Grab the widget  IWeb Gator

Tuesday, January 18, 2011

Tapi gelanggangnya di pedalaman Melayu, Anwar


Lim Hong Siang

Politik bukan sekadar angka dan matematik, tetapi juga persepsi dan sentimen. Agak mustahil untuk mengekalkan keghairahan rakyat selama-lamanya, lebih-lebih lagi apabila sebagai pembangkang yang terpaksa menongkah arus persepsi negatif yang membadai.

Selepas tsunami politik 8 Mac 2008, sesetengah pengamat politik menganggap gelanggang pertarungan yang bakal menentukan lanskap politik masa depan Malaysia ialah kawasan campuran kaum, berdasarkan perkiraan matematik pada undi yang diperolehi. Mana-mana parti politik yang berjaya menawan hati pengundi kawasan tersebut, maka merekalah yang menguasai tampuk kerajaan persekutuan.

Namun demikian, beberapa pilihan raya kecil selepas itu menunjukkan pola yang membimbangkan Pakatan Rakyat. Kawasan pedalaman, desa Melayu, FELDA yang terasing dari maklumat media bebas atau alternatif, gagal ditembusi PR. Malah, Ketua Pembangkang Parlimen, Anwar Ibrahim yang dibelenggu dengan pelbagai isu, kini berdepan dengan musuh politik yang lebih "kejam" dan "kasar", sebagaimana yang disifatkannya.

"...Najib tu ruthless (kejam). Najib punya kasar... Cara dia rampas, cara dia kasar, cara dia guna media, cara dia beli orang... Maksud saya, betul... Pada hakikatnya kami dah katakan, itu pertarungannya (battle). Itulah yang harus rakyat faham. (Cara) dia senang, boleh pukul, pukul; tak boleh pukul, beli...."

Demikianlah luahan Anwar Ibrahim, Ketua Umum PKR dalam satu wawancara bersama MerdekaReview pada 6 Januari 2011, di pejabatnya. Beliau berkata demikian ketika mengulas sama ada Najib lebih sukar ditangani sebagai musuh politiknya, berbanding dengan mantan Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi. Sambil berseloroh Anwar menyifatkan Abdullah sebagai "hardly anything", sebelum mengakui bahawa Najib lebih kasar untuk mencantas musuh politiknya.

Enggan jawab isu yang bukan isu

Bagaimanapun, beliau bersetuju dengan pengamatan wartawan bahawa PR kini kelihatan berada pada kedudukan bertahan untuk menjawab pelbagai tuduhan, padahal BN yang berada di situ untuk menjawab isu seperti pembunuhan Altantuya, komisen pembelian kapal selam Scorpene, Lingam Tape dan sebagainya - sebelum 8 Mac 2008.

"Itu sebabnya... Kalau saya layan, saya akan layan. Kamu adalah pengecualian. Saya layan kamu bila kamu tanya. Saya tak layan (kalau orang lain tanya). Saya tak pernah layan isu-isu sebegini. Mengapa? Mengapa harus saya layan isu seperti sama ada kamu pro-Raja, anti-Raja? Sama ada kamu kuasa ketiga, kuasa keempat... Kita bergerak ke depan saja... Sama ada kamu tutup Sivan Temple (di Bukit Gasing), saya langsung tak jawab!... (Isu ini) soal masa saja. Selepas tu (kebenarannya) akan timbul ke permukaan. (Ia) jadi isu pada dua minggu pertama...," katanya.

Sebelum mengakhiri wawancara yang mengambil kira-kira 90 minit, Anwar meluahkan keresahan dirinya, bahawa PR berdepan dengan masalah di Malay rural heartland (tanah pedalaman hati perut Melayu). "Ramai daripada kita yang lupa tentang ini. Tiga perempat soalan yang kita bincangkan tidak berkaitan dengan mereka. Malay rural heartland, yang mana adalah gelanggang pertarungan yang utama. Dari segi angka, kerusi, dan isu."

Beliau menceritakan pengalamannya ketika lawatan ke kawasan FELDA Tenang, "Yang cakap pasal media alternatif, tiada seorang pun yang tahu. Seorang saja yang kata, anaknya beritahu. Itu masalah besar. Cuma apa yang baiknya adalah bila kita pergi dia keluar dengar. Tetapi berapa lama boleh kita boleh (bertahan dengan) pergi (dari kampung ke) kampung?"

Seandainya PR kalah dalam PRU ke-13?

Wartawan kemudian membangkitkan soalan, "Bagaimana kalau PR kalah dalam PRU ke-13?"

"Jangan bagi kalah, kita bagi dia menang. Kalau nak menang mestilah berfikir secara positif, janganlah ungkit persoalan Anwar Presiden ke tidak... Lihat, kita layan isu yang dipaksakan orang terhadap kita. Untuk saya, kita yang seharusnya menentukan isu. Kalau tidak, tak boleh. Kita guna setengah masa kita, membalas isu yang bukan isu, sama ada kita tutup Sivan temple atau tidak....masalah yang ditimbulkan UMNO!"

