Ini lah bukti BN dah nazak ...
Sampai pilihanraya pun guna proksi ...
Wakakaka k!!!
Ketawa la ramai ramai .... !!!
from wartamaya
KUALA LUMPUR, 16 Jan — Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sedang mengkaji sistem undi proksi bagi membolehkan seseorang pemilih diwakili oleh mana-mana individu yang layak pada hari pengundian, kata pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.
Ia sebahagian daripada pindaan-pindaan yang dipertimbangkan untuk dibawa suruhanjaya itu, dipercayai akan diguna pakai jika diluluskan semasa pilihan raya umum ke-13, yang disebut-sebut bakal diadakan akhir tahun ini.
Sebelum ini, spekulasi menyebut pilihan raya umum tergempar akan dipanggil pada separuh pertama tahun ini.
Kini ramalan terbaru mengatakan ia kemungkinan akan 'dianjak' sehingga suku akhir 2011 berdasarkan hasil pertemuan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dengan ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN), 8 Januari lalu.
“Kita punya sasaran (guna pakai pindaan ini) ketika pilihan raya umum ke-13 . . . insya-Allah, kita punya sasaran kita hendak bawa (luluskan) pindaan ini pada tahun ini, awal tahun ini, ia dibawa kepada Kabinet dan Parlimen.
“Harap-harap ia boleh dibawa ke sidang Parlimen Mac ini, jika tidak pada (sidang bulan) Jun,” kata beliau.
Beliau memberitahu, pindaan yang disyorkan mereka tidak dapat digunakan ketika pilihan raya negeri Sarawak yang akan diadakan bila-bila masa dari sekarang.
Mandat semasa Dewan Undangan Negeri Sarawak berakhir Julai ini.
Di bawah syor SPR itu, sistem proksi dilihat mirip hak mengundi yang diamalkan di sektor korporat yang membolehkan seseorang mengundi dalam mesyuarat agung tahunan bagi pihak orang lain.
“Kita sedang kaji undi proksi, khusus bagi mereka yang tidak dapat hadir pada hari pengundian,” kata beliau ketika ditemu bual oleh The Malaysian Insider di pejabatnya di sini.
Sistem undi proksi berbeza daripada undi pos yang digunakan sekarang.
Sambil mengakui ia bukan mudah untuk dilakukan, Abdul Aziz berkata, jika sistem itu diluluskan ia akan dijalankan dengan ketat supaya tidak dipertikaikan oleh mana-mana pihak.
“Ada cara, ada caranya . . . ia mesti ada cara sendiri,” kata beliau sambil menambah, beberapa negara lain dan pihak berkuasa tempatan mereka sudah mengamalkan sistem tersebut.
Misalnya laman web pilihan raya Toronto menyebut, pengundi-pengundi yang tidak dapat hadir pada hari pengundian boleh memohon mendapatkan kemudahan hak undi berproksi.
Di bawah sistem pengundian Toronto itu, undi proksi membolehkan pemilih lain yang tinggal di kawasan atau bahagian yang sama mengundi bagi pihak mereka yang hendak memberi hak mereka kepada orang lain.
Di Toronto, seseorang pengundi proksi tidak boleh mengundi bagi pihak lebih dua pemilih berdaftar dan permohonan perlu dibuat sehari sebelum hari pengundian.
Kali terakhir SPR mengadakan pindaan undang-undang pilihan raya secara komprehensif adalah pada tahun 2002.
Ketika ditanya sama ada pindaan kali ini akan membabitkan pindaan secara komprehensif sebagaimana dilakukan lapan tahun lalu, Abdul Aziz berkata, “berharap begitu, tapi pindaan besar tapi bukan komprehensif.”
Menurut beliau pindaan kali ini melibatkan sekitar 30 perkara dengan sebahagian besarnya sudah pun diteliti dan kemungkinan akan diserahkan kepada Jabatan Perdana Menteri, dijangka bulan depan.
Bagaimanapun beliau tidak memberikan butiran lanjut pindaan-pindaan yang dipertimbangkan atas alasan ia masih diteliti.
“Tak boleh cakaplah apa yang kita nak pinda, tak bolehlah beri contoh, macam saya kata tadi, kalau permainan (hari pilihan raya) tak mula lagi, pengadil tak boleh tiup wisel (tidak boleh mula kawal kempen pilihan raya),” katanya lagi.
“Pindaan banyak, macam-macam akta dan peraturan . . . tapi apa kita hendak pinda maaflah (tidak boleh beritahu sekarang),” kata Abdul Aziz.
Katanya, pindaan terbaru ini bertujuan memudahkan urusan pengendalian pilihan raya dapat dijalankan dengan cekap dan telus.
Bagaimanapun berdasarkan gambaran sebelum ini pindaan itu termasuk soal menguruskan proses penamaan calon di mana jumlah hari atau tempoh sesi penamaan calon mungkin dipanjangkan dan perubahan pada sistem undi pos.
Sebelum ini pernah ada cadangan supaya had perbelanjaan pilihan raya, bentuk kempen termasuk menggunakan teknologi dan dana parti-parti politik turut diambil kira oleh SPR dalam pindaan masa depan.
Proses pendaftaran pemilih baru dan tukar alamat tempat mengundi juga dipercayai sedang dikaji.
Kini pendaftaran pemilih dijalankan sepanjang tahun dengan diwartawakan setiap suku tahun.
Abdul Aziz berkata, pindaan kali ini termasuk juga menggantikan istilah-istilah yang tidak sesuai dengan perkembangan semasa yang turut mengambil kira perkembangan kemudahan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT).
“Misalnya, kami sedang mengkaji kesesuaian perkataan membuang undi . . . perkataan 'membuang undi' tidak sesuai, ia bermaksud membuang kertas undi bagi sesetengah orang.
“Ini antara perkataan yang ada dalam undang-undang kita, ini kena dikaji dan dipinda dengan perkataan lebih sesuai,” kata beliau.
Kini, dalam mengendalikan pilihan raya SPR bergantung pada Perlembagaan Persekutuan, Perlembagaan Negeri, Akta Pilihan Raya 1958, Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) (1981) dan Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) (2003).