM3 bilion itu Umno-BN akan mendapat undi rakyat 100 % (10,579 orang) atau paling kurang 99 % (10,578 Orang) dan hanya Cikgu Mala (Normala) sahaja yang tidak undi BN.
Ketika berkempen, Perdana Menteri (PM) Dato’ Seri Najib Tun Razak sendiri telah mengumumkan rasuah politik awalnya kepada peneroka Felda yang berjumlah RM1.6 bilion.
Sepanjang kempen berlangsung pula pelbagai ‘pak menteri’ dan kuncu-kuncunya membuat tawaran demi tawaran, projek demi projek, janji demi janji dan sebagainya yang juga berjumlah RM1.4 bilion?
Para pengundi pula, di kalangan orang Melayu jati bersongkok tinggi (walau pun tidak sembahyang, asal bersongkok) masih menjadi ‘deposit’ tetap Umno-BN kerana golongan ini jenis ‘tidak cerdik’.
Rakyat Felda bukan sahaja di Tenang mungkin di tempat lain juga yang masih bersama Umno dan mengundi Umno-BN adalah golongan ‘jahiliah’ Melayu. Mereka ini macamlah golongan ‘Badwi’ di padang pasir Tanah Arab suatu ketika dahulu.
Mereka menyokong Umno-BN bukan kerana parti itu membawa ‘kebenaran’ atau ‘kebaikan’ tetapi kerana ikut-ikutan dan patuh arahan oleh ‘kepala’ kabilahnya.
Anak-anak muda pula dihidangankan dengan ‘hiburan’ yang melalaikan seperti karaoke, rokok, minyak motor dan sebagainya.
Warga emas pula disogok dengan duit RM50, perkakas dapur, kain batik, kain pelekat dan 1001 jenis janji dan harapan jika BN menang.
Musim pilihan raya dijadikan waktu dan ketika merebut peluang serta membuat duit jika sokong dan mengundi BN. Harga diri seseorang itu hilang entah ke mana?
Ibaratkan permainan bola sepak atau futsal. PAS dan Pakatan Rakyat berlawan dengan Umno-BN di atas padang yang tidak sama rata. Bahkan, pengadilnya (SPR) sendiri sentiasa mencari peluang untuk menyumbat gol bagi membantu kemenangan pihak BN.
Pengadil (SPR) seumpama ini, jika di negara lain sudah pasti akan dihumbang ke dalam longkang atau dijadikan bola untuk disepak terajang oleh para pemainnya.
Terlalu banyak untuk disenaraikan ketidakadilan, kepincangan yang berlaku sepanjang kempen PRK N05. Tenang ini. Tetapi, sayang pengadilnya (SPR) ‘buta’ dan ‘pekak’. Malah, ada orang kata pengadil juga sampai tahap ‘gila’.