Grab the widget  IWeb Gator

Friday, January 28, 2011

Pemimpin tidak wajib menjadikan negara sebagai harta kekayaan bapa dan keluarga mereka yang boleh dikaut sesuka hati.


Ismail Hashim
January 27, 2011 — Belum selesai pun pilihn raya kecil di DUN Tenang, pilihan raya kecil ke-16 terbayang di fikiran ekoran kematian seorang ADUN di DUN Merlimau, Melaka pula.
Sejak 2008 negara sudah mengalami 15 pilihan raya kecil dan ini masih tidak termasuk ketidakhadiran seorang wakil rakyat selama ebam bulan di DUN Pelabuhan Klang.

Sila rujuk kepada fakta di bawah:

Kerusi Parlimen :

Sabah: Batu Sapi (meninggal) — 4 November 2010

Sarawak: Sibu (meninggal) — 16 Mei 2010

Selangor: Hulu Selangor (meninggal) — 25 April 2010

Perak: Bukit Gantang (meninggal) — 7 April 2009

Terengganu: Kuala Terengganu (meninggal) — 17 Januari 2009

Pulau Pinang: Permatang Pauh (Bini letak jawatan dan bagi suami jadi ahli parlimen) — 26 Ogos 2008

Kerusi DUN:

Melaka: Merlimau (meninggal) — masih tunggu jawapan SPR

Johor: Tenang (meninggal) — 30 Januari 2011

Kelantan: Galas (meninggal) — 4 November 2010

Negri Sembilan: Bagan Pinang (meninggal) — 11 Oktober 2009

Pulau Pinang: Permatang Pasir (meninggal) — 25 Ogos 2009

Kelantan: Manek Urai (meninggal) — 14 Julai 2009

Pulau Pinang: Penanti (ADUN saja-saja letak jawatan) — 31 Mei 2009

Kedah: Bukit Selambau (ADUN saja-saja letak jawatan) — 7 April 2009

Sarawak: Batang Ai (meninggal) — 7 April 2009

Sepanjang tiga tahun ini, Pulau Pinang sahaja telah mengalami tiga pilihan raya kecil, satu Parlimen dan dua negeri. Bayangkan berapa juta wang telah dihabiskan untuk menghadapi pilihan raya kecil ini?

Malah cadangan supaya setiap wakil rakyat menjalani pemeriksaan kesihatan amat dialu-alukan.

Ini masih tidak mengira desas desus mengenai pilihan raya umum yang dikatakan akan diadakan pada tahun ini.

Pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) baru-baru ini seolah menunjukkan suatu petanda pilihan raya umum.

Mungkin sebelum ini penangguhan pemilihan parti Umno kepada 18 bulan bermakna suatu pilihan raya umum akan diadakan? Keadaan yang lebih strategik kepada kedatangan pilihan raya nampaknya lebih berdetik dengan pengumuman perlantikan ketua perhubungan Umno yang baru di beberapa negeri.

Umum mengetahui pilihan raya umum diadakan tiga tahun yang lalu (2008) tetapi tidak sampai empat tahun sudah ada bayangan pula untuk mengadakan pilihan raya umum semula (pilihan raya sepatutnya diadakan pada 2013)

Apakah rasional perlunya kerajaan BN mengadakan pilihan raya umum?

Adakah kerajaan sekarang sudah tidak yakin dengan kedudukannya atau berasakan keadaannya yang tidak stabil? Maka pilihan raya umum perlu diadakan dengan sedapat mungkin sementara keadaan masih berpihak kepada BN.

Bagaimanakah agaknya sikap kerajaan (dalam hal kerajaan boleh jadi kerajaan memerintah atau pembangkang kerana ia terdiri dari parti-parti) terhadap negara? Adakah kerajaan merasakan negara yang diperintahnya itu ibarat sebuah rumah sewa, rumah milik parti atau milik negara atau sebuah syarikat korporat sahaja?

Biasanya jika kita tinggal di rumah sewa, kita tidak akan mengambil peduli dengan kerosakan rumah tersebut kerana berasakan bahawa rumah itu bukan milik kita. Keadaan tentunya berlainan jika rumah itu adalah rumah yang kita beli sendiri.

Agaknya adakah mungkin sikap para pemimpin kita seperti ini? Apakah jika mereka merasakan bahawa waktu memegang kekuasaan hanya 5 tahun atau kurang kerana merasakan digugat, mereka akan semaksima mungkin memanfaatkanya. Adakah sesebuah negara itu merupakan sebuah kerajaan pilihan raya sahaja?

