Grab the widget  IWeb Gator

Wednesday, January 12, 2011

Tumpu kepada soal dasar dan PR: Anwar jawab punca tak tanding Presiden


Mereka yang fasih dengan sejarah PKR semestinya sedar apa yang terjadi dalam Kongres Tahunan PKR 2007 di Seremban, Negeri Sembilan.  Anwar Ibrahim menarik diri dari pertandingan jawatan Presiden pada saat-saat terakhir, sebelum perwakilan menurunkan pangkah pada undi.


Anwar Ibrahim (gambar kanan) berada dalam dilema.  Beliau perlu membuktikan keikhlasannya untuk bersama PKR ketika diselubungi khabar angin bahawa beliau mungkin kembali ke pangkuan UMNO, ataupun keluar dari gelanggang politik tanahair.  Di samping itu, beliau perlu berhati-hati dengan segala muslihat yang mungkin memerangkapnya, misalnya Akta Pertubuhan 1966 yang menghalangnya untuk menyandang jawatan rasmi parti dalam tempoh lima tahun, setelah dibebaskan dari hukuman penjara.
Pemimpin politik mesti membuat keputusan, sama ada pilihan itu tepat atau tidak, terpulanglah kepada penilaian sejarah.  Kepimpinan Anwar tidak dipertikai, malah seorang lagi calon, Abdul Rahman Othman turun ke gelanggang pada ketika itu sekadar untuk menghalang Anwar daripada bertanding.  Sebaik sahaja Anwar menarik diri, Abdul Rahman Othman mengumumkan hasratnya untuk memberi laluan kepada isteri Anwar, Wan Azizah Ismail.  PKR memilih untuk menggelar Anwar sebagai Ketua Umum, ataude factor leader dalam bahasa Inggeris, sebagai strategi ketika "bersilat" dengan musuh politiknya.
Percaturan strategi Anwar
Namun demikian, situasinya berubah selepas tiga tahun.  Anwar tidak lagi dibelenggu Akta Pertubuhan 1966, meskipun mungkin Seksyen 377B Kanun Keseksaan pula yang menunggunya di depan.  Maka tidak kurang mereka yang mentafsir keputusan Anwar untuk tidak bertanding sebagai Presiden dalam Pemilihan Parti 2010 ini, sebagai percaturan strategi yang bersiap sedia untuk senario seandainya Anwar dipenjara.
Mengikut tafsiran ini, Anwar masih boleh memberi arahan dari penjara melalui isterinya yang menyandang jawatan Presiden PKR, jikalau beliau disumbat sekali lagi ke penjara.  Seandainya Anwar menyandang Presiden, maka Timbalan Presiden-lah yang berkuasa ketika Presiden dikurung di dalam penjara.  Analisa ini dibuat dengan andaian bahawa tiada kepercayaan penuh daripada Anwar terhadap Timbalan Presiden PKR, yang kini disandang Azmin Ali.
Namun keputusan ini menyukarkan sesetengah pemimpin PKR, khususnya yang berlatar-belakangkan peguam untuk mempertahankannya.  Antara kritikan terhadap keputusan ini termasuklah jawatan ini tidak berada dalam struktur organisasi yang termaktub dalam perlembagaan parti.  Justeru itu, sesetengah pihak mempertikaikan politik baru PKR yang membicarakan rule of law, sedangkan Anwar memegang satu jawatan/gelaran yang tidak berada dalam perlembagaan parti itu.  Lebih-lebih lagi, gelaran Ketua Umum meletakkan Anwar pada satu kedudukan yang tidak boleh dicabar melalui proses pemilihan, mengundang pertikaian terhadap sistem demokrasi dalam parti.
Demikianlah antara perspektifnya apabila mengulas isu Ketua Umum ini.  Namun demikian, Anwar Ibrahim mempunyai pertimbangan dirinya dalam hal ini.  Dalam satu wawancara bersama MerdekaReview pada 6 Januari 2011 di pejabatnya, Anwar menjelaskan bahawa dirinya tidak mahu terjerat dengan masalah organisasi parti, dan ingin menumpukan kepada soal dasar dan Pakatan Rakyat.  Berbeza dengan wartawan, Anwar tidak melihat "Ketua Umum" ini sebagai satu isu.
