KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM), S. Arutchelvan hari ini memberi keterangan kepada polis berhubung demonstrasi anti Hosni Mubarak di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat di sini pada Jumaat lepas.
Arutchelvan berkata beliau diminta menghadirkan diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras di sini berhubung dengan demonstrasi itu yang turut disertainya serta anggota PSM.
"Saya datang kerana nak bagi keterangan kerana jika tidak mereka (polis) boleh mengeluarkan waran tangkap," katanya.
Arutchelvan tiba di IPD itu pada pukul 2.45 petang dan dilihat meninggalkan balai polis itu pada pukul 3.30 petang.
Arutchelvan menyertai demonstrasi anti Hosni Mubarak yang dihadiri hampir 2,500 orang di hadapan bangunan kedutaan itu di Jalan Tun Razak di sini untuk menyerahkan memorandum kepada pegawai kedutaan itu.
Demonstrasi yang bermula aman menjadi kecoh apabila segelintir penunjuk perasaan membaling botol air kepada pihak polis yang bertugas untuk mengawal perhimpunan itu.
Polis kemudian menahan tujuh orang kerana menimbulkan kekacauan. Mereka kemudian dibebaskan setelah keterangan diambil. - BERNAMA