SEMALAM bertempat di Sime Darby Convention Centre di Bukit Kiara, parti Kesejahteran Insan Tanah Air (Kita)telah diperkenalkan kepada umum. Majlis perlancaranlah... Ia dilakukan oleh ketuanya, Zaid Ibrahim. Saya mendapat undangan ke majlis berkenaan tetapi kerana sesuatu sebab tidak dapat dielakkan, saya hantar wakil saja untuk membuat liputan.
Meriah juga majlis itu. Dalam gambar nampak selepas ia dilancarkan maka bertaburanlah bunga kertas berona-rona. Macam artis diumumkan sebagai pemenang dalam acara nyanyian. Istimewa jugalah.
Melihat kepada logo parti berkenaan ia menggambarkan parti itu bersifat global. Perkataan Kita berada di tengah-tengah lautan Cina Selatan menghubungkan Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak. Jangan selepas ini terus tenggelam dalam laut sudahlah. Ia bukan saja bermukim di sekitar Tropicana, tetapi hingga ke Sabah dan Sarawak. Apakah ada cita-cita yang Kita juga akan menjangkau ke Brunei atau Kalimantan?
Mengikut kata anak buah, kehadiran sekitar 500 orang. Antara wajah politician yang popular hadir ialah ahli Parlimen, Padang Serai, Gobalakrishnan. Lain-lain ahli Parlimen yang mengaku sebagai bebas tetapi sudah 'berkenak' dengan BN tidak ada hadir. Selain itu kata anak buah, adalah beberapa pemimpin dalam parti komponan BN, hadir... tapi kelas ikan bilis putus kepala saja. Yang jelas Najib, Chua Soi Lek ataupun G Palanivel atau Koh Tsu Koon tidak hadir.
Parti kita yang asalnya parti Akim yang ditubuh oleh cikgu Musa Salleh dari Pasir Puteh Kelantan. Saya sudah cerita serba ringkas detik dan sebab musabab penubuhannya. Cikgu Musa tubuh Akim kerana dia keluar dari Pas. Ertinya Akim adalah alat atau pun medan baru untuk Allahyarham terus bercakap mengenai politik atas badan yang sah.
Apabila Zaid Ibrahim yang keluar dari PKR sebelum itu dipecat dari Umno, membeli Akim dan tukar nama, mungkin ia juga bertolak dari perasaan dan sebab serta tujuan sama dengan cikgu Musa. Maka bolehlah dianggap Zaid macam cikgu Musa juga?
Kita belum disahkan oleh pendaftaran pertubuhan (Ros). Ini bermakna majlis semalam bergerak atas kebenaran sementara oleh Ros. Saya percaya Kita akan disahkan secara rasmi dan dibenarkan bertanding dalam pilihan raya umum akan datang, dengan syarat Zaid bijak dan pandai bodek BN sikit. Zaid boleh buat kenyataan Kita ditubuhkan kerana nak mengajar PKR atau pun bertujuan hendak hapuskan Anwar Ibrahim, insyaAllah Kita akan dibenarkan secara rasmi oleh Ros dan kempunan nak bertanding akan tercapai.
Menurut Zaid parti itu akan tetap menjadi nuteral. Ia tidak akan menyokong mana-mana pihak atau parti. Nampaknya tujuan itu semacam ikhlas untuk memberi ruang kepada peminat politik yang dahagakan demokrasi bebas. Kebanyakan yang serta Kita adalah ahli PKR yang ada masalah. Setengahnya kerana kecewa dengan pemimpin tertentu.
Ada juga yang kalah dalam pertandingan semasa pemilihan PKR yang baru lalu. Jadi kalau diperhatikan kepada jenis-jenis mereka menyertai Kita ini kebanyakan adalah orang yang tidak lasak dalam politik. Mereka yang lebih mengutamakan keselesaan diri daripada perjuangan. Orang yang suka duduk atas canggung ini sepatutnya tidak memilih politik untuk berjuang.
Sebenarnya orang seperti ini tidak layak berada dalam dunia politik yang ada peraturan dan undang-undang. Mereka yang bersikap mementingkan dirinya patut menubuhkan parti sendiri dan angkat diri sebagai ketua. Saya tidak yakin kalau pun mereka menyertai Kita mereka dapat mengeluarkan diri mereka dari guri garam masalah itu, masalah yang sama juga akan menghimpit dan menghantui diri mereka.
Apapun diucapkan selamat berjuang kepada Zaid dan seluruh ahli Kita. Mudah-mudahan Kita akan menjadi sebuah parti yang hebat, mantap dan membawa demokrasi tulen melebihi apa yang dipraktikan oleh Umno, PKR atau lain-lain parti. Orang Kita kena jaga parti itu jangan sampai majlis perlancaran semalam hanya jadi majlis main lancar-lancar parti saja.
Hendaknya genetik Umno yang ada dalam diri ahli parti Kita itu tidak membiak dan berkembang kemudian menguasai parti itu sepenuhnya. Nescaya kalau perangai Umno turut juga terbawa dalam Kita maka orang-orang parti itu akhirnya akan meninggalkan Kita dan mencari parti baru. [wm.kl.11:03 am 19/01/11] msomelayu.blogspot.com