MR: Mengapa Dato Seri tidak bertanding untuk jawatan Presiden?
Anwar: Buat apa saya bertanding jawatan Presiden?
MR: Sebab (jawatan) Ketua Umum tak ada dalam...
Anwar: Orang pun tak minta (saya bertanding), siapa yang minta, kamu yang minta!  Orang dalam parti tak minta saya pun...
MR: Tidak, itu bukan (soal) orang minta atau tidak.
Anwar: Orang tak minta saya bertanding, macam mana saya nak bertanding?
MR: Soalnya adalah perlembagaan parti itu tidak mengiktiraf jawatan Ketua Umum.  Jadi ia memberi persepsi bahawa Dato Seri bertindak, mengambil satu jawatan yang mana ...
Anwar: Tak betul juga.  Kerana ini adalah keputusan kongres.  Jawatan Ketua Umum tu.
MR: Tidak...
Anwar: Kongres di Seremban...(pada tahun 2007)
MR: Pada ketika itu, dibelenggu dengan ROS (Jabatan Pendaftaran Pertubuhan).
Anwar: Masa itu pendirian itu, dan ini diperbaharui pada tahun 2010.  Kita berbincang di peringkat negeri.  Saya pergi Sarawak, Sabah... Perbincangan ada, tetapi sentimen majoriti dia tak perlu itu (saya bertanding untuk Presiden).
MR: Tetapi apa pertimbangannya, mengapa tidak?  Kerana Dato Seri yang memimpin parti!  Jadi, ...
Anwar: Tidak... semua orang boleh bicara, soal undi, soal... Tetapi kalau kamu tanya saya, secara jujur, secara saya jujur saya katakan di sini, saya langsung tak campur!  JPP (Jawatankuasa Pemilihan Pusat) tu, Dr.Molly tu, saya kenal hanya apabila dah lama dah dia kelam-kabut, Dr. Molly ni baru jumpa Azizah, baru (saya) jumpa (dia).
Tapi saya rasakan, isu parti, organisasi biar Saifuddin (Setiausaha Agung) jalanlah.  Isu pengurusan (management) parti, Azizah (Presiden PKR) datang tiga, empat kali seminggu.  Then ada isu utama (major issue), isu dasar, kerjasama dengan PAS, DAP, saya buat.  Saya ingat ini pembahagian tugas yang baik.
MR: Tidak, maksud saya, orang akan serang bahawa...
Anwar: Orang mana yang serang?
MR: Rule of law...
Anwar: Tidak, bukan (soal) rule of law...
MR: Tetapi ia satu jawatan yang tidak melalui apa-apa pertandingan, dan tiada...
Anwar: Kalau mereka terima, ini satu proses demokrasi, mereka terima.  Kalau mereka menolak, mereka akan menolak.  Saya tidak mempengerusikan mesyuarat dalam parti Keadilan...
MR: Ok, biar saya katakan begini.  Dengan keadaan sekarang, Dato Seri berada dalam pimpinan PKR.  Dato Seri ada, kemudian Datuk Seri Wan Azizah ada.  Kemudian Naib Presiden Nurul Izzah.  Ia memberi satu gambaran nepotisme diamalkan.  Jadi, ia berdepan dengan situasi itu...
Anwar: Ya, ia memberi gambaran itu kepada sesetengah orang.  Tapi kamu tak banding dengan Khairy (menantu Abdullah Ahmad Badawi), banding dengan Mukhriz (anak Mahathir), itu tak betul.  Kerana Nurul Izzah (gambar kanan) mengharungi laluan yang sukar.
MR: Kami faham, tapi...
Anwar: Dan Azizah (isteri Anwar), masa saya masuk penjara, ada konsensus di mana dia pegang (tampuk pimpinan parti).
MR: Maksud saya, apa bezanya?  Mengapa Dato Seri tidak menjawat jawatan Presiden?
Anwar: Apa alasan?  Mengapa kamu nak saya jadi Presiden?
MR: Kerana kalau Dato Seri nak pimpin, ia harus melalui satu proses demokrasi.