Bagaimanapun, Anwar jelas kelihatan lebih ingin menumpu kepada usaha menggerakkan PR ke depan. Sebelum wawancara berakhir, beliau diminta untuk mengulas, sama ada kontradiksi 1Malaysia oleh Najib dengan Ketuanan Melayu oleh Timbalannya, Muhyiddin Yassin sekadar strategi untuk mengaut undi kedua-dua golongan yang perkauman dan bersifat terbuka; atau disebabkan pergelutan kuasa antara kedua-dua pemimpin tersebut.

"Dia (hubungan mereka) baik tak baik saya tidak tahu. Saya tidak peduli. Tapi yang pentingnya dia tidak konsisten. Maknanya pembohongan. Kamu cakap 1Malaysia, kamu guna (cara) ini. Kamu baca Utusan. Utusan tu di bawah kawalan terus Presiden (UMNO)...," katanya sambil bangkit dari tempat duduknya, setelah wawancara itu mengambil masa yang terlebih.

Berunding terus dengan RPK

Sebelum ini, ketika dibangkitkan isu "Kuasa Ketiga", iaitu sama ada PR atau PKR secara khususnya akan memberi laluan kepada mereka, seandainya kumpulan yang diketuai Haris Ibrahim ini mampu menawarkan calon yang lebih berkualiti berbanding calon PR, misalnya Malik Imtiaz Sarwar, peguam hak asasi manusia, yang juga mewakili kerajaan negeri Selangor dalam inkues kematian Teoh Beng Hock?

"Kita belum bincang isu ini dalam PR, mahupun PKR. Belum, kita belum bincang. Raja Petra sebut kepada saya, tapi kita kena tahu apa pendirian dia, apa cadangan spesifiknya, siapa yang dia fikir sebagai calon, itu belum dikemukakan," jawab Anwar.

Apabila wartawan cuba bertanyakan sejauh manakah kemungkinan PR memberi laluan kepada mereka, Anwar berkata, "Biar ia terbuka. Kita juga terikat dengan Pakatan Rakyat, biar kita bincang dulu. Sama ada ia membantu untuk memperkasa kuasa itu, atau ia melemahkan kuasa itu, atau mereka benar satu kuasa...itu kita kena bincang."

"Kerana ada yang kata, kita bukan kuasa ketiga... Jadi kita perlu jelas dengan pendirian mereka. Sebab ada yang kata kuasa ketiga, ada yang kata bukan...ada yang kata, hanya MCLM (Malaysia Civil Liberties Moverment). Tetapi saya akan berhubung dengan mereka." Untuk Anwar, banyak lagi yang perlu diperjelaskan sebelum keputusan dibuat, dan beliau enggan berunding dengan mereka melalui media.

Malah, beberapa perkara yang perlu diteliti, termasuk kesesuaian calon, kerusi mana, perwatakan calon, dan sebagainya. Beliau mengakui belum ada perbincangan yang serius dalam hal ini, melainkan Raja Petra Kamaruddin yang pernah menyebut sepintas lalu kepadanya.

Secara terus-terang Anwar mengakui bahawa wujudnya calon yang kurang berkualiti, dan menyatakan bahawa bukan semua wakil rakyat yang terpilih pada penggal tahun 2008 akan kekal sebagai calon pada PRU akan datang.

Kejadian sepanjang tempoh ini mungkin menyentuh hatinya, "Pengalaman kita mengajar bahawa kita mesti letakkan calon yang lebih wibawa. Teruji. Yang layak, ada integeriti, yang konsisten...," Tiba-tiba beliau meninggikan suaranya, "Dan bekerja sebagai pasukan!"

"Ada orang yang boleh... Tapi dia solo. Itu pun bahaya. Sebab itu dalam Pakatan Rakyat, ini juga pertimbangan utama. Kerana kalau pandai, dan berintegriti, tapi kerja seorang-seorang dia, jadi dia bergaduh dengan yang lain. Dia tak boleh buat keputusan bersama. Kita dalam Pakatan Rakyat, ini satu cabaran besar. Mampu untuk bekerja sebagai pasukan, dan mampu untuk memahami sentimen Melayu, sentimen Cina, India, Iban dan Kadazan... Ini penting. Kita tak mampu untuk memuaskan semua orang..."

Suara Anwar semakin rendah, "Kalau kamu rasakan kamu pandai, kamu ada idea kamu sendiri, fair enough... Then kamu tubuhlah parti kamu sendiri. Kamu perlu bekerja sebagai pasukan. Sesetengah dasar negeri, bukan saya setuju sepenuhnya. Tetapi kita berkomunikasi."

Ketika dibangkitkan kritikan Raja Petra kepada dirinya, Anwar berkata, "Dia communicate ok, Raja Petra, Raja Petra-lah. Dia nak cakap dia cakap, nak lepas dia lepas. Tak semestinya semua dia betul. Kadang-kala dia duduk situ (London) pun terpisah juga dengan realiti. Tetapi sesuatu yang ada padanya adalah dia (sanggup) berkomunikasi. Dia kekal... dan saya respon."

Anwar menegaskan bahawa tiada perbincangan yang serius dalam isu beri laluan dalam sesetengah kerusi untuk kuasa ketiga. "Kalau itu rundingan, kamu hanya kata, saya nak letak orang ini. Ini bukan rundingan. Ini perintah (dictating). Dalam Pakatan Rakyat ni, muafakat itu penting."

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TOP Ten Minggu INI

Paling Popular