Grab the widget  IWeb Gator

Friday, June 21, 2013

Pakatan Rakyat Boleh Jatuhkan Najib Menerusi Tengku Razaleigh

Sama ada memang benar berlaku penyelewengan dan ketidak-adilan (melampau) dalam pilihan raya KE-13 lalu, hakikatnya parti UBN masih berkuasa dan Najib Razak masih menjadi perdana menteri. Dalam permainan politik yang berpaksikan kepada 4C (teori saya) sebagai rukunnya, penegakkan kebenaran dengan segala macam fakta 'akli' atau bayangan tidak merubahkan keadaan.

Rakyat apa lagi rakyat berbangsa Melayu tidak mudah untuk digerakkan mengikut apa yang diagendakan. Bukan mereka cerdik atau pintar tetapi begitulah sifat dan ciri-ciri yang ada kepada mereka, Bangsa Melayu adalah bangsa separuh masak - kebaratan pun tidak ketimurtengahan juga pun tidak. Sebahagian besar orang Melayu masih berfikir secara ortodoks.

Puak pembangkang khasnya Anwar Ibrahim yang kagen dan kempunan hendak menjadi perdana menteri masih berusaha dengan cuba menafikan pilihan raya ke-13 tempoh hari. Anwar yang boleh dipuji beliau tidak pernah berputuas asa dan boleh mengubah segala janji dan ikrar politiknya. Sebelum ini dia bermadah akan bersara dalam politik sekiranya Pakatan Rakyat tidak menang. Saya sudah menduga awal-awal kenyataan (janji) itu sebahagian sebagai gimik dan modal politiknya demi meraih simpati.

Maka dicarilah satu dalih atau alasan untuk mengatakan Pakatan Rakyat menang bagi membolehkan beliau terus berada dalam gelanggang politik. Maka angka 51% diambil untuk menghalalkan tindakan. Kononnya Pakatan Rakyat mendapat suara 51% undi popular berbanding dengan UBN yang mendapat 47%. Dengan figure-figure yang disihirkan itu maka halallah Anwar untuk memungkiri janji politiknya untuk bersara.

Apapun kita ucapkan selamat kepada Anwar dan Pakatan Rakyat. Memang mereka tidak akan berpuas hati selagi Najib tidak jatuh dan di kalangan mereka (Anwar) yang akan dinobatkan sebagai perdana menteri. Orang yang mengatakan politik Pakatan Rakyat, baik Anwar, Lim Kit Siang dan lain-lain sebagai gilakan kuasa, orang itulah yang sebanarnya 'sinting' kerana seakan tidak mahu memahami politik itu yang mahukan kuasa. 'Budak'lah orang yang bermain politik tetapi tidak mahukan kuasa.

Ayuh teruskan Anwar dengan cara anda. Selagi rakyat masih mempercayai degan cara anda, silakan. Cuma ingat sedikit sudah ada bidalan, sepandai-pandai tupai melopat akhirnya ke tanah juga. Setinggi mana bangar terbang akhirnya hinggap di belakang kerbau juga. Hidup ini asa lapan dimensi bukannya empat. Mungkin bidalan ini tidak tepat. Apa yang hendak diceritakan, rakyat mempercayai kita hari ini esok dan lusa, tetapi bukan selamanya. Makanya tektik dan strategi kena tukar.

Bagaimana pun di sini saya ada formul kecil bagaiman kalau hendak jatuhkan Najib sebagai perdana menteri tanpa menunggu pilihan raya umum ke-14. Formula ini saya tidak mengira UBN akan tumbang. Tetapi khasnya untuk Najib semata-mata. Formula ini agak janggal dan tidak masuk akal. Namun kerana politik itu kadang kala di luar norma rentas pemikiran manusia, maka formula ini boleh dikira masih waras dalam kancah politik dan ia boleh dicuba.

Untuk menggugurkan seseorang bukan semestinya menerusi pilihan raya umum. Pilihan raya adalah cara formal yang yang ketat dengan syarat-syaratnya.Tetapi mereka juga boleh digugurkan secara lain. Kalau semua orang berfikir untuk jatuhkan Najib menerusi pilihan raya, maka pilihan raya ke-14 masih jauh. Masih ada empat tahun 10 bulan lagi. Dalam masa itu Najib boleh mempersiapkan dan memperkemaskan dirinya. Najib boleh berusaha untuk mengukuhkan kedudukannya. Belum tentu PRU-14 jalan mudah dan rapoh menjatuhkan Najib.

Makanya masa itu jangan dinanti. Ambil peluang dan cari jalan pintas.

Bagaimana caranya? Umum tahun perhimpunan agung Umno akhir tahun ini melibatkan pemilihan pemimpin disemua peringkat termasuk untuk jawatan presiden Umno. Mereka yang ingin melihat Najib jatuh boleh gunakan kesempatan ini. Anwar yang beriya mahukan Najib tumbang jangan berfikir selepas Najib adalah beliau. Anwar harus rasional dan berfikiran terbuka dalam soal ini. Dalam konteks ini Anwar dan Pakatan Rakyat perlu berfikir untuk menumbangkan Najib. Ini agendanya.

