Grab the widget  IWeb Gator

Friday, January 14, 2011

Minda kelas ketiga: Tercapaikah Wawasan 2020?


9 Safar 1432H MOD.

14 JAN — Tahun 2011 sudah pun membuka tirainya lebih seminggu yang lalu. Segala impian, hajat mahupun resolusi yang pernah terbuku dalam hati rakyat pada malam sebelum Tahun Baru, kini dalam proses untuk direalisasikan, itupun jika ia mahu dijayakan.
Harapan dan tekad untuk melakukan perubahan bukan sahaja dari segi sikap kita tetapi juga cara melaksanakan sesuatu perkara, akan diuji selepas ini.

Tetapi hakikat di hadapan mata kita, apakah yang sudah berubah pada Tahun Baru 2011? Adakah kita sudah berubah seperti yang diharap-harapkan? Apakah kita sudah berubah dan menjadi seorang insan mukammil dan rakyat yang bertanggungjawab dalam membantu kerajaan sekarang merealisasikan agenda nasional demi manfaat bersama?

Mahukah kita berubah? Demikian beberapa persoalan yang bermain dalam fikiran penulis ketika ini. Melihat kepada beberapa laporan akhbar tempatan baru-baru ini yang mendapati timbunan sampah-sarap ada di merata tempat di sekitar lokasi sambutan ambang Tahun Baru 2011 di ibu negara, nampaknya tahun mungkin baru tetapi sikap rakyat masih di takuk lama.

Isu yang disebutkan di atas bukan isu baru. Malah sudah berkali-kali ia dibangkitkan dalam media massa tempatan hinggakan ada wartawan yang membuat liputan sekalipun telah hilang sabar.

Rakyat Malaysia nampaknya lebih berminat untuk mencari jalan pintas dalam isu ini daripada mengambil inisiatif untuk membuangnya ke dalam tong sampah walaupun tong sampah terletak di hadapan mata mereka.

Justeru, apabila terdapat sebuah akhbar tempatan berbahasa Inggeris secara sinisnya menggunakan tajuk “Di Sebalik Kedatangan Tahun Baru, tetapi tabiat buruk rakyat Malaysia kekal sama,” perasaan terkejut tidak langsung terlintas dalam fikiran penulis. Malah, sindiran tajam dalam artikel akhbar berkenaan merupakan manifestasi kekecewaan terhadap sikap rakyat Malaysia yang masih terperangkap dalam minda negara dunia ketiga.

Apa yang dilaporkan dalam akhbar tersebut bukanlah sesuatu yang asing tetapi sudah menjadi satu pemandangan biasa di negara ini. Lebih mengecewakan, sikap acuh tak acuh yang ditunjukkan rakyat juga membuktikan bahawa segala ajaran dan didikan sivik yang pernah diterima di sekolah dahulu, tidak membawa sebarang kesan. Ibarat masuk telinga kiri, keluar telinga kanan.

Lantaran itu, apakah kita mahu biarkan trend sedemikian menjadi sebahagian daripada budaya hidup rakyat Malaysia? Tinggal 10 tahun sahaja lagi, negara kita dijangka akan memasuki status sebagai sebuah negara maju seperti yang diuar-uarkan dalam Wawasan 2020 cetusan ilham mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Maju bukan sahaja dari segi ekonomi, politik dan budaya bahkan juga dari segi tahap pemikiran serta tahap kesedaran terhadap sesuatu isu.

Sesungguhnya, status sebagai sebuah negara maju bukan sahaja diukur dari segi kehebatan kadar pertumbuhan ekonomi atau jumlah pelaburan asing yang berjaya ditariknya tetapi juga aspek-aspek lain yang adakalanya terlepas dari pandangan kita. Aspek-aspek lain yang dimaksudkan itu termasuklah jangka hayat rakyat, hak asasi manusia dan juga tahap kebersihan negara.

Jika inilah sikap pengotor dan sikap acuh tak acuh yang ditunjukkan oleh rakyat Malaysia, maka Wawasan 2020 yang sepatutnya melonjakkan Malaysia ke status sebagai negara maju, tidak akan membawa sebarang makna malah tidak akan mencapai objektif yang disasarkan.

Sebaliknya, apa yang kita akan dapat lihat selepas ini ialah sebuah masyarakat yang tidak berperaturan, pengotor dan bertaraf dunia ketiga seperti negara-negara mundur di tempat lain.

Penonjolan sikap pengotor dan acuh tak acuh ini jelas hanya mengukuhkan kritikan sinis segelintir pihak bahawa masyarakat di negara ini belum bersedia malah tidak berminat untuk membuat anjakan.

Yang pasti, kebersihan mencerminkan keperibadian seseorang. Tanggungjawab menjaga kebersihan adalah tanggungjawab kita bersama. Ia tidak boleh diletakkan pada bahu para pekerja am atau tukang menyapu sampah semata-mata. Kecenderungan untuk kita berfikir bahawa tugas menjaga kebersihan hanya terletak pada pekerja am adalah satu sikap yang tidak bertanggungjawab dan pentingkan diri sendiri.

Mengapa tidak kita anggap negara ini sebagai rumah kita sendiri. Jika kita boleh menjaga kebersihan rumah dengan baik, mengapakah tidak sikap tersebut turut diperluaskan di luar kawasan rumah?

Adakah ia terlalu sukar untuk rakyat berbuat demikian ataupun semuanya kerana berpunca daripada sikap rakyat yang terlalu hidup dalam zon selesa hinggakan semua aspek kehidupan perlu diserahkan kepada orang lain?

Sebuah negara yang maju tetapi tidak diiringi oleh takuk minda yang bersih, sebenarnya tidak banyak beza dengan negara-negara dunia ketiga. Negara tersebut akan dipandang hina dan menjadi bahan gurauan di seantero dunia.

Sebuah negara yang bersih, sudah pastinya rakyat juga akan sihat. Dan apabila rakyat sihat sejahtera, maka produktiflah sesebuah negara itu. Apabila sesebuah negara itu produktif, sudah tentu ia dapat berkembang ke satu tahap yang lebih gemilang.

Bersempena dengan kedatangan Tahun Baru 2011 ini, adalah penting sikap negatif seperti yang diuar-uarkan tadi, perlu dikikis dan tidak terus tertanam dalam kerangka pemikiran rakyat negara ini.

Menjadi harapan semua pihak agar sebuah masyarakat yang berkesedaran sivik tinggi dan prihatin dapat dilahirkan. Tiada maknanya kehebatan sesebuah negara jika rakyatnya sendiri masih terperangkap dalam takuk minda yang lama.

Apa yang kita ingin lihat selepas ini ialah sebuah negara Malaysia yang ada kelasnya tersendiri dengan kalangan rakyatnya mempunyai takuk minda baru yang seiring dengan negara-negara maju. Berubahlah dari sekarang! (Malaysian Insider)

* The views expressed here are the personal opinion of the columnist.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TOP Ten Minggu INI

Paling Popular