by Nik Abdul Aziz Nik Mat on Thursday, February 10, 2011 at 8:26pm
PERUTUSAN MAULIDUR RASUL 1432 HIJRAH
MENTERI BESAR KELANTAN MERANGKAP
AL-MURSYIDUL AM PARTI ISLAM SEMALAYSIA (PAS)
Alhamdulillah, syukur kita ke hadrat Allah SWT yang telah memberikan kita keizinan untuk terus berada di dalam bulan Rabiul Awwal untuk tahun ini.
Rabiul Awwal sebagaimana yang kita maklum merupakan bulan di mana umat Islam khususnya di Malaysia menyambut hari kelahiran baginda Rasulullah SAW.
Sekalipun seringkali saya ulangi, peristiwa kelahiran baginda Rasulullah SAW tidaklah sebesar peristiwa perlantikan baginda sebagai rasul kerana kelahiran adalah peristiwa yang berlaku kepada semua manusia.
Namun tidaklah dinafikan bahawa pada bulan inilah umat Islam keseluruhannya memperbaharui kecintaan mereka kepada Rasulullah SAW dengan mengadakan majlis-majlis maulud di sana sini khususnya di negara ini.
Sehubungan dengan itu, sukalah saya mencadangkan agar pengisian Maulidur Rasul pada tahun ini menumpukan kepada isu-isu semasa yang sedang berlaku di sekitar umat Islam pada hari ini.
Topik-topik semasa ini perlu diketengahkan memandangkan al-Quran sendiri yang merupakan sumber hokum di dalam Islam diturunkan selama 23 tahun.
Tujuan penurunan al-Quran selama 23 tahun ini tidak lain hanyalah bertujuan untuk menyesuaikan penurunan ayat-ayatnya dengan senario semasa yang sedang berlaku pada zaman Nabi Muhammad SAW.
Kedua, para penceramah perlulah mengingatkan masyarakat umat Islam bahawa dunia ini milik Allah SWT. Setinggi manapun pangkat yang kita miliki, kita hanyalah penumpang di bumi Allah SWT.
Sebagaimana kita menumpang di rumah orang lain, kita tidak bebas melakukan perkara yang kita ingini jika tidak dengan persetujuan tuan rumah. Di bumi ini, kita hanya boleh melakukan perkara yang dikehendaki oleh Tuan Punya bumi iaitu Allah SWT.
Justeru, tidak ada kuasa yang akan kekal selama-lamanya melainkan kuasa Allah. Di Mesir dan Tunisia, kita baru menyaksikan kebangkitan besar-besaran rakyat menentang kuasa rejim yang berkuasa begitu lama menunjukkan bahawa setiap penguasa pasti akan menemui saat di mana kuasa mereka akan diambil balik oleh Allah SWT.
Ketiga, saya berharap agar ditonjolkan kehebatan Rasulullah SAW sebagai pentadbir negara.
Baginda mentadbir negara Islam Madinah dengan mengutamakan pembersihan kalbu terlebih dahulu. Sebagai seorang ahli politik yang dipandu oleh Allah SWT, baginda tidak meletakkan agenda pembangunan fizikal sebagai agenda utama sehingga mengenepikan pembangunan rohani.
Justeru, kita boleh menyaksikan bagaimana sepanjang 10 tahun baginda menjadi ketua negara Islam Madinah, hanya sebuah sahaja bangunan yang didirikan iaitu masjid baginda sendiri. Ini kerana, baginda membangunkan hati dan roh.
Lahirlah generasi sahabat yang hebat hasil dari tarbiyyah dan asuhan baginda. Melalui asuhan inilah, manusia mengenali halal, haram, dosa, pahala, syurga dan neraka.
Hakikatnya, pembangunan modal insan yang kini disebut-sebut semula oleh sebahagian daripada kalangan kita telah lama disebut oleh Allah SWT yang bermaksud :
“Bacalah dengan (menyebut) nama tuhanmu yang menciptakan. Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah dan Tuhanmulah Yang Maha Pemurah, Yang Mengajar (manusia) dengan perantaraan qalam.
Dia mengajar manusia apa yang tidak diketahuinya. Ketahuilah, sesungguhnya manusia benar-benar melampaui batas, apabila dia merasakan dirinya cukup (sebagai satu penyakit qalbu). Sekali-kali tidak, (penawarnya ialah meyakini) sesungguhnya kamu akan kembali kepada tuhanmu. – Surah al-Alaq, ayat 1-7.
Perhatikanlah ayat-ayat di atas yang mengulangi perkataan al-insan yang bermaksud manusia sebanyak tiga kali. Inilah aspek yang perlu diberikan keutamaan pada hari ini.
Apabila pembangunan insan dilaksanakan mengikut acuan Islam, tidak akan berlaku lagi budaya khianat, pecah amanah, salah guna kuasa dan sebagainya di kalangan rakyat termasuklah pemimpin.
Masyarakat pula khususnya remaja yang terdidik dengan rasa takut terhadap azab Allah SWT akan menjauhi pergaulan bebas, zina, sumbang mahram, buang bayi dan sebagainya. Sekalipun perbuatan-perbuatan dosa ini tidak diketahui oleh manusia, ia tetap dihitung oleh Allah SWT.
Inilah kejayaan asuhan Rasulullah SAW dan ini terbukti apabila pernah seorang wanita datang kepada baginda mengaku bahawa dirinya telah berzina serta memohon untuk dihukum hudud dengan segera ekoran ketakutannya menghadapi azab Allah SWT di akhirat kelak.
Agenda pembersihan kalbu seperti inilah yang langsung tidak ada di dalam sistem sekular. Sekular yang hanya mengutamakan pembangunan fizikal semata-mata pastinya tidak akan berbicara walaupun sepatah mengenai pembersihan kalbu.
Keempat, perlulah diingatkan bahawa Islam datang selari dengan fitrah manusia. Maulidur Rasul ini perlulah dijadikan satu kesempatan untuk menonjolkan kebaikan Islam kepada non muslim khususnya bukan hanya melalui perarakan besar-besaran sahaja tetapi juga melalui nilai-nilai Islam yang bersesuaian dengan fitrah semulajadi manusia.
Islam melarang perkara-perkara munkar yang sememangnya tidak diterima oleh fitrah manusia. Mencuri, merompak, berzina, rasuah, pecah amanah, khianat dan semua perkara yang dilarang oleh Islam hakikatnya juga tidak diterima oleh fitrah manusia. Demikianlah juga perkara-perkara makruf yang digalakkan oleh Islam juga pada hakikatnya diakui oleh fitrah manusia sebagai perkara-perkara yang baik.
Akhir kata, saya mengharapkan sambutan Maulidur-rasul pada kali ini benar-benar memberikan manfaat untuk semua khususnya di dalam meningkatkan kefahaman kita kepada Islam yang syamil (komprehensif) yang dibawa oleh baginda Rasulullah SAW.
Sekian.
YANG AMAT BERHORMAT DATUK BENTARA SETIA HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT
Bertarikh : 7 Rabiul Awwal 1432 bersamaan 10 Februari 2011