Tidak sampai sehari selepas polis Bukit Aman mendedahkan 517 kes pembuangan bayi direkodkan di seluruh negara dalam tempoh lima tahun lalu, dua lagi janin bayi ditemui di dua lokasi berasingan di ibu negara dalam tempoh 24 jam semalam. Gambar Fail
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan, berkata janin perempuan yang sudah cukup sifat itu ditemui tersangkut pada satu saluran masuk dipercayai dihanyutkan air yang mengalir melalui paip pembetungan ke loji rawatan kumbahan berkenaan dari kawasan berhampiran.
“Tiada orang luar dilihat memasuki loji itu berikutan kawasan berkenaan sentiasa dikawal pengawal keselamatan.
“Kita percaya janin itu dibuang di tempat lain sebelum hanyut ke dalam loji berkenaan,” katanya ketika dihubungi semalam.
Beliau berkata, selain cedera di kepala, kaki kiri janin itu dipercayai patah.
Sementara itu, satu lagi janin reput ditemui seorang awam yang menggunakan ruang pejalan berhampiran tebing Sungai Gombak tidak jauh dari Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Jalan Ipoh di sini, pada jam 2.30 petang.
Janin sebesar tapak tangan dewasa dipercayai berusia tiga hingga empat bulan itu ditemui sudah berulat dan dihurungi lalat.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zulkarnain Abdul Rahman, berkata pihaknya masih menunggu keputusan hospital berhubung jantina dan umur janin berkenaan memandangkan keadaannya yang sudah reput.
Kedua-dua janin itu dihantar ke Hospital Besar Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat. -BH