Anwar: Itu proses yang demokratik.  Cuba kamu tanya pimpinan parti, siapa yang tak mahu (saya jadi Ketua Umum)?  Saya pergi setiap negeri.  Kamu lihat, persepsi orang kata mahu Anwar jadi Presiden.  Tapi saya tengok di negeri, tak ada.  Dia cakap, "Tak payah, Dato..."  Kebanyakan anggota, kebanyakan mereka yang tahu dalaman parti, mereka kata, "Tidak, tidak, tidak, kamu harus tumpu untuk memimpin gerakan ini, kamu tidak harus jadi Presiden dan (terseret) dengan semua yang ini..."
MR: Tapi tiada percanggahan kalau Dato Seri jadi Presiden.
Anwar: Bercanggah, kerana ia mengambil banyak masa saya dalam soal organisasi parti, pengurusan parti, yang saya tidak terlibat.  Dan saya nak tumpukan (kepada) soal Pakatan Rakyat punya program, charter...
MR: Kalau saya katakan pertimbangan Dato Seri adalah untuk buat persiapan, kalau Dato Seri disumbat ke dalam penjara?
Anwar: Itu tafsiran orang, tapi saya tidak fikir itu.  Kalau saya masuk (penjara), tak adacharge (tuduhan) pun, saya tak mahu bertanding Presiden.  Kalau tak ada charge dulu pun, saya tak akan bertanding Presiden.  Melainkan saya tengok, betul-betul orang nak (saya bertanding) Presiden.  Tapi saya tengok tak ada.
Pada hakikatnya, Utusan yang mula mainkan isu ini.  Menarik juga,Utusan yang mula-mula mainkan isu tentang mahu saya bertanding Presiden, kemudian Zaid (Zaid Ibrahim, calon Timbalan Presiden yang menarik diri dan keluar parti, gambar kanan) memetik isu ini.  Dalam parti saya tengok, tak ada, secara jujur.  Kamu tahu, pergerakan saya.  Saya bergerak atas gelanggang...
MR: Tapi Dato Seri buat kenyataan dalam blog, mengatakan jangan calon Dato Seri...(untuk jawatan Presiden)
Anwar: Ya, sebab saya dah tengok, keadaan negeri pun macam tu (tidak menuntut agar Anwar bertanding selaku Presiden), mengapa buat apa yang dua tiga... Dan oleh keranaUtusan dan Zaid punya kempen, saya kata jangan calon, kerana saya tengok itu agenda orang lain, bukan agenda parti.
MR: Tetapi Dato Seri, semasa kongres di Seremban, ada juga yang cadangkan supaya mengadakan EGM untuk pilih Dato Seri selepas...
Anwar: Ada yang cadangkan...
MR: Ia bermakna ada permintaan...
Anwar: Tak, itu pandangan minoriti.  Tak betul,.. Lagipun ininon-issue.  Saya tidak tahu mengapa Utusan, dan sekarang kamu menjadikan ini isu besar?  Apa dia?  Adakah parti rasa, parti hanya boleh survive, kalau Anwar jadi Presiden?  Tidak.
MR: Itu bukan soal...
Anwar: Parti itu menuntut Anwar jadi Presiden?  Tidak.  Jadi, saya... Pada hakikatnya dalam parti, pimpinan parti tak pernah menjadi satu isu yang serius.  Tengok?  Ia menarik, dia tidak jadi isu dalam parti, di kalangan (anggota)...
MR: Tapi dengan itu, Dato Seri hilang asas moral untuk mengkritik (soal) rule of law...
Anwar: Apa rule of law?
MR: Kerana dalam perlembagaan parti, (Ketua Umum) tidak ada dalam struktur organisasi...
Anwar: Well, saya rasa ini cara yang kasar untuk mentafsir maksud rule of law.  Rule of law adalah kamu menghormati undang-undang.  Di sini, apabila ada persetujuan dengan apa yang kamu katakan, dan mereka menerimanya, itu sajalah.  Mengapa perlu diikat kepada "menjadi Presiden"?
Maksud saya, siapa dalam parti yang mempertikaikan pengaruh saya?  Ok, siapa dalam parti, yang dengan betul-betul mempersoalkannya?  Adalah 10 orang..., adakah wujudnya sentimen dalam parti, yang kata Anwar ni bukan menyuarakan semangat keadilan?
