Hariszuan Jaharudin
~Tanpa semangat dan ruang yang demokratis,
pilihan raya tidak lebih daripada hanya procedural democracy.
Ketika tulisan ini ditinta, pilihan raya kampus–entah apa logiknya pentadbiran universiti tidak mahu memanggilnya pilihan raya lagi, kini ditukar Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (PMPP)–telah mulai reda. Poster sebahagiannya sudah diturunkan, tapi banyak juga yang masih melekat di dinding dewan kuliah; kerja tambahan buat mak cik tukang sapu. Tanggal dan buangkan dalam tong sampah. Selesai.
Tapi cerita PRK/PMPP tidak semestinya ikut mati bersama tanggalnya poster calun. Malah, kini di Universiti Kebangsaan Malaysia isunya maseh hangat kerana PRK/PMPP adalah ruang untuk (maha)siswa menterjemahkan makna demokrasi yang mereka fahami dalam bentuk yang paling dangkal, memilih wakil mereka.
PRK/PMPP adalah medan analisa mikro yang merupakan refleks kepada Malaysia secara umumnya, kerna diandaikan anak-anak muda dengan kemampuan akal terbaik di negara ini ada dalam universiti yang bertaburan di setiap negeri di Malaysia. Telah terdengar lantangnya suara anak-anak muda ini melaungkan hasrat dan rasa mereka.
Latar politik UKM
Bagi membolehkan demokrasi kampus berjalan tegap, tuntutannya sudah pasti bukan sekadar perlepasan kuliah setengah hari untuk (maha)siswa keluar membuang undi. Terlalu banyak kejelekan perjalanan pilihan raya kampus di Malaysia–khususnya di UKM.
Sebagaimana yang termaktub dalam peraturan pemilihan MPP, calun tidak dibenarkan bertanding atas nama mana- mana perkumpulan. Mesti bertanding atas tiket individu. Gila! Tanpa kumpulan bagaimana mampu calun untuk menyiapkan segala strategi dan gerak kempen!
Malah ironisnya, sudah menjadi rahsia umum yang calun Pro- HEP (Hal Ehwal Pelajar) membentuk kumpulan Aspirasi (selepas ini dirujuk sebagai Pro-A) manakala yang Pro-Mahasiswa berpayung di bawah Gabungan Mahasiswa UKM (selepas ini dirujuk sebagai Pro-M).
Apa yang dikesalkan, Pro-A ini seakan mandul daya fikir dan inisiatif apabila hanya menjadi pak turut dan penyalin politik luar. Barisan Aspirasi ini dibentuk daripada kerjasama Tindakan Siswa Bersatu (TSB), Chinese Community Committee (CCC), dan Persatuan Agama Hindu (PAH)–carbon copykepada Barisan Nasional: UMNO, MCA, dan MIC–atau lebih tepat lagi mereka ini dicaturkan sedemikian rupa oleh tangan yang lebih atas!
Dalam hal ini meskipun GMUKM dikatakan mempunyai bayangan PAS, namun dapat dilihat berapa dinamiknya gabungan ini apabila tanpa tegar menerima pakatan daripada kumpulan yang lebih rancu daripada segala macam seperti Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI).
Sebagaimana politik nasional, Pro-A yang sememangnya meletakkan kesetiaan kepada pihak pengurusan kolej kediaman dan pengurusan universiti tanpa malu segan akan mengugut–beberapa laporan polis telah dibuat–pelajar, khususnya pelajar tahun satu untuk mengundi calun Pro-A, jika tidak buang kolej! Pada setiap malam sepanjang tempoh berkempen pula, Pro-A yang rata-ratanya memegang jawatan Ahli Jawatankuasa Kebajikan Siswa/I (JAKSA) mengarahkan pelajar mengadakan sentry dari tengah malam hingga awal pagi bagi mengelakkan jentera GMUKM berkempen di kolej kediaman mereka.
Isu ini adalah perkara lapuk yang pasti berlaku saban tahun. Hal ini kerana jawatan JAKSA adalah secara lantikan bukannya melalui pemilihan, maka adalah mudah untuk pihak pihak pentadbiran melantik juak – juak mereka untuk mengawal pelajar.
Selain itu, Sistem Penilaian Kompetensi Generik (SPKG) yang dijalankan di UKM juga dimanipulasi oleh pengurusan kolej kediaman. SPKG adalah penilaian terhadap penglibatan pelajar dalam aktiviti bukan akademik. Masalahnya, yang menilai SPKG ini selain pensyarah adalah para felo kolej kediaman. Adalah mudah untuk felo ini mengugut pelajar dengan adanya kuasa penilai ini. adakah hal ini boleh dijadikan asas betapa terancangnya usaha untuk mencengkam aktiviti pelajar?
Kecurangan proses pengundian
Pada hari pembuangan undi, terdapat kekecohan di awal pagi apabila terdapat kaunter ‘SPKG’ di hadapan pintu masuk ke dewan pengundian. Petugas kaunter ini memakai t-shirt Aspirasi, dan papan kenyataan di belakang kaunter ini jelas-jelas mempromosikan calun Pro-A. Kemudiannya diketahui berdasarkan pengakuan petugas tersebut bahawa kaunter ‘SPKG’–atau tepatnya pondok panas–dibuat atas arahan daripada Pengetua dan pengurus kolej kediaman.
