Grab the widget  IWeb Gator

Monday, January 17, 2011

Dulu takut, kini boleh terima ..Kira OK dah la tuu..!!



Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menafikan PAS semakin lembut dalam dasar Islam sejak kebelakangan ini seolah-olah ia sudah mula takut dan tunduk kepada rakan-rakannya dalam Pakatan Rakyat. Sehubungan itu, Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, PAS kekal berpegang kepada pendiriannya, malah dasar parti itu juga sudah mula diterima oleh DAP, lapor The Malaysia Insider.
 
Kata Nik Aziz, perkembangan itu sudah mula kelihatan sejak kebelakangan ini termasuk ketika Konvensyen Pakatan Rakyat Kali Kedua di Pulau Pinang bulan lalu. Kata Nik Aziz, DAP pernah meminta PAS menggugurkan dasar Islam lebih dua dekad yang lalu tetapi sudah mula memahami dan menerima pendirian parti itu.
 
“Ketika APU (Angkatan Perpaduan Ummah) dulu, DAP minta kita gugurkan (dasar) Islam, kami kata kalau gugur bukan lagi parti PAS, dan mereka kata mereka mahu keluar, mereka buat sungguh (keluar) tetapi mereka datang balik, kita tidak berubah pendirian.
“Tetapi pada konvensyen Pakatan (di Pulau Pinang) DAP sudah berubah, mereka terima (pendirian dasar PAS)... Karpal Singh sudah tidak kata langkah mayat saya (Karpal),” kata Nik Aziz secara berseloroh menjawab soalan pada Majlis Ramah Mesra dan Dialog bersama Menteri Besar di sini malam tadi.


Seorang peserta mengemukakan soalan bahawa dia mula khuatir kononnya PAS sudah tidak lagi lantang dalam memperjuangkan dasar Islam berbanding masa lalu dan sama ada perubahan itu ada kaitan dengan pengaruh atau desakan rakan-rakan komponen dalam Pakatan Rakyat.

Nik Aziz juga menggambarkan pendekatan PAS ialah bertindak “langkah demi langkah” dalam mentadbir negeri Kelantan walaupun kesemua yang dirancang dan dihasratkannya tidak tercapai khususnya berkaitan dengan pelaksanaan hukum hudud.

Malah Nik Aziz juga menjelaskan, pihaknya menggunakan pendekatan “sederhana” sedemikian bagi mengelakkan kemungkinan tindakan darurat yang pernah dikenakan ke atas Kelantan lebih tiga dekad lalu. Pada November 1977, Parlimen meluluskan rang undang-undang darurat Kelantan yang meletakkan Kelantan ditadbir secara terus oleh Kerajaan Pusat. Malah ketika itu juga PAS berada dalam Barisan Nasional (BN).

“Kalau kita tidak boleh buat sekali gus, mengapa tidak kita guna cara sedikit demi sedikit, kalau tidak boleh buat hudud, kita dah cuba, mengapa kita hendak kehilangan kuasa mentadbir, macam tindakan Mageran dulu.
Kalau kita tidak boleh ambil beras seguni, mengapa kita hendak tinggalkan satu guni, lebih baik kita ambil sikit sikit, secupak secupak bawa balik ke rumah,” kata Nik Aziz merujuk kepada pentadbirannya selepas PAS memenangi Kelantan pada pilihan raya umum 1990.

Sejak itu PAS menguasai Kelantan dan beliau bertindak sebagai Menteri Besar. PAS bersama PKR dan DAP menjalin kerjasama di bawah perikatan Pakatan Rakyat dan menguasai empat negeri sekarang. Kata Nik Aziz, kerajaan pimpinannya tidak melaksanakan hukum hudud kerana bimbang ia akan memberi kesan negatif kepada pentadbiran negeri.

Bagaimanapun Menteri Besar Kelantan itu bekata walaupun tidak melaksanakan hukum hudud, namun kerajaan negeri Kelantan berjaya menyatukan keseluruhan rakyat berbilang kaum di Kelantan.

“Dulu Tun (Dr) Mahathir (Mohamad) datang ke Kelantan, beliau beri amaran kepada PAS kalau laksanakan hudud kerajaan persekutuan akan ambil tindakan. Kalau berkenaan dengan hudud kalau Kelantan kena serangan kerajaan persekutuan tak cerdik. Kita tak laksanakan hudud tapi sekarang kita bersatu Melayu, Cina dan India di Kelantan,” katanya lagi.

Beliau juga berkata, orang bukan Melayu di Kelantan tidak lagi takut akan Islam kerana pentadbiran berjaya menerangkan maksud Islam yang sebenar. “Kita tiada beza antara Melayu, Cina dan India, kita juga ada buat masjid yang macam tokong di Rantau Panjang. Kita tidak ikut masjid dari Mekah tapi kita ikut masjid dari Cina kerana tak mahu bezakan kemelayuan dan kecinaan. Dulu Umno kata kalau PAS memerintah lu punya barang kena potonglah (disunatkan)... takut Cina. Sekarang tidak, banyak perkara yang kita dah buat di Kelantan,” kata Nik Aziz.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TOP Ten Minggu INI

Paling Popular