Untuk ini Anwar dan Pakatan Rakyat perlu berusaha agar ada orang melawan Najib dalam perhimpunan itu kelak. Untuk Anwar berbuat demikian mustahil kerana beliau berada di luar Umno. Satu-satu orang yang layak dan sesuai untuk berdepan dengan Najib ialah Tengku Razaleigh Hamzah. Anwar dan Pakatan Rakyat boleh memberi sokongan kepada Tengku Razaleigh untuk berdepan dengan Najib. Dalam erti kata lain Anwar dan Pakatan Rakyat harus bersekongkol dengan Tengku Razaleigh.

Mungkin ada yang mengatakan formula ini mustahil tidak masuk akal. Saya ingatkan mereka yang berfikir separuh dari fikiran politik saya abaikan formula ini dan berhenti bercakap mengenainya. Memang ianya mustahil dan Anwar tidak dapat berbuat apa-apa. Anwar dan Pakatan Rakyat tidak boleh mengundi untuk kemenangan Tengku Razaleigh. Saya sendiri memberi jaminan Tengku Razaleig boleh kalah. Hegemoni politik Najib dalam Umno sangatlah hebat.

Tetapi apa yang dikehendaki menerusi pertandingan ini ialah menghimpun berapa ramai orang-orang Umno khasnya yang menjadi ahli parlimen yang kecewa dengan kekalahan Tengku Razaleigh Hazmah ini. Apakah kesemua lebih 80 ahli parlimen Umno itu menyokong Najib Razak? Sudah pasti apabila ada pertandingan kedudukan ahli Umno akan berbelah bahagi. Mereka yang tidak senang dengan Najib akan mencari alternatif (pemimpin) baru. Mereka secara lumrahnya akan melepaskan wap marah kepada Najib dengan mengundi Tengku Razaleigh Hamzah.

Seperti mana dibimbangI Mahathir Mohamad kalau berlaku pertandingan dalam Umno perpecahan tidak dapat dielakkan. Akan ada hati-hati yang retak dan jiwa yang lara serta berdendam. Nah, perpecahan inilah yang diperlukan. Anwar dan Pakatan Rakat boleh mengambil kesempatan. Perbalahan di dalam Umno disebabkan perpecahan akibat perlawanan itu boleh dibawa ke parlimen. Di parlimen inilah proses untuk menjatuhkan Najib boleh dilakukan.

Sekiranya bilangan undi cukup undi tidak percaya boleh dikemukakan ke atas Najib. Tengku Razaleigh atau ahli parlimen yang kecewa dengan Najib boleh mengemukakan undi tidak percaya. Jika ini berlaku ahli parlimen Pakatan Rakyat akan ikut serta menyokong undi tidak percaya berkenaan. Kedudukan hari sekiranya terdapat 10 atau 15 ahli Parlimen Umno ia sudah mengoyangkan kedudukan Najib sebagai perdana menteri.

Angka 10 itu akan ditambah dengan beberapa bilangan lain lagi yang akan mengenapkan menjadi 30 kesemuanya. Dengan jumlah itu maka akan jatuhlah Najib sebagai perdana menteri dan akan bertukarlah juga kerajaan. Ketika itu mungkin Pakatan Rakyat membentuk kerajaannya dengan memberi laluan kepada Tengku Razaleigh Hamzah sebagai perdana menteri. Soalnya apakah Anwar dan pemimpin Pakatan Rakyat lain, PAS dan DAP sedia untuk melakukan 'kudeta' ini?

Untuk menjadikan formula ini sebagai realiti maka Anwar Ibrahim bersama pemimpin Pakatan Rakyat lain hendaklah berkempen memberi semangat dan dorongan agar Tengku Razaleigh menentang Najib untuk jawatan presiden Umno. Berikan kekuatan dan keyakinan kepada ahli parlimen Gua Musang itu. Masalah kouta pencalonan 30% untuk bertanding kerusi presiden bukan menjadi masalah lagi. Sistem pemilihan baru seseorang yang hendak bertanding jawatan apa saja dalam Umno tidak lagi terikat dengan kouta.

Keterbukaan atau tranformasi di dalam Umno inilah yang kini membimbangkan Mahathir dan beberapa pemimpin Umno lain. Masing-masing sudah memberi signal agar jawatan tertinggi dalam Umno jangan dipertandingkan. Macam-macam alasan diberikan semuanya untuk menyelamatkan Najib di atas takhta. Pun begitu pandangan itu berbelah bahagi kerana ada yang mahukan semua jawatan dipertandingkan untuk melihat demokrasi benar-benar wujud di dalam Umno.

Nota, apa yang dikemukakan ini hanya satu formula atau kaedah bagaimana untuk menjatuhkan Najib. Kaedah ini adalah peluang terbaik pada waktu ini. Peluang ini lebih baik daripada cara cuba mengheretkan rakyat agar memberi tentangan berterusan kepada kerajaan. Menjatuhkan Najib dalam partinya kemudian mengakat Tengku Razaleigh sebagai penggantinya lebih realistik daripada apa-apa tindakan provokatif yang dilakukan hari ini.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TOP Ten Minggu INI

Paling Popular