Said Zahari : Tidak Wajar Jika Utusan Pecat Presiden NUJ
SHAH ALAM 16 Jan.: Jika benar Utusan Malaysia bakal memecat presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ), Hata Wahari ekoran beberapa 'teguran' yang dibuatnya,ia adalah tindakan paling tidak wajar yang dilakukan media milikan Umno itu.
Bekas pengarang Utusan Melayu, Said Zahari berkata, Hata bercakap atas kapasitinya sebagai wakil daripada NUJ yang membolehkannya membuat sebarang komentar mahupun kritikan.
"Saya fikir Utusan tidak wajar hendak mengambil tindakan ke atas Hata kalau semata-mata dia menulis surat kepada Utusan atau mengkritik Utusan sebab atas kedudukan dia sebagai wakil NUJ, bukan pekerja Utusan," ujar Said ketika dihubungi Tv Selangor hari ini.
Esok Hata akan dipanggil dalam satu sesi siasatan tertutup oleh syarikat Utusan Melayu (M) Bhd kerana dikatakan "mencemarkan imej syarikat".
Mengulas hal itu, Said turut senada dengan beberapa komen bahawa siasatan tertutup itu sebagai satu formaliti oleh Utusan untuk memecat Hata.
Malah ujarnya, ia jelas sekali menunjukkan keangkuhan Utusan yang tidak boleh menerima sebarang kritikan.
" Jelas Utusan tidak sanggup pekerja-pekerjanya sendiri mengkritik dia. Maksudnya apa yang Utusan mahukan ialah, walaupun anda dari NUJ tetapi anda tidak boleh mengkritik majikan anda sendiri," tambah Said lagi.
Walau bagaimanapun katanya, "ketegangan" di antara Utusan dan Hata sebenarnya boleh diselesaikan dengan mengadakan satu rundingan." Utusan sepatutnya lebih terbuka," kata Said lagi.
Hata hanya dipilih sebagai presiden NUJ pada September lalu namun beliau lantang bersuara meminta media arus perdana, terutama Utusan Malaysia, New Straits Times, Berita Harian dan The Star supaya kembali kepada fungsi sebenar mereka sebagai penyebar maklumat yang objektif kepada rakyat dan bukan menjadi alat propaganda kerajaan, atau parti politik atau individu, untuk keuntungan peribadi mereka.