Akibat tidak mahu beralah, seorang penyokong Pro-M ditampar oleh pengawal keselamatan dan dalam kekecohan itu, tiba-tiba bertaburan ‘flyers’ kecil mengandungi nombor calun-calun Pro-A. maka, terbukti kaunter SPKG itu digunakan untuk meraih undi secara paksa terhadap pelajar. Jelek sekali!
Sewaktu pengiraan undi pula, para counting agent (CA)–harus diambil ingat, PRO-A tidak serius meletakkan CA, kebanyakan CA hanya dari kalangan Pro-M–dinafikan hak untuk melihat kiraan undi dengan jelas. Kiraan undi hanya dibuat secara berbisik-bisik sesama petugas pilihan raya (yang terdiri daripada staf kolej).
Bantahan oleh CA juga tidak dilayan, malah dibalas dengan herdikan bertujuan memalukan wakil Pro-M. setelah selesai kiraan, pengetua mengumumkan jumlah kertas undi setiap pihak bagi saluran tersebut. Para CA tidak dibekalkan dengan borang rasmi keputusan undi saluran tersebut, jadi mereka hanya merakam pengumuman itu.
Pengumuman keputusan di Pusat Teknologi Maklumat (PTM)
Keputusan PRK/PMPP dibuat secara siaran lansung di café PTM, (maha)siswa mulai ramai seawal jam 8 malam.
Pada waktu ini hampir semua saluran mengundi di kolej-kolej telah selesai dihitung. Hanya terdapat dua kolej lagi yang masih belum selesai akibat beberapa kali kiraan semula.
Jam 9 malam, (maha)siswa mula resah. Hujan yang turun sejak petang mula lebat. (maha)Siswa berhimpit berlindung di bawah bumbung café yang tidak berdinding.
Jam 10 malam, maseh belum ada tanda-tanda akan ada pengumuman. Encik Zambri yang menjadi pengantara dalam siaran lansung itu mula bikin janji. Sebelum jam 11 katanya. (maha)siswa tetap tunggu.
Tepat 30 minit lewat dari jam 11, pengumunan belum lagi dibuat. Beberapa wakil pelajar dibenarkan masuk secara bergilir ke dalam dewan PTM untuk melihat sendiri proses audit yang ternyata lembab! Bisik–bisik antara pimpinan (maha)siswa mula nyaring. (maha)siswa mula menghidu maung sang penipu.
Akhirnya setelah 4 jam lewat pengumuman dibuat. Belum habis seluruh pengumuman, (maha)siswa tumpah ke jalan! Takbir dan jerit ‘tuntut keadilan’ memecahkan hening malam itu. peluh mula terpercik. Tiba di hadapan dewan PTM, (maha)siswa tambah kejap, barisan tambah rapat dan tanpa disangka-sangka para pengawal keselamatan UKM telah dirempuh oleh ombak (maha)siswa.
Berlaku pergelutan, dalam kecoh dan gawat itu, seorang pegawai keselamatan telah menampar seorang (maha)siswa. Rakan yang lain dipanggang marah. Kemudian Ismail–ketua jentera pilihan raya KAMI–ditendang tanpa belas! Sebahagian pertugas di dalam dewan PTM telah berjaya lolos dari pintu belakang. Namun malam itu, para calun mahasiswa telah siap memulakan tugas pertama mereka, mewakili suara mahasiswa! Tuntutan untuk penjelasan bergema dan bersahut – sahut.
Jam 1 pagi, maseh tiada seorang umat pun daripada pihak pentadbiran berani keluar memberi penjelasan. RELA telah tiba. Polis makin ramai. Black Maria sedang menanti. Mahasiswa tetap tetap tidak berganjak. Hinggalah jam 3 pagi apabila En Zambri mewakili pentadbiran UKM berjanji akan mengadakan pertemuan dengan wakil mahasiswa di Canselori UKM jam 10 pagi keesokan harinya dan mereka meminta tempoh 48 jam untuk menyiasat tuntutan mahasiswa.
Sehingga tulisan ini siap ditulis, pentadbiran UKM telah mengkhianati janji mereka pada mahasiswa. Pertemuan yang dijanjikan pada keesokan harinya hampa. Petang itu sesudah solat Jumaat, barisan mahasiswa membina saf di luar masjid, bersolat hajat, mohon perlecehan demokrasi ini ditamatkan. Dalam pada itu, dua mahasiswa ditahan FRU dan mereka akhirnya bebas setelah beberapa jam. Beberapa demo susulan telah dibuat dan kemuncaknya pada bila-bila masa daripada sekarang. Kekuatan sedang dibina kembali, strategi telah dicatur. Bangkit dan melawan itu pasti!
Hariszuan Jaharudin, pelajar tahun akhir Sains Politik di Universiti Kebangsaan Malaysia. Aktivis KAMI (Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen).
sumber Jalan Telawi