Oleh: KREW SABAHKINI NET
SEKUMPULAN 42 orang wanita dan lelaki daripada kampung Lohot Ulu Tomani, Tenom mengambil satu tindakan drastik di luar jangkaan dengan ‘membakar jambatan’ dan meninggalkan UMNO Bahagian Tenom kerana membantah kenaikan 10 sen seliter minyak petrol Ron97 bermula jam 12.01 minit tengah malam kelmarin menjadikan harga Ron97 RM2.50 seliter.
Menurut wakil 41 orang ahli UMNO tersebut, Room Bin Tukau berkata, mereka muak dengan janji Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak yang berjanji bahawa tidak akan berlaku kenaikan harga minyak lagi setelah kenaikan pada 2 November dan 1 Disember 2010.
“Walaupun Ron97 itu dinaikkan, konon rakyat ada pilihan untuk membeli Ron95 yang agak murah sedikit, alasan Kerajaan UMNO/BN itu tidak munasabah kerana pengangkutan membawa keperluan hidup rakyat di pelusuk pedalaman menggunakan Ron97 dan tentunya semua keperluan rakyat melambung tinggi kerana harga pengangkutan juga naik,” terang Room dengan jelas.
SERAH….Semua borang PKR Cabang Tenom yang terisi nama bekas ahli-ahli UMNO itu diserahkan kepada Halik Zaman selaku Ketua Cabang PKR Tenom.
Dalam pada itu, ketika mengulas kenaikan minyak petrol itu, Ketua Cabang UMNO Tenom, Datuk Halik Zaman berkata, mungkin kenaikan minyak petrol Ron97 itu sebagai satu hadiah kemenangan calon UMNO/BN di Tenang Johor .
“Mungkin juga untuk tampung kos perbelanjaan PRK Tenang dan semua rakyat jadi mangsa dan tidak ada apa-apa penjelasan daripada Kerajaan UMNO/BN berhubung kenaikan Ron97 itu kerana yang merasa bebas adalah rakyat miskin, bukan orang orang elit dalam UMNO,” sindir Halik
Kata Halik, kini PRU13 diambang pintu. Rakyat Sabah khasnya, diTenom mesti bijak memilih Kerajaan yang benar-benar prihatin kepada kehidupan rakyat miskin kerana kuasa pemutus berada di tangan anda.
“Kita mesti bijak berfikir. Kenaikan minyak petrol akan terus naik selagi rakyat masih bergantung harapan kepada UMNO/BN. Rakyat perlu perubahan dan perubahan di tangan rakyat dalam PRU nanti,” nasihat Ketua Cabang PKR Tenom itu.
Halik turut menasihati ahli-ahli UMNO di Sabah agar memandang ke hadapan untuk masa depan anak cucu mereka kerana selagi rakyat miskin masih mengharapkan sedekah daripada UMNO/BN dalam PRU, maka selagi itulah rakyat akan dihempas pulas oleh tekanan sara hidup yang melambung tinggi.
“Nasihat saya, tinggalkan UMNO/BN dan rakyat bersatu mengubah nasib dalam Kerajaan Pakatan Rakyat,” pelawa Halik dengan hati yang tulus ikhlas.