Grab the widget  IWeb Gator

Sunday, February 6, 2011

Orang Asal Kemensah mahu pertahan lokasi mereka

Khaulah Azwar   
GOMBAK, 6 Feb: Walaupun kehidupan orang asal pada masa ini lebih maju namun masih ada segelintir mereka di beberapa lokasi orang asal yang masih jauh ketinggalan samaada pembangunan ekonomi atau pendidikan.
(GAMBAR ATAS: Orang Asal Kemensah bergambar dengan petugas media)

Beginilah kehidupan orang asal di Kemensah Hulu Klang. Tinjaun media baru-baru ini dengan pihak pengurusan Jabatan Hal Ehwal Orang Asal (JHEOA) dan Tok Batin dikawasan tersebut dengan hasrat mendengar segala kemelut dan masaalah yang mereka hadapi sekian lama.

Sabri a/l Ah Hang (gambar bawah), Penolong Pembantu JKKK Orang Asal Kemensah, 36, melahirkan rasa kebimbangannya kerana rakyat orang asal di sini telah mendengar ura-ura kampung mereka akan dimansuhkan.

Ia berdasar Draf Perancangan Penempatan Wawasan 2020 yang melibatkan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

Menurutnya perkampungan disini sudah sekian lama wujud iaitu sejak 1968 dengan mempunyai bilangan ahli keluarga seramai 24 buah keluarga yang masih tidak mempunyai pegangan agama (Aties).

"Kita telah bangunkan kawasan ini yang dahulunya kawasan perhutanan. Walaupun terdahulu rumah kediaman kami yang rata-rata terdiri daripada buluh namun pada tahun 2009 kita telah mendapat kediaman rumah daripada pihak Kerajan Negeri Pakatan Rakyat (PR) Selangor bagi membantu kami di sini. Ia sedikit sebanyak telah memberi keselesaan pada kami".

Namun begitu masih terdapat banyak kekurangannya. Mereka masih tidak mempunyai bekalan elektrik walaupun kebanyakan tempat lain sudah ada bekalan tersebut.

Ekoran itu, mereka rasa begitu ketinggalan arus permodenan. Kerajaan Pusat UMNO-BN telah berjanji dengan mereka untuk menyediakan bekalan tersebut namun sehingga kini bekalan tersebut masih tidak diperolehi lagi.

"Kami rasa sudah terlalu penat menunggu bekalan elektrik. Setiap kali disuarakan kepada JHEOA mereka hanya menyatakan bersabar. Sampai bila kami ingin bersabar sudah bertahun kami menunggunya," kata Sabri.

Bayangkanlah keadaan mereka terutamanya apabila tibanya waktu malam.

"Anak-anak kami yang ingin belajar terpaksa dalam keadaan gelap. Mereka belajar masih bertemankan lampu minyak tanah. Bagaimanakah ibu-ibu di sini yang ingin menguruskan anak-anak kecil mereka," tambahnya.

Untuk mendapatkan bekalan minyak tanah pula mereka terpaksa keluar daripada kawasan ini sejauh 15 km.

"Pernah juga bekalan minyak tanah tiada. Sudahlah kami penat berjalan keluar untuk dapatkan minyak tetapi bila pergi, minyak kehabisan pula," ujarnya dengan kesal.
Walaupun tidak mempunyai bekalan elektrik, namun anak-anak mereka tidak ketinggalan dan beberapa pelajar di sini telah berjaya dalam pelajaran mereka.
(Gambar: Mempersiapkan lampu minyak tanah sebelum anak-anak mereka belajar)

Begitulah juga dengan bekalan air di kawasan ini begitu sukar untuk diperolehi. Mereka terpaksa menggunakan air bukit.

"Untuk menggunakan air ini kami terpaksa menapiskan air tersebut. Kami tidak tahu sampai bilakah penderitaan kami disini akan berakhir. Adakah generasi akan datang akan terus menerus merasa kesusahan ini dan terus dipinggirkan oleh pihak yang bertanggungjawab," cerita beliau lagi.

Media difahamkan, rata-rata orang asli di sini mempunyai pendapatan lebih kurang RM350 sebulan hasil dari mengutip hasil dalam hutan dan memburu.

"Untuk mendapat RM500 sebulan bagi kami begitu sukar lebih-lebih lagi apabila tibanya musim hujan. Hasil tangkapan tersebut kami jual diluar kawasan. Dengan hasil inilah kami berikan kepada isteri dan anak-anak kami makan dan lain-lain," cerita Sabri sedih.

Sabri dan penduduk di situ meletakkan harapan agar kawasan ini tidak akan dimansuhkan kerana mereka berhasrat ingin jadikannya kawasan kunjungan orang luar dan menjadikan kawasan tradisi orang asal.

"Kami ingin melihat anak generasi kami menerajui kawasan ini dengan sebaiknya dan tidak dilupuskan daripada mana-mana pihak. Penduduk disini sangat menentang dengan penghapusan kawasan ini," ujarnya.
PR Pertahankan

Sementara itu, Ahli Majlis Perbandaran Ampang Jaya Zon 4 Wan Hasrina Wan Hasan berkata kawasan ini tidak mungkin sama sekali dimansuhkan. Mana mungkin pihak Kerajaan Negeri ingin mansuhkan perkampungan orang asal di sini, janji beliau.
"Bayangkanlah Kerajaan Negeri telah mengeluarkan modal untuk membina rumah orang asal. Bukan setakat disini sahaja malahan dibeberapa tempat dengan hasrat memberi keselesaan kepada rakyat orang asal. Tiba-tiba mereka mendengar kawasan ini hendak dimansuhkan. Tidak masuk akal.

"Kita dalam Pakatan Rakyat yang mengamalkan konsep negeri berkebajikan, insya Allah kebajikan rakyat di seluruh Selangor khususnya dijaga dengan baik tidak kira parti, bangsa mahupun pemahaman ideologi politik yang berbeza," kata Wan Hasrina (gambar) yang juga pemimpin kanan Dewan Muslimat PAS Pusat.

Menurut beliau, setiap perkara yang hendak dilakukan, akan dibawa berbincang bersama dengan pucuk pimpinan dan semua jabatan-jabatan yang bertangungjawab.

"Kita bukan buat kerja macam puak Umno-BN buat kerja. Kerja yang tiada perancangan. Dengan kecuaian mereka akhirnya rakyat yang menderita," kata beliau.

Beliau mengesyaki, ini mungkin kerja Umno-BN yang sengaja menakut-nakutkan penduduk orang asal disini.

"Insya-Allah Kerajaan PR tidak melakukannya. Saya harap pihak tersebut tidak membohongi rakyat orang asal di sini. Begitu juga penduduk orang asal kita harap  tidak mudah mendengar cerita yang tiada sahihnya.

"Sekiranya ada sesuatu yang timbul, kita akan mengadakan sesi dailog bersama rakyat. Perbincangan dua hala perlu ada bagi menjelaskan setiap isu yang timbul," katanya.

Beliau juga meminta Umno-BN menunaikan janji mereka kepada penduduk di sini termasuk keperluan elektrik yang dijanjikan kepada mereka.

"Lihatlah kesusahan mereka disini terpaksa menggunakan lampu minyak tanah untuk menerangi rumah mereka. Jangan apabila tiba pilihanraya berbagai janji ditaburkan untuk beri berbagai faedah," katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TOP Ten Minggu INI

Paling Popular