Maka akan terlihat berlakunya rasuah, mengisi kekayaan ke kantung keluarga dan kroni, melakukan kolusi, nepotisme dan segala sesuatu yang menguntungkan diri, keluarga, sanak saudara dan konco-konconya. Kerusi kepiminan bagi mereka adalah wadah mencari kekayaan dan mengaut keunttungan sementara masih memerintah dan memegang jawatan.

Maka apabila kekalahan menimpa di sebuah negeri lombong emas ia seperti suatu mimpi yang tidak dapat diterima bagaikan suatu igauan.

Mereka sangat jarang memikirkan bahwa jabatan adalah amanah.

Sepatutnya kerajaan bernegara dengan sistem pemerintahan seperti ini ibarat kita tinggal di rumah sendiri. Jika terdapat kerosakan kecil kita akan perbaikinya dengan cepat agar tidak menjalar ke mana-mana.

Kita akan tampal dan perbaiki tempat bocor supaya keluarga kita yang tinggal di dalamnya tidak terkena air hujan akibat kebocoran tersebut.

Jika halaman dipenuhi belukar dan lalang, kita akan memotong dan membersihkannya dan ditanami bunga dan pohon-pohon agar semakin menambah keindahan rumah. Kita mahukan isteri dan anak-anak dapat hidup dalam sebuah rumah yang aman dan damai supaya tidak berada dalam kebimbangan dan ketakutan.

Sebagai ketua keluarga kita akan membiayai dan menjaga kesihatan dan pendidikan anak-anak.

Sejauh manakah sikap kepimpinana politik kita. Adakah kepentingan dan masa depan polltik dan kuasa, pengaruh dan perniagaan menjadi keutamaan dari agama, bangsa dan rakyat?

Ini juga ibarat bagaimana pula pemimpin kita memikirkan kehidupan rakyat di negaranya hidup makmur di mana kanak-kanak dapat memasuki sekolah dan membantu golongan miskin dan mereka yang sakit.

Pemimpin menerajui dalam memberkas penjenayah dan menghapuskan amalan rasuah, nepotisme dan kronisme dalam negara. Pemimpin mengutamakan kepentingan agama, negara dan bangsa dari kepentingan peribadi, keluarga dan kroni.

Kerajaan bernegara bukanlah kerajaan pilihan raya. Kita bukanlah hidup dalam sebuah kerajaan pilihan raya. kerajaan yang mati dan hidup menjelang pilihan raya, kerajaan yang melupakan rakyat hanya mengingatkan kepentingan rakyat hanya menjelang pilihan raya.

Kita bukanlah kerajaan tiga, empat, atau lima tahun sekali. Kelangsungan sesebuah parti pemerintah bukanlah semata-mata ingin berkuasa dalam setiap pilihan raya dan mengaut keuntungan sedapat mungkin selama memerintah.

Kelangsungan dan kemenangan sesebuah parti atau kumpulan parti dalam pilihan raya adalah meneruskan usaha memberikan khidmat dan menabur jasa kepada rakyat. Mereka adalah hamba kepada rakyat yang memilih mereka.

Kerajaan yang hidup kerana pilihan raya hanya menabur janji tetapi tidak menunaikannya. Kerajaan yang menghabiskan berbilion ringgit untuk projek mega tetapi mengemukkan ahli keluarga dan rakan taulan.

Pilihan raya hanyalah semata-mata meneruskan kelangsungan khidmat kepada rakyat dan jika prestasi sesebuah kerajaan itu buruk maka rakayat perlu menukar kerajaan tersebut. Kerajaan adalah berbeza dengan negara. Negara adalah kekal tetapi kerajaan boleh berubah bergantung kepada prestasinya kepada rakyat.

Para pemimpin tidak wajib menjadikan negara dan tanah air sebagai harta kekayaan bapa dan keluarga mereka yang boleh dikaut sesuka hati.

Sistem demokrasi dan proses pengdemokrasian sepatutnya memberdayakan rakyat bukannya memperbodoh dan menghambakan rakyat. Ia tidak semestinya menjadi “state or government centred” tetapi “rakyat centred”.

Suatu tuntutan agar dibuka dengan seluas-luasnya kemungkinan untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat dan mempertingkatkan keberdayaan masyarakat.

Inilahlah kemelutnya sekarang dalam suatu masyarakat dengan pola dasar patron-rakyat, suatu budaya politik yang baik sangat bergantung kepada timgkah laku elit politiknya. Masalahnya kemudian adalah: apa yang dianggap sebagai tingkah laku politik yang dapat dijadikan teladan atau dicontohi?

* Ismail Hashim Yahaya adalah pensyarah di Fakulti Komunikasi dan Media di Universiti Industri Selangor (UNISEL), kampus Shah Alam

Sila ke [SINI]
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TOP Ten Minggu INI

Paling Popular