Grab the widget  IWeb Gator

Wednesday, January 19, 2011

SPR Tunggu Notis Speaker


SHAH ALAM, 19 Jan 11: Kerusi Dewan Undangan Negeri Pelabuhan Klang kini kosong selepas wakil rakyatnya Badrul Hisham Abdullah didapati tidak hadir persidangan selama enam bulan, kata Speaker Datuk Teng Chang Khim hari ini.
Teng berkata Badrul Hisham yang keluar PKR Oktober 2009 sebelum menyertai Umno April lalu tidak hadir sidang Dewan Undangan Negeri sejak 15 Julai lalu dan oleh itu, kerusinya dianggap kosong berkuat kuasa 16 Januari.

Artikel 69 Perlembagaan Negeri memperuntukkan bahawa seorang wakil rakyat yang tidak hadir selama enam bulan mesti mengosongkan kerusinya. Bagaimanapun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menentukan sama ada kerusi itu kosong dan perlu diadakan pilihan raya kecil.
Kes kedudukan kerusi itu mirip Kota Siputeh, Kedah yang Speaker Dewan Undangan Negeri mengisytiharkan ia kosong. Bagaimanapun SPR memutuskan tiada kekosongan wujud dan tidak perlu diadakan pilihan raya kecil. Dalam kes itu, SPR mempertimbangkan notis speaker dan juga penjelasan wakil rakyatnya sebelum memutuskan keputusan itu.
Bagaimanapun mahkamah memutuskan pilihan raya kecil perlu diadakan dan ia kini berada di peringkat rayuan. Dalam pada itu Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar berkata, pihaknya perlu menunggu notis daripada Spekaer Dewan Undangan Negeri sebelum memutuskan tindakan susulan.
“Speaker ada hak untuk membuat keputusan mengenai status kerusi, itu hak dan tanggungjawab Speaker yang dibuat mengikut perlembagaan negeri dan peraturan-peraturan Dewan Undangan Negeri,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider. Kata Wan Ahmad, selaku wakil rakyat Badrul Hisham juga mempunyai hak untuk memberikan reaksi dan penjelasan kepada pengundi-pengundinya.
Ketika ditanya sama ada SPR akan mendengar penjelasan wakil rakyat Pelabuhan Klang, Wan Ahmad berkata, terlalu awal untuk memutuskan perkara tersebut. “Terlalu awal untuk membuat spekulasi,” kata beliau lagi.
“Kita lihat dari sudut undang-undang, berasaskan pada undang-undang, kita asaskan pada undang-undang,” katanya lagi.
Pada 30 April lalu, Badrul Hisham menyerahkan borang keahlian untuk menyertai Umno setelah enam bulan keluar PKR dan menjadi Adun Bebas. Badrul Hisham, 50, keluar daripada PKR pada 29 Oktober 2009. Pada pilihan raya umum Mac 2008, Badrul Hisham memperoleh 12,397 undi untuk menewaskan calon Bebas Nazir Mansor dan Roselinda Abd Jamil.
Dia memperoleh majoriti 4,407 undi. Berdasarkan laporan media kelmarin, Badrul Hisham dikatakan menafikan dia tidak menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri selama enam bulan. Katanya, mereka yang mendakwa dia tidak hadir sidang Dewan Undangan Negeri dan mahukan kerusi itu dikosongkan perlu menilai semula kemahiran mengira.
“Saya menghadiri hari pertama sidang pada November lalu sebelum mengambil cuti sakit untuk mendapatkan rawatan alternatif,” kata Badrul Hisham.
“Ini usaha terdesak pihak tertentu yang mengugut saya agar menghadiri sidang khas Dewan Undangan Negeri, 24 Januari memandangkan kerajaan negeri Pakatan Rakyat kurang tiga undi untuk mendapatkan majoriti dua pertiga bagi meminda perlembagaan negeri,” katanya.
Terdahulu pada sidang akhbar, Teng menjelaskan, terdapat tiga sidang Dewan Undangan Negeri sepanjang tahun lalu iaitu 12 hingga 14 April, 12 hingga 15 Julai dan 8 hingga 15 November. Katanya Badrul Hisham hadir kesemua tiga hari pada sidang April dan tidak hadir dua hari (13 dan 14 Julai) bagi sidang Julai dan kesemua enam hari pada sidang November.
Teng berkata Badrul Hisham mengemukakan sijil sakit bagi ketidakhadirannya bagi dua hari pada sidang Julai dan “mengaku yang beliau tidak hadir pada keseluruhan mesyuarat (November) melalui surat bertarikh November 2010 yang sampai ke pejabat saya pada 10 Disember 2010”. Katanya Badrul Hisham, dalam suratnya itu, memohon kebenaran bagi ketidakhadirannya, menyatakan beliau menjalani rawatan tradisional di Pahang sepanjang tempoh sidang November itu.
Teng berkata beliau menjawab surat itu pada 21 Disember 2010, memaklumkan kepada Badrul Hisham bahawa alasan bagi ketidakhadirannya itu tidak diterima atas dua sebab - pertamanya, beliau tidak memohon kebenaran itu sebelum atau semasa sidang berlangsung dan keduanya, beliau tidak memberikan alasan konkrit bagi membolehkan permohonannya yang lewat itu diterima.
“Oleh yang demikian, saya memutuskan ketidakhadirannya pada sidang November adalah tanpa kebenaran. Bagi keputusan saya itu, Badrul Hisham menjawab dalam suratnya bertarikh 5 Januari 2011 untuk memohon maaf tetapi tiada alasan diberikan.
“Perkara 69, Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959 menyatakan jika seorang anggota Dewan Undangan Negeri apabila, tanpa kebenaran Speaker, tidak hadir daripada setiap sidang iaitu bagi tempoh enam bulan, kerusi beliau akan diisytiharkan kosong oleh Speaker.”
“Oleh yang demikian, saya perlu memutuskan jika ketidakhadiran YB Badrul Hisham pada sidang DUN termaktub dalam ketetapan Perkara 69 Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri dan, dengan itu, sama ada kerusi itu kosong,” kata beliau dipetik Bernama.
“Isu yang perlu saya putuskan ialah sama ada mengikut peruntukan Perkara 69, Badrul Hisham telah tidak hadir daripada semua sidang Dewan Undangan Negeri selama tempoh enam bulan. Pendek kata, bilakah enam bulan itu bermula, dari 16 Julai atau 8 November 2010?” katanya.
Teng berkata berdasarkan kajiannya, tiada kes duluan isu itu dilaporkan sama ada di Parlimen atau mana-mana Dewan Undangan Negeri di Malaysia. Katanya rujukan kepada “Erskine May: Parliamentary Practice” juga tidak membantu kerana soal di hadapannya itu merupakan satu tafsiran terhadap peruntukan perlembagaan dan bukannya amalan Parlimen. (The Malaysian Insider)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TOP Ten Minggu INI

Paling Popular