Grab the widget  IWeb Gator

Monday, January 10, 2011

Harga bawang naik dua kali ganda, kementerian gesa rakyat kurangkan makan bawang!




BERITA 1


Harga bawang naik dua kali ganda

KUALA KANGSAR- Harga beberapa barangan keperluan harian terutamanya bawang di pasar dan kedai runcit di sini didapati melambung sehingga melebihi dua kali ganda berbanding harga asal menjelang sambutan Tahun Baru Cina, Februari ini.

Kenaikan harga yang tidak munasabah itu telah menyebabkan ramai pengguna di daerah ini merungut dan mempersoalkan kewajaran tersebut kerana membebankan mereka.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, kenaikan ini berlaku di hampir semua pasar serta kedai runcit di sini.

Misalnya, bawang putih yang kebiasaannya dijual antara RM4 hingga RM4.50 sekilogram telah naik hingga RM10 sekilogram.

Bawang kecil pula yang biasa dijual RM4 hingga RM5 sekilogram meningkat kepada RM11 sekilogram, manakala bawang besar yang lazimnya dijual RM1.50 hingga RM2.50 sekilogram naik kepada RM5 sekilogram.



Menurut pengguna, kenaikan ini telah berlaku sejak sebulan lalu dan ada kedai tidak lagi menjual bawang disebabkan kenaikan harga yang terlampau tinggi.

Seorang peniaga kedai runcit, Salleh Mohamad berkata, kenaikan harga bawang berpunca daripada kekurangan bekalan yang tidak dapat dielakkan.

''Saya sendiri membeli bawang pada harga tinggi dari pembekal dan sebab itu saya terpaksa menjualnya pada harga agak mahal juga," katanya.

Tambah Salleh, minyak masak paket juga sukar didapati di pasaran dan hanya minyak masak dalam botol sahaja yang ada.

''Mungkin bekalan minyak masak paket ini akan terputus dalam pasaran dan ia mungkin taktik pemborong untuk menaikkan harga barangan ini," katanya.

Seorang penjual nasi lemak, Asmah Musa, 50, pula memberitahu, kenaikan harga bawang dan santan kelapa menyebabkan kos membuat nasi lemak meningkat, sedangkan untungnya tidak seberapa.

''Saya menggunakan tidak kurang satu kilogram bawang putih dan bawang besar serta dua kilogram santan kelapa setiap hari. Saya tidak boleh menaikkan harga nasi lemak kerana nanti pelanggan saya akan lari," katanya.

Oleh itu, mereka meminta pihak berwajib memantau kenaikan harga barangan tersebut yang tidak munasabah dan mengambil tindakan ke atas peruncit atau pemborong terlibat. - SH

BERITA 2

Kurangkan bawang dalam masakan

MELAKA 9 Jan. - Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Melaka hari ini meminta orang ramai mengurangkan pengunaan bawang ekoran harganya yang naik sehingga sekali ganda sejak empat minggu lalu.

Ketua Pegawai Penguatkuasanya, Abd. Hafidz A. Rahim berkata, pihaknya tidak boleh mengambil tindakan ke atas pemborong kerana bawang adalah barang makanan yang diimport.

Menurutnya, bagi barang-barang makanan yang diimport harganya ditentukan oleh kadar yang ditetapkan oleh negara pengeluar.

''Pada masa ini bekalan bawang yang kita import dari India amat berkurangan bukan sahaja di Melaka tetapi di negeri-negeri lain kerana masalah banjir yang melanda negara itu.

''Keadaan itu menyebabkan pengeluaran bawang untuk dieksport berkurangan kerana banyak tanaman bawang rosak dan secara tidak langsung negara kita turut terkena tempias kekurangan bekalan itu.

''Apabila bekalan kurang, harga akan naik mendadak dan soal pemborong menyorok bekalan adalah tidak logik kerana jika mereka sorok bawang akan cepat rosak," katanya ketika dihubungi hari ini.



Kenaikan harga bawang turut dirasai penduduk di negeri ini apabila tinjauan Utusan Malaysia baru-baru ini mendapati harga bawang besar naik antara RM5 dan RM6 sekilo berbanding RM3 sekilogram bulan lalu.

Manakala bawang kecil pula pada harga RM9 sekilogram.

Mengulas lanjut, Abd. Hafidz berkata, langkah mengurangkan penggunaan bawang dalam masakan terpaksa dilakukan bagi mengelak orang menanggung beban ekoran kenaikan harga bawang yang tidak munasabah.

