Grab the widget  IWeb Gator

Thursday, February 10, 2011

Satu Lagi "Silap Mata" Arahan Umno-APCO!!



Keluarga mendiang Teoh Beng Hock dan peguam hari ini menggesa Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) menangguhkan pembentangan kes kematian bekas pembantu Exco Selangor itu yang dijadualkan berlangsung 14 Februari nanti.

Ini berikutan tercetusnya konflik jadual bercanggah peguam-peguam yang mewakili keluarga itu kerana terlibat dalam kes lain di mahkamah.

Karpal Singh yang ditemui media di perkarangan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berkata, masalah tersebut telahpun diajukan ketika pertemuan dengan ahli-ahli panel sebentar tadi dan akan mengemukakan perkara itu pada hari Isnin nanti.

"Kami semua ada masalah dengan tarikh yang ditetapkan. Suruhanjaya bermula pada 14 Februari hingga April. Tiga bulan untuk selesaikan siasatan dan saya sendiri ada perbicaraan Anwar Ibrahim pada 14 Februari hingga Mac termasuk Gobind yang terlibat dalam kes lain.

"Ini adalah perkara yang kita mahu bawa pada Isnin nanti jam 9 pagi. Saya rasa itu sahaja setakat ini," jelas beliau.

Tambahnya lagi, ini adalah kali pertama berlaku di mana dua prosiding mahkamah dijalankan secara serentak.

"Kita tidak boleh ada dua prosiding yang berlangsung dalam masa yang sama. Itu tidak pernah terjadi sebelum ini. Sepatutnya kita perlu ada siasatan itu dahulu. Sebab itu yang kami minta pada awalnya.

Karpal turut menjelaskan status Mahkamah Tinggi adalah lebih berkuasa daripada RCI dan tidak boleh sewenang-wenangnya untuk memohon penangguhan dalam mana-mana kes mahkamah.

"Suruhanjaya tidak boleh memohon daripada mahkamah tinggi kerana Mahkamah Tinggi adalah lebih berkuasa daripada Suruhanjaya. Kita tidak boleh," katanya lagi.

Dalam pada itu, antara perkara yang dibangkitkan dalam mesyuarat tidak rasmi bersama panel RCI petang tadi termasuk permohonann untuk memperoleh senarai saksi yang akan dipanggil dalam siasatan nanti menurut Gobind Singh Deo.

Beliau yang hadir bersama adik perempuan mendiang, Teoh Lee Lan akan turut menyenaraikan beberapa perkara yang dipercayai perlu diberi perhatian oleh RCI sebelum pembentangan kes pada Isnin nanti.

"Apa yang kita bangkitkan hari ini dalam mesyuarat adalah senarai saksi kerana kita mahu tahu siapa saksi yang akan dipanggil. Kita juga bimbang mengenai saksi yang dibawa oleh keluarga dan kerajaan negeri dan kita mahu tahu apa," jelasnya.

Justeru beliau berkata RCI tidak sepatutnya dilaksanakan secara tergesa-gesa tanpa mengambil kira kepentingan keluarga yang terlibat.

"Tidak ada makna laksanakan siasatan jika semua orang lain ada urusan. Jika mahu adakan Suruhanjaya Siasatan Diraja biar ia dilakukan dengan betul dan tidak tergesa-gesa tanpa mengambil kira perkara yang ingin dibawa pihak terlibat,"

Sementara itu, adik perempuan mendiang Teoh Beng Hock yang ditemui berkata beliau akan mengeluarkan kenyataan media dalam masa terdekat berhubung isu tersebut.

Bekas pembantu Exco Selangor, Teoh Beng Hock ditemui mati pada 16 Julai 2009 di Plaza Masalam selepas semalaman disiasat oleh anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Namun selepas itu Mahkamah Koroner Shah Alam memutuskan kes kematian mendiang berkeputusan terbuka (open verdict).

Keluarga mendiang Beng Hock yang tidak berpuas hati dengan keputusan itu mendesak Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk menyiasat kes tersebut.

RCI kemudian ditubuhkan bulan lalu oleh Najib Razak untuk mengkaji skop siasatan SPRM dan punca kematian dan diberi masa tiga bulan sehingga April nanti - jalanpulang
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TOP Ten Minggu INI

Paling Popular