LABIS: Beberapa faktor penting sengaja dirancang untuk mempengaruhi keputusan pengundian bagi mendorong kekalahan Pakatan Rakyat pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang.
Pengarah Jabatan Pilihan Raya KEADILAN Johor, Steven Chong, berkata pemilihan tarikh pengundian yang dekat dengan sambutan Tahun Baru Cina, mengakibatkan ramai pengundi muda di Singapura dan Kuala Lumpur tidak pulang mengundi.
“Kebanyakan ibu bapa memberitahu petugas kami, anak-anak mereka tidak pulang ke kampung semata-mata hanya untuk mengundi. Masa dan kos memberi kesan untuk mereka membuat keputusan,” katanya.
Beliau berkata, pemilihan hari mengundi pada kitaran musim yang dijangka berlaku hujan lebat bagi mewujudkan suasana kebergantungan pengundi kepada jentera kerajaan.
“Justeru, ini memberi kredit yang akan dimanipulasi sepenuhnya jentera Barisan Nasional apabila berlaku banjir kilat.
“Umno BN hanya perlu ‘menyusun’ dan ‘melaras’ tarikh sesuai termasuk meneliti peralihan cuaca dengan menggunakan teknologi Jabatan Meteorologi. Umumnya, ramalan jabatan itu adalah tepat,” kata Steven kepada Suara Keadilan.
Beliau turut curiga apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terpaksa mengambil masa sehingga lima minggu selepas kematian penyandang kerusi, Datuk Sulaiman Taha untuk mengumumkan tarikh penamaan calon dan hari mengundi.
“Apabila kita lihat kepada perbandingan masa untuk mengumumkan tarikh penamaan calon bagi DUN Merlimau, masanya lebih singkat, hanya seminggu,” katanya.
Kata beliau, tindakan itu dirancang bagi menjamin kemenangan kerana pimpinan Umno BN mahu menimbulkan persepsi kepada umum betapa Johor masih kubu kuat mereka.
“Kerana itu, DUN Tenang perlu dimenangi dengan apa cara sekalipun, malah dengan majoriti selesa. Jika tidak, mereka tidak boleh lagi mengistilahkan Johor sebagai ‘kubu’ BN.
“Namun, ia bukan senario sebenar pilihan raya dan sokongan rakyat. Ia adalah ciptaan BN untuk menimbulkan pandangan yang Johor ‘tidak boleh disentuh’ pembangkang. Keputusan DUN Tenang tidak signifikan dengan situasi sebenar,” kata Steven.
Katanya, isyarat kepada Pakatan Rakyat dalam konteks politik tempatan dan nasional, adalah keperluan kepada gerak kerja bersama dan kempen bersepadu yang perlu dalam setiap aktiviti dan program.
“Parti gabungan Pakatan Rakyat tidak boleh bergerak terpisah dan bersendirian. Kita berdepan dengan komponen BN yang mempunyai sumber kewangan kukuh dan disokong manipulasi jentera dan pegawai kerajaan,” katanya.
http://fun.ly/95hv