Beliau berkata, pihaknya mendapat banyak aduan dan rungutan daripada orang ramai kerana kenaikan harga bawang besar dan bawang kecil yang disifatkan cukup membebankan.

''Kita tidak mempunyai kuasa untuk mengarahkan pemborong dan peruncit menurunkan harga bawang. Ini terjadi kerana masalah bekalan yang tidak mencukupi," ujarnya.
BERITA 3
Harga Bawang Naik Melambung, Minyak Masak Kering Di Pasaran

KUALA LUMPUR: Jika sebelum ini orang ramai bimbang dengan kekurangan bekalan minyak masak di pasaran, kini pengguna terpaksa berhadapan kenaikan harga bawang yang meningkat antara RM2 hingga RM3 kepada RM6 sekilogram sejak dua minggu lalu.



Tinjauan Berita Harian di beberapa kedai runcit, pasar raya dan pasar basah di seluruh negara semalam mendapati pengguna turut menghadapi kesukaran mendapatkan minyak masak tetapi bahan itu tidak mengalami kenaikan harga.

Di SHAH ALAM, tinjauan di sebuah pasar raya pemborong terkemuka mendapati kebanyakan minyak masak botol lima kilogram (kg) berharga RM13.35 habis dijual dengan setiap pengguna dihadkan dua botol bagi setiap pembelian.

Bekalan bawang merah pula dilihat tinggal sedikit di dua pasar raya utama dengan sesetengah bawang sudah rosak selain dijual pada harga RM6.90 hingga RM7.99 sekilogram.

Di KOTA KINABALU, minyak masak paket 1kg pada harga RM2.75 masih boleh diperoleh di kebanyakan pasar raya dan kedai runcit, manakala harga bawang merah import pula berbeza dari satu kedai ke kedai lain, kebanyakannya dijual antara RM14 hingga RM17 sekilogram sejak sebulan lalu, berbanding antara RM3 hingga RM5 sekilogram sebelum ini.

Di PULAU PINANG, bekalan bawang di sekitar bandar raya ini berkurangan secara mendadak sejak beberapa minggu lalu sehingga menyebabkan peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga mencecah sekali ganda.

Di ALOR SETAR, bekalan minyak masak tidak mencukupi bagi menampung keperluan pengguna termasuk isi rumah, pengusaha kedai makan dan kantin sekolah sejak empat hari lalu berikutan penguncupan kuota jualan yang diterima daripada pengilang.
Di IPOH, tinjauan berhampiran Pasar Besar Ipoh mendapati harga bawang besar naik hampir 100 peratus manakala harga minyak masak (sawit tulen) kekal pada harga sama iaitu RM14.70 bagi botol 5kg.

Di JOHOR BAHRU, beberapa kedai sekitar Tampoi dan Larkin menjual bawang merah dari India pada harga RM7.50 sekilogram, manakala bawang besar dari China pada harga RM5 sekilogram.

Di KUALA TERENGGANU, Pengurus Besar Mydin, Malek Mahibob, berkata bekalan minyak masak kritikal sejak dua minggu lalu, manakala harga bawang merah meningkat kepada RM5.99 sekilogram berbanding RM3.59 sebelum ini dengan bawang besar dijual RM4.39 sekilogram.

Di SEREMBAN, beberapa kedai runcit dan pasar raya kekurangan minyak masak dan bawang dijual pada harga RM10 sekilogram.

Di MELAKA, selain bawang besar dijual antara RM6 hingga RM6.50 sekilogram dan dijangka terus meningkat, harga beberapa barangan lain seperti kicap dan cuka turut naik 20 sen, tetapi harga minyak masak kekal

Di KUANTAN, masalah bekalan minyak masak semakin reda apabila menerima bekalan pada purata lebih 100 tan sehari sejak seminggu lalu, namun tinjauan mendapati masih ada premis perniagaan tiada langsung bekalan bahan itu, manakala harga bawang merah pula naik antara enam hingga 30 peratus.

Di KUCHING, bekalan minyak masak bersubsidi di Sarawak dibimbangi memasuki tahap kritikal berikutan masalah bekalan yang gagal diterima pekedai, manakala bawang kecil naik sehingga RM13 sekilogram.

Di KOTA BHARU, tinjauan di sebuah pasar raya besar mendapati bekalan minyak masak berpaket hampir kehabisan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TOP Ten Minggu INI

Paling Popular