Kegiatan kenderaan-kenderaan Singapura yang membeli petrol Ron 95 dari stesyen-stesyen minyak di Johor Bahru didapati semakin berleluasa hingga menimbulkan rasa kurang senang kepada rakyat tempatan di sini.
Beberapa penduduk tempatan ketika ditanya, mengeluh bukan sahaja kerana tertekan dengan beberapa siri kenaikan harga baru-baru ini tetapi juga apabila mendapati tiada sebarang langkah diambil terhadap stesyen minyak yang menjual petrol Ron 95 yang bersubsidi kepada kenderaan asing khususnya dari Singapura.
Menurut seorang penduduk tempatan yang hanya mahu dikenali sebagai Khairel, penjualan petrol Ron 95 kepada kenderaan Singapura sudah menjadi pemandangan biasa di Johor bahru.
"Stesyen-stesyen minyak biasanya tak banyak soal bila kenderaan dari Singapura membeli minyak Ron 95, sesiapa pun boleh beli walaupun kerajaan tidak membenarkan.
"Harga petrol kita yang bersubsidi sepatutnya untuk rakyat negara ini yang membayar bermacam cukai. Tapi bila tengok orang luar yang tak bayar cukai macam kita pun dapat sama macam kita, itu tidak betul," kata beliau yang merupakan seorang ahli perniagaan.
Menurut beliau lagi, perkara ini mungkin berlaku disebabkan pihak Kementerian Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan hanya menempatkan penguat kuasanya pada peringkat awal sahaja, tidak secara berterusan.
"Mungkin pada permulaan sahaja kerajaan ada menempatkan penguat kuasa tapi bila dah lama, penguat kuasaan mula mengendur tak macam mula-mula dulu," katanya lagi.
"Semenjak kerajaan mengumumkan petrol Ron 95 hanya dijual kepada kenderaan tempatan pada Ogos lalu, saya tak belum pernah dengar atau terbaca berita ada stesyen minyak atau kenderaan dari Singapura dikenakan tindakan.
Beliau juga memberitahu penjualan petrol Ron 95 kepada kederaan yang menggunakan nombor pendaftaran Singapura ini boleh dilihat di mana-mana sekitar Johor Bahru.
"Kalau nak dikirakan, dalam sehari memang banyak kenderaan Singapura tuang minyak Ron 95 di sini. Sesiapa pun boleh nampak perkara ini, takkan nak tunggu ada orang lapor baru nak bertindak?
"Mustahil kalau pihak kementerian kata tak sedar tentang perkara ini sebab itu memang tanggungjawab mereka. Kementerian harus bertindak cepat dengan membuat pemantauan, jangan cakap sahaja" katanya lagi.
Bagi Aini Rasol seorang kakitangan awam pula, selain melahirkan kekecewaan terhadap penguatkuasaan yang lemah dalam isu ini, beliau turut menganggap kehadiran warga Singapura merupakan salah satu faktor menyumbang kepada kos sara yang tinggi di Johor Bahru.
"Sudahlah kos sara hidup di sini tinggi, kemudian hak petrol bersubsidi yang sepatutnya untuk rakyat negara ini pun diambil kesempatan oleh orang-orang luar.
Kehadiran warga Singapura menyebabkan kos sara di JB tinggi
"Kos sara di Bandaraya JB memang tinggi berbanding kebanyakkan ibu negeri lain. Salah satu sebabnya apabila orang-orang Singapura gemar berbelanja barang keperluan di sini dan menyebabkan permintaan yang tinggi sekaligus meningkatkan harga di pasaran.
"Mungkin ok bagi para peniaga, tapi tidak bagi orang tempatan yang cuma makan gaji macam saya. Tambahan pula nilai matawang Singapura Dollar yang tinggi menyebabkan mereka mempunyai kuasa membeli yang tinggi dan harga barang pengguna ditentukan oleh kehendak pasaran.
Sementara itu, kakitangan swasta, Mohd Yazam pula memberikan pendapatnya, selain tidak berhak membeli petrol Ron 95, minat mendalam warga Singapura untuk memiliki hartanah di Johor Bahru juga telah menyebabkan harga pasaran di sini meningkat sekaligus menyukarkan penduduk tempatan.
Harga pasaran hartanah tinggi
"Di JB ni harga hartanah juga cepat naik salah dan satu sebab bila ada permintaan tinggi dari seberang tambak sana. Akhirnya yang menghadapi masalah apabila orang tempatan yang mahu menyewa atau beli rumah terpaksa membayar dengan harga yang tinggi," katanya lagi.
Sebelum ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan mulai 1 Ogos tahun lalu semua kenderaan asing tidak dibenarkan lagi membeli petrol Ron 95.
Menurutnya lagi, tindakan tersebut adalah selaras dengan dasar kerajaan bagi memastikan bahan api subsidi bagi Ron 95 adalah khusus untuk rakyat Malaysia.
Beliau juga memberitahu pihak kementeriannya akan meletakkan 2,000 pegawai penguat kuasa dan 1,600 pemantau harga di kawasan sempadan termasuk di Bandaraya Johor Bahru yang diketahui sebagai bandar yang mempunyai kos sara yang tinggi. Sumber