UMNO senantiasa melaung-laungkan bahawa merekalah satu-satunya pejuang Kemerdekaan Malaysia. Kenyataan mereka ini dapat kuat membuktikan kata-kata Stalin "Sejarah adalah milik mereka yang menang".
Ternyata di dalam buku-buku teks sekolah dan sukatan pelajaran menyatakan UMNO adalah pejuang kemerdekaan dan pertubuhan dan parti-parti sebelum dan seangkatan dengan mereka adalah Radikal yang mengancam kestabilan. Apakah ianya benar?
Jawapannya tidak dan UMNO telah menjadi pengkhianat kepada perjuangan Kemerdekaan sewaktu peringkat awal pejuangan.Sebelum Perang Dunia Ke Dua sudah terdapat beberapa pertubuhan yang memperjuangkan kemerdekaan seperti Kesatuan Melayu Muda dan Parti Komunis Malaya. Selepas Perang Dunia Kedua, maka tumbuhlah pertubuhan-pertubuhan dan parti-parti politik untuk memperjuangkan kemerdekaan.
Pada waktu itulah UMNO ditubuhkan untuk menentang Malayan Union. UMNO pada waktu itu tidak memperjuangkan kemerdekaan, ini dibuktikan dengan kata-kata Dato' Onn Jaafar, Presiden UMNO pada waktu itu "Sebatang jarum pun tidak mampu kita buat inikan pula hendak Merdeka".
1948 Darurat diisytiharkan, segala pertubuhan dan persatuan diharamkan. Cuma satu pertubuhan sahaja yang tidak diharamkan dan dibenarkan bergerak ialah UMNO. Ini telah menjadi kemusykilan beberapa pihak pada waktu itu terutama di kalangan pimpinan pertubuhan dan persatuan mengapa UMNO sahaja dibenarkan bergerak.
Pada waktu itu populariti UMNO dan Penjajah British agak rendah berbanding Parti Kebangsaan Melayu Malaya, API, AWAS, Hisbul Muslimin, Parti Komunis Malaya dan lain-lain pertubuhan. Tidak salah jika kita meragui bahawa UMNO bekerjasama dan berpakat dengan Kerajaan Inggeris pada waktu itu. Setidak-tidaknya UMNO bolehlah dianggap sebagai pengampu Kerajaan British.
Pada 28-29 Disember 1955 berlangsungnya Perundingan Baling, yang mana UMNO yang diterajui oleh Tunku Abdul Rahman bersama-sama Tun Tan Cheng Lok, David Marshall dan Hamid Jumat bertemu dengan wakil PKM iaitu Chin Peng, Rashid Maidin dan Chen Tian. Tujuan utama Tunku dalam perundingan itu adalah untuk mendapatkan sokongan daripada pihak PKM dalam menuntut Kemerdekaan Malaya. Beliau mendapat sokongan penuh daripada pihak PKM.
Dalam Perundingan itu beliau memang tidak langsung mahukan sebarang perdamaian antara Kerajaan Malaya pada waktu itu diterajui British dan PKM ini terbukti daripada kata-katanya kepada wartawan Zaid Zahari pada waktu itu membuat liputan tentang Perundingan Baling itu. Dalam perundingan Baling, Tunku jelas tidak mahu perundingan itu mencapai persetujuan. “No. I am not, I never wanted it to be a success”, itulah jawaban Tunku ketika ditanya tentang perundingan tersebut. Nak jelas lagi, sila lihat tulisan Pak Said Zahari MENITI LAUTAN GELORA muka 296 – 304. Maka Parti Komunis Malaya menjadi batu loncatan dan ugutan kepada pihak British.
Di dalam Perundingan Baling juga Tunku ada berjanji kepada delegasi PKM bahawa beliau akan menyusun satu lagi rundingan dengan pihak PKM. Namun setelah Merdeka tidak ada sebarang perundingan atau perdamaian dengan pihak PKM. Ada kemungkinan beliau takut pengaruh beliau dan UMNO pada waktu itu menurun dan merosot atau mungkin akan kehilangan kuasa seandainya ahli-ahli PKM diberi pengampunan dan dibenarkan aktif.