Grab the widget  IWeb Gator

Monday, February 7, 2011

CALON “WINNABLE” DI SARAWAK?

Semalam, Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Razak bertemu dengan Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Sarawak di Miri. Menurut Najib, beberapa orang menawarkan diri untuk tidak bertanding.


Saya tak pasti berapa ramaikah daripada 71 orang itu yang secara sukarela ingin memberikan peluang kepada calon-calon baru. Apa yang saya pasti ialah sebahagian mereka mesti digugurkan bagi memberikan nafas baru kepada Barisan Nasional Sarawak dalam pilihanraya negeri yang mesti diadakan pada sebelum Julai tahun ini.

Dalam beberapa ucapannya sebelum ini, Najib menyebut mengenai “winnable candidate” perlu ditampilkan oleh Barisan Nasional. Dalam konteks Sarawak, saya melihat “winnable candidate” sebagai:

Pertama, calon yang secara relatifnya muda di bawah usia 55 tahun. Daripada 63 ADUN BN Sarawak, hanya 18 orang (29%) di bawah usia 56 tahun. ADUN Balai Ringin (BN-PRS), Snowdan Lawan berusia 40 tahun adalah ADUN BN paling muda. Di pihak pembangkang, ADUN Meradong (DAP) Ting Tze Fui adalah wakil rakyat termuda, kini berusia 30 tahun; manakala ADUN Pending, Violet Yong Wui Wui berusia 34 tahun dan ADUN Kota Sentosa (DAP), Chong Chieng Jen, 40 tahun.

Meletakkan calon muda tidak menjamin kemenangan BN. Namun, sekurang-kurangnya ia memberikan peluang kepada pengundi muda untuk menghantar rakan sebaya ke DUN Sarawak. Selain itu, calon muda juga lebih memahami aspirasi generasi muda dan umumnya “IT-savvy”; membolehkan mereka berkomunikasi dengan anak-anak muda yang inginkan suara mereka didengari di media sosial.
Kedua, calon harus merupakan aktivis sosial atau mereka yang mempunyai sumbangan besar kepada masyarakat setempat. Salah satu kritikan kepada SUPP ialah pemimpin parti itu dilihat sebagai tidak agresif memperjuangkan isu-isu kaum Cina. SUPP menunjukkan respon dengan meletakkan Prof Dr Sim Kui Hian sebagai calon bagi kerusi Pending. Dr Sim ialah Ketua Jabatan Kardiologi, Hospital Umum Sarawak adalah anak tempatan yang berjaya dan disukai oleh masyarakat setempat.

Sementara Dr Sim dilihat boleh memberikan saingan yang kuat kepada DAP, ia tidak cukup untuk memulihkan imej SUPP secara keseluruhannya. Parti itu perlu terus mencalonkan nama-nama baru yang dikenali sebagai aktivis masyarakat.

Calon-calon ini harus berani bersuara dan mempunyai rekod perkhidmatan dalam masyarakat. Elok juga sekiranya calon-calon Barisan Nasional Sarawak mempunyai minda bebas dan tidak dilihat sebagai terlalu terikat dengan pemimpin tertentu yang akhirnya boleh menjadi liabiliti dalam pilihanraya nanti.

Ketiga, mampu menjuarai isu-isu setempat. Dalam konteks Sarawak di mana terdapat pelbagai suku kaum, calon yang diletakkan bukan saja harus dapat memperjuangkan isu kaum-kaum utama, tetapi juga untuk semua kaum.

Saya percaya Najib telah pun menyatakan secara jelas kepada Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Taib Mahmud mengenai ciri-ciri “winnable candidates” ini. Malah, saya fikir Taib juga tahu apakah yang perlu dilakukannya dalam memilih calon sedemikian.

Dalam pilihanraya Sarawak, apa yang saya lihat ialah parti SUPP akan berhadapan dengan cabaran yang getir. DAP telah melakukan serangan agresif dalam mendaftarkan pengundi-pengundi baru di 19 kawasan yang ditandingi SUPP. Daripada 59,059 pengundi baru di Sarawak (antara 2006 hingga 2010), sebanyak 31,173 (atau 52.8%) adalah di kawasan-kawasan tersebut.

Tidak banyak penambahan pengundi berlaku di kawasan yang ditandingi PBB, PRS dan SPDP – menunjukkan bahawa pembangkang tidak melakukan gerakan agresif di kawasan-kawasan ini. Saya percaya percubaan pembangkang di 35 kerusi PBB, 9 kerusi PRS dan 8 kerusi SPDB tidak lebih dari “untung sabut timbul, untung batu tenggelam!”

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TOP Ten Minggu INI

Paling Popular