MR: Soalnya adakah parti memberi satu saluran untuk mereka, kalau...
Anwar: Saya boleh memberi kamu 100 contoh, mereka boleh berpengaruh walaupun tidak berada dalam parti.  Deng Xiaoping, (Nelson) Mandela, dan sebagainya.  Mereka tidak semestinya menjadi seorang pemimpin yang efektif.   Tapi kalau betul-betul hari itu, betul-betul ada konsensus, saya akan...
Tapi saya tengok tak ada.  Ada banyak yang fikir, minta saya tumpu kepada agenda rakyat dan Pakatan Rakyat yang lebih luas.  Lebih banyak sentimen di situ.
Ini cuma dua tiga orang, ia sebenarnya jadi betul-betul heboh bila Utusan... Lagi saya tak terima.  Bila saya tengok Utusan lancarkan kempen secara besar-besaran suruh saya jadi Presiden, lagi saya (ketawa), lebih alasan kamu tidak harus (mengikut kata-katanya).
Tapi pada hakikatnya, tak ada.  Saya pergi di sini sana.  Bagaimana orang di luar fikir saya jadi Presiden, tapi dalam parti kata "Tak payah, Dato, kita terima kamu.  Kamu tidak perlu untuk menjadi Presiden."  Kamu tidak perlu terjerat dengan isu-isu harian, semasa.  Saya datang sini, saya tidak kerja.  Azizah jalankan (tugas) parti di (tingkat) bawah.  Saya jarang.  Mesyuarat sekali seminggu.  In that sense, saya tidak jalankan parti.
MR: Tapi semua orang boleh mendakwa dirinya meraih sokongan di bawah.  Mahathir dulu walaupun didesak (untuk berundur), dia kata tidak, dia diterima dalam UMNO juga.  Maksud saya, ia memberi gambaran macam itu.
Anwar: Tak apalah, kalau ada isu, ok lah dia jadi isu.  Siapa yang reka isu?  Kamu yang reka isu.  Dalam parti ada orang reka isu kata Anwar tak boleh jadi pemimpin?  Adakah itu satu masalah dalam parti?
MR: Bagaimana dengan demonstrasi yang kita lihat?  Ya, kita mungkin boleh mengatakan ia sabotaj, tetapi...
Anwar: Yalah, dia 500 orang datang ok-lah... Bukan 500 orang datang (demonstrasi), saya kena bertanding Presiden?  Ambil isu lain-lah... Maksud saya, dalam parti, ia langsung bukan masalah!  Mengapa kamu mestikan saya jadi Presiden?
MR: Bagaimana kalau satu hari, Najib wujudkan satu jawatan Ketua Umum dalam UMNO, dan kemudian beliau tidak dicabar selama-lamanya.  Beliau akan di situ.
Anwar: Itu haknya, itu masalah dia.  Mengapa ia jadi masalah?  Mengapa kamu bimbang siapa memimpin UMNO?
MR (ketawa): Itu satu contoh.
Anwar: Mahathir tidak ada jawatan dalam UMNO, beliau ada pengaruh dalam UMNO.  Apa masalahnya?  Itu terpulang kepada partinya untuk menerima atau tidak.  Maksud saya, untuk saya, itu bukan isu.
MR: Kita kritik Rosmah Mansor (isteri Najib) tidak ada jawatan, tetapi berpengaruh...
Anwar: Dalam kerajaan, kamu nampak?  Dalam kerajaan... Ia melibatkan pembahagian kontrak dengan orangnya, berurusan dengan rasuah... Itu soal lain.  Itu Rosmah, dia punya personal, saya tak ada campur. (Bahagian ketiga, bersambung)
*Wawancara ini dijalankan oleh Chan Wei See (Editor MerdekaReview, edisi bahasa Cina), Lim Hong Siang (Editor MerdekaReview, edisi bahasa Malaysia) dan Ong Vic Kee (Wartawan MerdekaReview, edisi bahasa Cina), di pejabat Anwar Ibrahim pada 6 Januari 2011.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TOP Ten Minggu INI

Paling Popular