Grab the widget  IWeb Gator

Tuesday, February 8, 2011

Selangor mohon tubuh polis bantuan buat kali kedua


SHAH ALAM: Setelah permohonan sebelum ini tidak mendapat sebarang maklum balas, kerajaan Selangor semalam menghantar surat  kali kedua kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein untuk meluluskan penubuhan pasukan polis bantuan di negeri Selangor.

Permohonan itu dibuat berikutan kadar jenayah yang semakin meningkat menimbulkan kebimbangan di kalangan rakyat Selangor.
Menurut Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim, penubuhan pasukan polis bantuan itu dilihat sebagai langkah konkrit menangani jenayah yang berleluasa.
“Saya menulis surat itu agar hasrat kerajaan Selangor menubuhkan pasukan polis bantuan bagi menjamin keselamatan rakyat yang menjadi keutamaan kerajaan negeri (menjadi kenyataan).
“Tiada alasan munasabah mengapa Kerajaan Persekutuan harus menolak tawaran kami untuk menyumbang tenaga dalam usaha bersama menjaga keselamatan rakyat,” kata Khalid.
Katanya lagi, kerajaan Selangor pernah memohon kepada Hishamuddin untuk menubuhkan pasukan tersebut dengan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sebagai perintis.
Namun, kata Khalid, ia ditolak dengan alasan anggota polis mencukupi untuk mengawal keselamatan.
“Niat kita ini murni iaitu menyediakan pasukan keselamatan membantu dan melengkapi rutin harian polis, bukannya mengambil alih tugas penguatkuasaan pasukan polis.
“Dengan peningkatan bilangan pasukan keselamatan yang diberi tugas rondaan dan pencegahan jenayah, keselamatan rakyat dapat dipertingkatkan.
“Dua kes terbaru iaitu dua pegawal keselamatan ditetak di Damansara Perdana serta kes wanita hamil yang ditampar dan dirompak jelas membuktikan perlunya ada pasukan keselamatan tambahan untuk membantu polis mengawal dan mencegah kejadian jenayah,” katanya.
Selain daripada itu Khalid menegaskan bahawa Kerajaan Negeri begitu komited menyediakan kehidupan yang lebih selamat dan aman kepada seluruh rakyat di Selangor.
“Kerajaan Selangor komited untuk menubuhkan pasukan ini dengan hasrat menyediakan persekitaran kehidupan yang aman selaras dengan misi kerajaan negeri menjadikan Selangor sebagai negeri idaman, tenteram dan berkebajikan,” ujarnya.
Sebelum ini, surat pertama dihantar kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Seri Muhyiddin Yassin dan salinannya turut dihantar kepada Hishammuddin pada Julai tahun lepas, tetapi sehingga kini tidak mendapat sebarang maklum balas.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TOP Ten Minggu INI

Paling Popular