BERITA 1
Santan naik RM2 sekilogram
KUALA LUMPUR: Suri rumah yang ditemui rata-rata merungut apabila harga bahan keperluan utama memasak iaitu santan naik mendadak 60 peratus iaitu daripada RM4.50 kepada RM6.50 sekilogram.
Harga itu mula naik dua minggu lalu kerana bekalan kelapa di pasaran berkurangan lebih 50 peratus hingga menjejaskan pengeluaran santan.
Tinjauan Harian Metro di Pasar Chow Kit dan Pasar Besar Gombak mendapati hampir keseluruhan peniaga menjual santan dengan harga RM6 hingga RM6.50 setiap kilogram berbanding sebelum ini sekitar RM4.50 sekilogram.
Suri rumah, Yah Yussuf, 44, berkata kenaikan mendadak itu membebankan belanja dapur isi rumah kerana terpaksa berbelanja besar untuk memasak setiap hari.
“Kenaikan sekitar RM2 tidak wajar kerana memberi tekanan kepada perbelanjaan harian,” katanya. - H.metro
BERITA 2
Selepas petrol, harga barangan lain akan naik
PETALING JAYA: Selepas kenaikan harga beberapa barangan keperluan pengguna baru-baru ini, roti dan tepung gandum dijangka turut menerima tanda harga baru ekoran kesan rantaian dari peningkatan kos pengeluaran bahan makanan itu.
Peningkatan harga tersebut tidak dapat dielakkan memandangkan kesan kos tambahan ekoran kenaikan kos pengeluaran yang semakin meningkat yang menyebabkan syarikat pengeluar roti tidak dapat mengekalkan harga pasaran yang ada pada masa ini.
Demikian menurut Pengurus Pemasaran Syarikat pengeluar produk roti terkenal, Gardenia Bakeries Sdn Bhd, Cik Azlina Harun ketika dihubungi hari ini.
“Kenaikan harga roti memang tidak dapat dielakkan tetapi bergantung kepada masa. Selama ini pun kita menyerap kenaikan harga gandum, gula, susu dan lain-lain semenjak bulan Oktober lagi. Kami pantau kenaikan harga bahan-bahan ini.
“Kalau ikut keadaan semasa, harga gandum kemungkinan akan naik lagi disebabkan krisis pengeluaran gandum peringkat global yang berlaku sekarang dan ini tentu memberi kesan kepada kenaikan harga roti tidak dapat dielakkan.
“Pihak kami juga khuatir jika pasaran gandum mengalami masalah kami tidak dapat memperolehi gred tepung yang bertepatan dengan piawaian produk kami pada masa akan datang. Jika kami memilih tepung gred lebih rendah tentu menjejaskan mutu produk kami nanti,” kata Azlina.
Menurut Azlina lagi, pada masa ini Gardenia Bakeries masih menyerap peningkatan kos pengeluaran syarikat yang bertambah semenjak bulan Oktober tahun lalu gara-gara kesan rantaian kenaikan harga barangan lain yang berkaitan dengan pengeluaran produk syarikat itu.
“Pada masa ini Syarikat kami masih cuba menyerap kenaikan kos pengeluaran kami yang semakin meningkat semenjak Oktober lagi.
Tetapi ia tidak akan terus kekal begitu, kenaikan harga tidak dapat dielakkan,” kata beliau.
Disamping itu dalam isu yang sama tanda-tanda awal mula dikesan apabila tinjauan rambang mendapati bekalan roti di beberapa kedai sekitar Petaling Jaya, didapati bekalan roti berkurangan dengan agak ketara daripada sebelumnya.
Roti kurang di pasaran?
Dalam tempoh tiga hari kebelakangan ini, sehingga jam 6.00 petang, kebanyakan kedai yang menjual roti didapati telah hampir kehabisan stok berbanding lazimnya stok roti masih banyak sehingga pengedar menghantar bekalan baru pada hari berikutnya.
Manakala bekalan roti di beberapa kedai lain termasuk kedai serbaneka 24 jam terkemuka pula didapati telah mula kehabisan stok seawal jam 9.00 malam lagi, sesuatu yang jarang berlaku.
Menurut seorang pekedai di sini, pada masa ini pembekal roti mula mengurangkan jumlah roti yang dibekalkan di kedainya tetapi ianya tidak melibatkan roti gred premium yang berharga lebih tinggi dari gred biasa.
Bagaimanapun, mengulas mengenai perkara ini, Azlina berkata syarikat Gardenia Bakeries tidak mengurangkan pengeluaran roti syarikat itu malahan telah meningkatkan lagi pengeluaran syarikat itu.
“Syarikat kami tidak mengurangkan pengeluaran, sebaliknya pada masa ini ada sedikit pertambahan pengeluaran yang kami buat,” katanya lagi.
Sementara itu, syarikat pengeluar tepung tempatan, Bidara Flour Sdn Bhd ketika dihubungi turut tidak menafikan akan berlaku kenaikan harga tepung gandum pada masa akan datang.
Menurut kakitangan Jabatan Pemasaran syarikat itu, Puan Suzie, antara penyumbang keadaan tersebut kerana berlakunya krisis pengeluaran gandum peringkat global pada masa ini.
“Sekarang ini ada krisis global keluaran gandum, jadi harga tepung gandum memang akan naik, cuma belum tahu bila dan adakah ia hanya kepada agen atau melibatkan harga pengguna,” jelas beliau.
Menurutnya, tepung gandum keluaran Bidara Flour merupakan antara syarikat pengeluar gandum paling murah yang berada di pasaran walaupun tidak mendapat subsidi dari kerajaan. - FreeMalaysiaToday ~ Pria Malaya ~